Followers

Saturday, August 13, 2011

Kes Gereja: 12 individu Muslim beri keterangan 15 Ogos

Waran tangkap akan dikeluarkan jika mereka gagal hadir memberi keterangan, kata sumber dalaman Jais.

Seramai 12 individu Muslim yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika menghadiri majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13 minggu lalu akan hadir memberi keterangan Isnin depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman bahagian penguatkuasaan Jais dan ini sudah dimaklumkan kepada 12 individu berkenaan kelmarin supaya hadir di pejabat jabatan agama itu di Shah Alam.

Menurut sumber itu, peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakil 10 daripada 12 individu Muslim itu memahami situasi terbabit dan membenarkan anak guam mereka hadir memberi keterangan kepada Jais.

“Sebelum ini, mereka sudah menerima surat untuk hadir memberi keterangan namun gagal berbuat demikian pada Selasa lalu.

Sedangkan mereka adalah saksi kepada kes penyebaran agama bukan Islam kepada Islam, jadi kita perlu memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan.

“Peguam mereka sudah memahami keadaan ini. Peguam benarkan anak guam mereka untuk hadir. Namun jika masih gagal berbuat demikian maka waran tangkap akan dikeluarkan kepada 12 individu tersebut,” katanya kepada FMT.

Pada 3 Ogos lalu, Jais menyerbu gereja DUMC selepas mendapat maklumat kehadiran sebilangan orang Islam pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seorang penceramah menyampaikan ucapan dengan menyelit ayat-ayat Al Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

sumber...FMT