Followers

Saturday, May 24, 2014

DNA Babi Dalam Dua Produk Coklat Cadbury

 

 

DNA Babi Dalam Dua Produk Coklat - Kementerian Kesihatan 

  

PETALING JAYA: Dua sampel coklat Cadbury yang dianalisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) telah disahkan mempunyai DNA babi (porcine).


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia dikesan setelah kementerian menjalankan siasatan dan analisis 'porcine' terhadap tiga sampel produk coklat keluaran syarikat tersebut.

"Keputusan analisis mendapati dua sampel telah dikesan mengandungi DNA babi iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

"Satu lagi sampel coklat susu Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan DNA khinzir," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Sabtu.

Siasatan KKM dibuat selepas isu pengesanan DNA babi dalam produk coklat susu dengan kacang hazel - Cadbury Dairy Milk tersebar luas di media sosial pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata sampel produk yang dikesan mempunyai DNA babi itu bernombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014 dan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

"KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd telah memberi jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

sumber...Mstar OL