Followers

Saturday, September 20, 2014

U-TURN: PAS Nafi Halau Perwakilan Keluar Dewan




Jawatankuasa Muktamar Pas ke-60 menafikan laporan yang menyebut seorang perwakilannya, Ridzuan Abu Bakar dihalau keluar dewan ketika sesi perbahasan berlangsung, hari ini.

Penafian itu dibuat melalui kenyataan yang dipetik dari laman sosial Facebook Pas.

“Jawatankuasa Muktamar Pas menafikan seorang perwakilan, Ridzwan Abu Bakar dihalau keluar dewan.

“Sebaliknya dia diberi peluang mengadakan sidang akhbar dan ditemuramah oleh wartawan di dalam dewan Muktamar,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut tindakan Ridzuan itu mengganggu perjalanan muktamar kerana bercakap tanpa mendapat kebenaran.

“Tindakan Ridzwan bercakap tanpa kebenaran Pengerusi Tetap Muktamar (Abu Kassim Abdullah) boleh mengganggu perjalanan muktamar dan mengambil masa perwakilan lain yang sepatutnya berucap bagi mengulas ucapan dasar Presiden,” katanya.

Kira-kira setengah jam sebelum sesi perbahasan yang masuk hari kedua ini berhenti rehat, Ridzuan menarik tumpuan umum apabila beliau merampas mikrofon dan mengkritik perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Azhari Ariffin yang baru selesai membahaskan Ucapan Dasar Presiden melalui doa.

Ridzuan meminta Abu Kassim menggariskan peraturan agar pembahas tidak menggunakan agama untuk berhujah.

Sejurus itu, Unit Amal bertindak merampas mikrofon yang digunakannya.

Pihak media cuba mendapatkan Ridzuan dan selepas selepas beberapa ketika dikerumuni media, kami dihalang dan diarah beredar dari kawasan berkenaan.

Kemudian, pemberita difahamkan Ridzuan diminta meninggalkan dewan.

Sebelum itu, Azhari menyampaikan perbahasan yang antara kandungannya mengkritik Langkah Kajang, mengecam pemimpin Pas dan tindakan dua Adun Pas yang menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Melalui perbahasannya itu, Azhari beberapa kali ditegur Pengerusi Tetap gara-gara mengambil masa terlalu lama.

Beliau juga mengambil peluang dalam ucapannya untuk membacakan doa yang mengutuk pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

sumber...s.harian