SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, beliau mendengar suara wanita menjerit dua kali kira-kira jam 9 malam dan api besar menjulang setinggi pokok kelapa sawit kira-kira jam 1 pagi dari sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos 2010.
Saksi pendakwaan ke-33, Siti Hamidah Karnas, 18, memberitahu mahkamah beliau mendengar jeritan wanita ketika menggiling tepung tosai di rumah majikannya iaitu tertuduh keempat, R Khatavarayan yang dikenalinya sebagai Ravi, juga di ladang sama.
Katanya, kayu itu dipunggah T Thilaiyagan (tertuduh kedua), R Matan (tertuduh ketiga), U Suresh (saksi pendakwaan ke-29) sebelum dibawa ke satu bahagian di ladang itu yang mempunyai binaan seperti kotak.
Bagaimanapun, pada 31 Ogos 2010 beliau tidak lagi melihat kayu di ladang itu.
Siti Hamidah berkata, kira-kira jam 7 malam pada 30 Ogos, ketika berada dalam rumah, beliau ternampak seorang perempuan dan tiga lelaki di tepi pondok rehat berdekatan tetapi tidak mengecam mereka kerana hanya nampak rambut wanita yang panjang dan wanita itu memakai jaket berwarna biru, manakala tiga lelaki itu tidak dapat dilihatnya dengan jelas.
Katanya, kira-kira jam 4 petang, isteri Ravi, Jacinta menerima panggilan telefon sebelum mengarahkan semua pekerja di ladang masuk semula ke asrama pekerja kira-kira jam 5 petang, tetapi tidak memaklumkan sebabnya.
“Kira-kira jam 5 petang, majikan (Ravi) pulang dan saya menyediakan makanan dan selepas makan, majikan meminta isterinya mengambil kasut dan parang. Jacinta mengarahkan saya mengambil parang itu dan beliau masuk ke bilik majikannya untuk mengambil dua parang dan satu pisau di atas almari serta meletakkannya di belakang pintu yang berdekatan dengan sofa.
“Selepas itu, Ravi keluar dan saya nampak Pathma (tertuduh pertama, Pathmanabhan) datang dengan kereta berwarna kuning keemasan. Saya nampak Ravi masukkan parang di tempat duduk belakang kereta. Kemudian saya nampak Ravi dan Pathma bincang dekat kandang anjing, tapi saya tidak dengar.
“Kemudian saya nampak mereka masuk kereta dan kelihatan seperti kecemasan sebelum meninggalkan ladang,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Siti Hamidah berkata, beliau melihat api besar setinggi pokok sawit kira-kira jam 1 pagi pada malam sama, di belakang ladang berdekatan rumah didiami tertuduh kedua, T Thilaiyagan.
Idham: Sebelum ini awak pernah nampak api?
Siti Hamidah: Saya pernah nampak tapi tidak setinggi ini. Kali pertama ketika seorang lelaki bernama Raja dari India datang tinggal di rumah Pathmanabhan.
Idham: Api sebesar ini?
Siti Hamidah: Besar, tapi tidak sebesar ini. Kali kedua saya nampak ketika Syafiq datang, kawan Pathma.
Pada ketika ini, peguam Manjeet Singh Dhillon bangun membantah. Beliau berkata, pendakwa raya perlu sedar mengenai kaitan jawapan saksi dengan kes.
Idham berkata, beliau bertanya mengenai api, tetapi saksi yang menjawab sedemikian.
Manjeet berkata, pendakwaan perlu mengawal saksinya.
Akhtar berkata, mahkamah hanya menerima jawapan saksi beliau pernah melihat api besar dua kali.
Sementara itu, Siti Hamidah kali pertama bertemu Pathmanabhan pada Mac 2009, ketika menumpang di rumah seorang lelaki yang dikenali sebagai Tengku.
Siti Hamidah yang kini diletakkan di Rumah Perlindungan Saksi, memberitahu mahkamah, beliau melarikan diri dari rumah majikannya di Kelantan pada Mac 2009 selepas hampir setahun bekerja dan bertemu tertuduh pertama, selepas seminggu menginap di rumah Tengku.
Pada bulan sama, beliau mula bekerja di rumah Pathmanabhan sebagai pembantu rumah dengan gaji RM350 sebulan, selama sembilan bulan, sebelum mula bekerja di ladang Tanjung Sepat pada Disember 2009, sehingga ditahan polis pada 9 September tahun lalu.
Katanya, ketika bekerja dengan Pathmanabhan, beliau bukan saja bekerja di rumah milik tertuduh di Banting, malah turut bekerja di rumah milik bekas peguam itu di Puchong.
Beliau berkata, ketika ke ladang itu, Pathmanabhan memberitahunya, Ravi adalah majikan barunya.
“Saya diarahkan, jika ada orang datang, saya tidak boleh tengok muka orang itu dan kalau hantar air, saya kena tunduk.
“Kalau Pathma datang, saya kena beri salam ‘vannakam’, kalau tidak saya kena hentam,” katanya.
Siti Hamidah turut mengecam kenderaan jenis pacuan empat roda Isuzu Dmax bernombor pendaftaran WSF8707 berwarna kelabu ketika kenderaan itu dibawa ke pekarangan mahkamah.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Manjeet, Siti Hamidah menafikan beliau dihantar ke Banting selepas ditangkap membenarkan seorang lelaki warga Indonesia memasuki rumah Pathmanabhan di Puchong.
Beliau bersetuju dipukul isteri Pathmanabhan, Ravi dan Jacinta ketika bekerja dengan mereka. Ditanya peguam Ravi Nekoo tindakan majikannya mandi air kunyit kerana ada bayi tinggal bersama Jacinta dan lelaki itu selalu balik lewat, Siti Hamidah tidak setuju.
Katanya, majikannya mandi air kunyit jika kalau ada pembakaran. Perbicaraan bersambung hari ini.
sumber...BERNAMA