PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan
Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Datuk Dr Ismail Salleh menunjukkan
stasistik kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di
Thailand. - Foto BERNAMA
Halangan daripada keluarga atau isteri pertama menjadi penyebab utama
sebilangan warga Malaysia bernikah di luar negeri terutama selatan
Thailand.
Hal ini didedahkan oleh ejen yang menawarkan khidmat menguruskan pernikahan di negara jiran itu.
Ejen
nikah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shed berkata, selain
menguruskan perkahwinan, beliau juga membantu menguruskan proses
perceraian pasangan yang bernikah di sana.
Tinjauan
mendapati sekalipun ada halangan seumpama itu, jumlah rakyat negara ini
yang menjalani pernikahan di selatan Thailand terus meningkat.
Bernama
melaporkan kes pasangan dari Kedah yang bernikah tanpa kebenaran pihak
berkuasa agama negeri, di Thailand dilihat terus meningkat hingga kepada
799 kes tahun lalu daripada 566 kes pada 2017.
Angka ini
diberikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar,
Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh
yang menyatakan bahawa jumlah itu merangkumi kesalahan pernikahan dan
berpoligami tanpa kebenaran.
Sementara itu, ditanya mengenai
khidmat yang ditawarkan, Shed berkata, kadar yang beliau kenakan kepada
setiap pasangan adalah berbeza antara RM1,800 hingga RM4,000 bergantung
pada beberapa faktor dan kerumitan proses.
“Kalau mereka
berdekatan Kedah saya ambil dalam RM1,800 untuk nikah biasa yang mudah,
tetapi ada cecah RM2,800. Orang luar (dari Kedah) seperti dari Johor,
Melaka, Pahang dan Terengganu saya ambil dalam RM2,200 hingga RM4,000.
“Kalau
urusan rumit, contoh orang itu dah pernah nikah di Siam (Thailand) tapi
tak daftar sini lagi, jika bercerai, pasangan kena batalkan pernikahan
itu di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sana dulu, baru boleh
menikah lagi,” katanya kepada Bernama.
Shed berkata, jika rakyat negara ini yang hendak bernikah tanpa
kebenaran dengan warga negara lain seperti Indonesia dan Singapura
prosesnya akan menjadi lebih rumit dan akan dikenakan caj yang lebih
tinggi.
Mengulas
mengenai proses pernikahan di Thailand, Shed berkata, terdapat dua pusat
nikah yang diiktiraf iaitu di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan
Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.
“Saya akan bawa orang yang
menggunakan khidmat saya ke mana-mana satu pusat nikah ini. Kalau hendak
bernikah luar dari pusat nikah itu, ini mesti dilakukan di masjid dan
jurunikahnya ialah imam yang dilantik pejabat agama Islam sana sahaja,”
kata beliau.
Katanya, akad nikah boleh diragui jika ia
dilakukan di luar pusat nikah itu atau dilaksanakan oleh jurunikah yang
tidak dilantik pejabat agama Islam di sana atau tidak berdaftar dengan
Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.
Katanya, selepas
dinikahkan, pasangan suami isteri terbabit perlu mengambil Surat
Pengesahan Perkahwinan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia bagi
membolehkan mereka mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama Islam
negara ini.
Shed berkata, sepanjang 11 tahun pengalamannya
menjadi ejen nikah di Selatan Thai, kebanyakan mereka yang mendapatkan
khidmatnya terdiri daripada golongan pertengahan yang bekerja sebagai
guru, jurutera kilang, kerani, pegawai kerajaan dan pekerja swasta.
sumber...BERNAMA