Followers

Showing posts with label Komunis. Show all posts
Showing posts with label Komunis. Show all posts

Wednesday, October 31, 2018

Pakaian Komunis: Liew Chin Tong Minta JMM Tarik Balik Tuduhan Liar

 

Timbalan Menteri Pertahanan gesa JMM tarik balik tuduhan liar

Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan kecewa dengan tuduhan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah bahawa kononnya Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong telah memakai uniform ala-komunis semasa pemeriksaan perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam lawatan ke kem.

Menurut kenyataan dari pejabat Timbalan Menteri Pertahanan, tuduhan JMM itu merupakan satu penghinaan kepada ATM serta Kementerian Pertahanan Malaysia.

Baju tersebut katanya, merupakan baju korporat “bush jacket” yang disediakan oleh Kementerian

Pertahanan untuk majlis rasmi tentera seperti lawatan ke Kem, Pos Keselamatan dan program yang ditentukan oleh penganjur.

Malah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga memakai pakaian rasmi tersebut. Begitu juga dengan mantan menteri dan pemimpin kerajaan yang lain, termasuk pemimpin kerajaan sebelum ini.

Warna “khaki” baju tersebut, jelasnya tidak ada kena-mengena dengan komunis, ia antara rona warna
yang selalu dipilih untuk uniform tentera di merata dunia.

Malah warna tersebut pernah dijadikan pakaian seragam rasmi TUDM sebelum tahun 1995.


Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2017, baju korporat warna “khaki” dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan akhirnya menjadi pilihan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pakaian rasmi Sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Kesemua anggota Kabinet dan barisan dif kehormat telah memakai baju tersebut semasa Sambutan Hari Kebangsaan rasmi.

Pakaian seragam tentera adalah eksklusif dan hanya sesuai dipakai oleh pegawai yang telah ditauliahkan sahaja, katanya.

Pejabat Timbalan Menteri meminta JMM menarik balik tuduhan liar itu yang jelas menunjukkan sikap kurang cerdik dan tidak berhemah dalam membuat kenyataan.

sumber..MDLine

Tuesday, September 13, 2011

Muhyiddin Mengaku ada hubungan dengan Parti Komunis China

Muhyiddin pertahan kerjasama Parti Komunis China, isu Mat Sabu tiada kaitan

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kehadirannya pada satu majlis makan malam yang diadakan bersama Parti Komunis China sebagai satu pertemuan dengan rakan perdagangan utama Malaysia, yang tidak harus dikaitkan dengan isu Mohamad Sabu.

Beliau (gambar) akan menghadiri majlis makan malam bersama Setiausaha Agung Parti Komunis China Sun Zhenglai di sebuah hotel di sini malam tadi.

“Hubungan diplomatik kita dengan China adalah yang terbaik buat masa sekarang dan yang kedua dari segi eksport global. Kita ada hubungan yang rapat dalam perdagangan dan industri, pelaburan. Saya tidak melihat isu sedemikian sebagai satu halangan.

“Hubungan antarabangsa adalah normal, bukan hanya bagi Malaysia. Negara-negara demokrasi yang lain seperti Amerika juga ada hubungan (dengan China) kerana hubungan antarabangsa boleh membawa manfaat yang besar, bukan kita menganuti ideologi mereka. Itu hak merekan, urusan negara mereka,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan anugerah bagi program tawaran baru untuk guru besar dan pengetua di bawah Bidang Ekonomi Utama Kebangsaan (NKRA) sektor pendidikan di sini hari ini.

“Tiada apa-apa kaitan dengan isu itu (Mat Sabu). Hubungan negara kita dengan China adalah yang terbaik. Persoalan mengenai komen Mat Sabu adalah isu dalaman,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

sumber...TMI

Thursday, September 8, 2011

Komunis Halang Khalid Samad ceramah ugama di Selangor

Apa beza MAIS dan Komunis dalam mengembangkan dakwah islam?

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat apa-apa penyampaian agama di masjid dan surau di seluruh Selangor kerana tidak mendapat tauliah.

Ia termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah dan apa-apa pengisian agama, demikian menurut satu kenyataan MAIS hari ini.

Pengerusinya, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata rayuan Khalid berhubung tauliah beliau, ditolak melalui mesyuarat Jawatankuasa tauliah MAIS yang bersidang pada 23 Jun 2011.

"Penolakan ini adalah selaras dengan perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama Islam kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau di Selangor," katanya.

Oleh itu, MAIS mengingat dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor tidak menjemput, membenarkan atau memberi peluang kepada Khalid dan mana-mana ahli politik menyampaikan ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah yang masih berkuatkuasa.

JAIS pada 6 September lalu dilaporkan memutuskan mendakwa Khalid kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Beliau dipanggil ke pejabat Jais pada hari itu dan dinyatakan pendakwaan. Perbicaraan ditetapkan 24 November ini di Mahkamah Syariah Klang.

Khalid kaitkan dengan BN

Khalid didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Turut menerima tindakan JAIS Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.

NONESementara itu, Khalid mendakwa sehingga kini beliau tidak menerima jawapan berhubung penjelasan yang dimintanya berhubung alasan tidak diberi tauliah kerana "kerana mempunyai rekod jenayah".

"Pada 30 Oktober 2009, JAIS kata lupakan, (kamu) tak diberi tauliah (sebab) tak layak," katanya sambil mendakwa tindakan JAIS itu dipengaruhi sikap MAIS dan campurtangan Umno dan BN.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menunjukkan gambar "bukti" yang didakwa menunjukkan Mohd Adzib menyokong BN.

Antara yang didedahkan gambar Mohd Adzib bersama ahli parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan dalam majlis dalam perkarangan masjid ketika pilihan raya parlimen itu.

Dalam gambar tersebut, Kamalanathan memakai baju yang mempunyai logo BN.

"Saya minta dia (Mohd Adzib) jawab," kata Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam.

Tuesday, September 6, 2011

Warganegara Segera lebih bahaya dari Komunis

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Memberikan hak warganegara kepada warga asing dan seterusnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih adalah lebih bahaya dari pengganas Komunis, kata Salahudin Ayub.

"Kita nak beritahu kepada Umno BN, memberikan warganegara kepada warga asing dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih lebih bahaya dari pengganas Komunis," kata Naib Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian sebagai membidas tindakan Umno BN yang menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera.

Mohamad pada satu ceramahnya sebelum ini mendakwa Mat Indera sebagai pejuang sebenar menentang penjajah dengan menyerang British di rumah pasung Bukit Kepong.

Umno bagaimanapun menuduh Mat Indera sebagai pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan Komunis dalam serangan itu sekaligus menghentam Mohamad yang membela perjuangan Mat Indera.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, Umno menggunakan isu tersebut semata-mata bagi menutup isu pemberian MyKad kepada pemegang kad merah yang didedahkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

PAS dan pelbagai pihak sebelum ini mendedahkan wujudnya sendikit memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap dan didaftarkan sebagai pengundi dipercayai untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

Perkara itu dikesan melalui semakan dalam Sistem Pendaftaran Negara (JPN) yang mendapati sehingga suku kedua (Mac-Jun) 2011, terdapat 1,108 kes pemegang kad pengenalan Merah diberikan MyKad khususnya di Selangor.

Turut menggemparkan negara sebelum ini, pertukaran status warganegara dalam masa singkat iaitu penduduk tetap pada sebelah pagi dan bertukar menjadi warganegara sebelah petang.

Ekoran itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang Khas Parlimen.

Najib bagaimanapun enggan berbuat demikian dan hanya mengumumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Pembaharuan Sistem Pilihan Raya.

Wednesday, July 6, 2011

Lagi Gempaq: Najib pakai topi komunis


Topi komunis logo Bersih, Gertak kurang ajar dan biadap

KUALA TERENGGANU, 6 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius kain rentang dan kad jemputan program ‘Ganyang Komunis’ yang diedar oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang memaparkan logo Bersih pada topi ‘Komunis’.

Setiausaha DPPNT, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, kain rentang tersebut dapat dilihat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan Kad Jemputan tersebut turut disebarkan melalui laman sosial Facebook.

Beliau menambah, ia secara langsung telah mengaitkan Bersih 2.0 dengan komunis dan menggambarkan perjuangan Bersih 2.0 adalah sama dengan perjuangan komunis.

“Maka dengan itu, DPPNT memandang bahawa ini merupakan satu cubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu sebenar yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, lapan tuntutan itu ialah penghapusan undi pos, pembersihan daftar pemilih, akses yang adil terhadap media, penggunaan dakwat kekal, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurutnya, amat menyedihkan dan merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima akal yang waras apabila ada pihak iaitu Gertak yang mengambil kesempatan mengaitkan Bersih 2.0 dengan ideologi perjuangan komunis.

Sehubungan dengan itu, tegasnya DPPNT menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap Gertak yang jelas cuba melakukan provokasi secara melampau dan biadab.

Katanya, rakyat tidak pernah lupa bahawa pihak yang sama juga pernah menganjurkan program MELAYU BANGKIT pada 13 Mei tahun lalu.

“DPPNT ingin menegaskan di sini bahawa Gertak merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang dibayangi di oleh Umno Terengganu. “Pengerusi Gertak, Razali Idris merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Marang. Tindakan Umno merestui program ini menyerlahkan sikap Umno terhadap keharmonian rakyat,” katanya.

Ini, ujarnya jelas berbeza dengan Bersih 2.0, merupakan Gabungan NGO berdaftar yang bergabung bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Apatah lagi, katanya Bersih 2.0 sudah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan untuk mengadakan himpunan secara aman di stadium.

Justeru, tambahnya mana-mana tindakan yang berbentuk kekerasan dan provokasi seperti program Gertak, rampasan baju, penahanan penyokong Bersih 2.0, sekatan-sekatan jalanraya yang tidak munasabah dan seumpamanya hendaklah dihentikan.

“Kami turut menggesa pihak berkuasa agar membebaskan penyokong-penyokong Bersih 2.0 dan mengembalikan semula baju-baju dan bahan-bahan Bersih 2.0 yang dirampas.

“Sekiranya gesaan ini gagal dan tidak diendahkan, maka boleh dianggap sebagai derhaka kepada DYMM Tuanku Agong yang merupakan Ketua Negara,” katanya lagi.

Beliau menambah, isu Bersih 2.0 mengancam keselamatan awam langsung tidak timbul kerana Bersih 2.0 bukanlah satu gerakan bersenjata yang ingin menjatuhkan kerajaan tetapi merupakan badan yang bertindak menuntut suatu pilihanraya yang bersih dan adil.

Justeru, katanya DPPNT percaya isu penemuan senjata bersama-sama T-shirt Bersih adalah satu provokasi terancang oleh pihak-pihak tertentu.

sumber...harakahdaily