Followers

Showing posts with label kawen. Show all posts
Showing posts with label kawen. Show all posts

Thursday, December 12, 2013

Zain Saidin & Rozita Che Wan Bergelar Suami-Isteri

.
Rozita mencium tangan suaminya selepas upacara membatalkan air sembahyang.

Hantaran yang dibawa turut mengandungi telekung dan sejadah, set minyak wangi, beg tangan, sepersalinan kain, kasut, sirih junjung, telefon bimbit dan cincin.

Manakala pihak lelaki pula menerima sebanyak sembilan peti hantaran berupa baju Melayu, kemeja-T, kasut, beg dan tali pinggang, sirih junjung, set minyak wangi, gelang tangan dan jam serta cincin.

Pada majlis tersebut, Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin yang memakai baju Melayu warna krim masuk ke dewan lebih awal dan diikuti oleh Rozita kira-kira pukul 8.30 malam.

Rozita menggayakan kebaya moden berwarna sama rekaan Man Kajang.

Wanita itu kemudian disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Zain iaitu Siti Aishah Abdullah sebelum majlis akad nikah bermula.
Suasana majlis pernikahan Zain dan Rozita di Shah Alam, Selangor.

Pada majlis itu Rozita turut menggayakan barangan kemas pertama delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta tajaan Habib Jewels.

Sementara itu Zain berkata, dia gembira akhirnya dia menjadi suami kepada Rozita dan berharap agar perkahwinan mereka akan mekar sehingga ke akhir hayat.

"Selama ini kami susah senang bersama. Walaupun masing-masing sibuk dengan karier, Alhamdulillah, kami akhirnya disatukan juga.

"Harap-harap tiada lagi gosip berkaitan dengan kami selepas ini," selorohnya.

Seramai 200 tetamu termasuklah keluarga dan rakan media menghadiri majlis akad nikah bertemakan ala taman itu.

sumber...Feride Hikmet Atak

Monday, October 28, 2013

Suami Tinggalkan Kerjaya Pensyarah Demi Diana Amir



Diana sah bergelar isteri kepada Habibbullah dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam pada Jumaat lalu. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA. 

PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Diana Amir iaitu Mohd Habibbullah A Rahman telah melepaskan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah sejak enam bulan lalu.

Mohd Habibbullah berkata, keputusan itu dibuat bagi membantu isterinya menguruskan beberapa buah perniagaan termasuk jenama tudung milik Diana iaitu Diana Amir Exclusive.

 "Keputusan itu dibuat kerana saya ingin meneruskan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran (PhD), sementara itu saya akan membantunya menguruskan beberapa perniagaan.

"Alhamdulillah sudah enam bulan saya membantunya dan pelbagai pengalaman baharu dapat saya belajar dan seronok dapat terlibat dalam dunia perniagaan," katanya kepada mStar Online.

Diana sah bergelar isteri kepada Habibbullah dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya kira-kira pukul 9.30 malam pada Jumaat lalu.

Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin.

Dalam perkembangan sama, Habibbullah berkata, sebagai seorang suami, dia akan memberikan sokongan penuh kepada Diana untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Dia juga tidak mempunyai sebarang halangan dan yakin Diana bijak untuk memilih tawaran dan menjaga dirinya sebagai seorang wanita dan isteri orang.

"Sebelum kami berkahwin, lakonan adalah kerjayanya dan saya menerima dan akan terus memberi sokongan kepada Diana dalam apa yang ingin dia lakukan.

"Saya yakin dia pandai menjaga diri dan batas-batas sebagai seorang isteri," katanya.

Dalam pada itu, Diana berkata, seperti mana pasangan yang sudah berkahwin dia mengharapkan rumah tangga mereka akan diserikan dengan kehadiran anak dan mengimpikan sebuah keluarga besar.

Dia dan suami memang sukakan kanak-kanak dan jika dizinkan dia ingin menimang cahaya mata secepat mungkin.

"Insya-Allah jika diberikan rezeki cepat kami sangat bersyukur dan gembira tambahan pula kami memang sukakan kanak-kanak dan mengimpikan sebuah keluarga besar," katanya,

sumber...

Saturday, October 26, 2013

Gambar "Raja Sehari" Diana Amir



Diana Amir Bergelar Isteri Habibbullah Dengan Sekali Lafaz 

PUTRAJAYA: Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Jumaat.

Akad nikah telah disempurnakan oleh Imam Besar masjid berkenaan iaitu Hazaruddin Baharuddin.

Pengantin perempuan diwalikan oleh bapanya sendiri, iaitu Amir Hashim Mohd Kassim.
Pada majlis itu Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 27, turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, senaskhah Al-Quran dan cincin.

Kedua-dua belah pihak tidak menyediakan sebarang hantaran pada majlis tersebut.
Pasangan tersebut sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu dalam satu majlis tertutup di rumah keluarga pelakon berkenaan.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin, rakan artis dan wakil media.

Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo dan beberapa rakan artis seperti Irma Hasmie, Heliza, Adam Corrie, Anita Baharom dan Yatt Hamzah.

Satu majlis doa selamat, khatam Al-Quran dan berinai telah berlangsung secara tertutup di Wisma Metrowealth pada Khamis lalu yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat andai.

Dalam pada itu, Diana yang anggun dengan busana rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail berkata, dia bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar seperti dirancang.

"Alhamdulillah majlis berlangsung seperti dirancang dalam suasana cukup sederhana dan seperti pasangan lain kami berharap perkahwinan ini akan dilimpahi berkat dan akan berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Diana dan suaminya belum menetapkan lokasi bulan madu mereka ekoran kesibukan jadual kerja masing-masing.

sumber...

Monday, October 21, 2013

GILA : Ada Pengantin Luar Tabie Pulak !!



(DARI KIRI) Helen, Janis, Maxwell dan Felix.

Donia oh Donia

Macam macam kejadian gila punya duk ada..

Jantan nak jadi pompuan , pompuan nak jadi jantan...


London: Seorang lelaki yang pada asalnya wanita berkahwin dengan pasangannya yang sebelum ini seorang lelaki dalam perkahwinan pelik, lapor media semalam.

Acara itu menjadi lebih unik apabila pasangan terbabit diapit suami isteri yang pernah menjalani pembedahan menukar jantina juga.

Pada awalnya perkahwinan di antara pengantin ‘lelaki’ yang dikenali sebagai Felix dengan ‘isterinya,’ Helen Fenlon adalah yang pertama seumpamanya berlaku di Britain.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal sepasang ‘suami isteri’ lain, Janis dan Maxwell Burr.

Pasangan Burr itu mengaku berkahwin pada malam tahun baru 2005. Hasil inspirasi daripada ketabahan Felix dan Helen yang melangsungkan perkahwinan secara umum, Janis dan Maxwell meminta pasangan Fenlon itu menjadi pengapit ketika mereka mengulangi ikrar perkahwinan untuk kali kedua, baru-baru ini.

Selepas majlis itu, Janis, 45, yang juga pembantu pekerja sosial dan dulunya dikenali sebagai Ian berkata, Maxwell ialah teman sejiwanya.

Janis memberitahu, dulu dia sering memakai pakaian kakaknya ketika berusia enam tahun. Janis juga menabung sehingga £10,000 (RM51,034) untuk menjalani pembedahan penukaran jantina pada 2003.

Sementara itu, Maxwell, 71, adalah pesara tukang masak yang dulunya bernama Mary sebelum bertemu dan jatuh cinta pada Janis ketika bercuti pada 2002. Dia menjalani pembedahan menukar jantina beberapa bulan selepas Janis melakukannya. Apabila undang-undang meluluskan perkahwinan golongan seperti mereka pada 2005, kedua-duanya lalu melangsungkan perkahwinan.

Maxwell berkata, acara perkahwinan itu cukup bersejarah buat mereka.

“Melangsungkan perkahwinan kali kedua di Pusat Sivik Scunthorpe memang menakjubkan. Saya seolah-olah bagaikan di syurga,” katanya dalam satu kenyataan.

sumber... Agensi

Monday, October 14, 2013

Raja Azmi Sah Bergelar Isteri Eddie (CRK)




Raja Azmi sah bergelar isteri kepada Mohd Eddie Ghazali dengan sekali lafaz. 

 KUALA LUMPUR: Produser filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman sah bergelar isteri kepada gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie Ghazali, 45, dengan sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Laman Beringin, Istana Budaya di sini pada malam Ahad.
Akad nikah berkenaan telah disempurnakan oleh Imam Masjid Jamek Ul-Ihsan Mejar (B) Ismail Wan Ahmad kira-kira pukul 9.20 malam.

Pengantin perempuan diwakil walikan oleh abangnya iaitu Raja Azman Raja Sulaiman serta bersaksikan oleh adik bongsunya, Raja Azizdin Raja Sulaiman dan menantunya, Mohammad Shadan Hashim.

Raja Azmi, 54, telah menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Rombongan lelaki turut membawa satu dulang hantaran mengandungi senaskah Al Quran, mas kahwin dan gelang tangan emas putih.
Raja Azmi.

Manakala pihak perempuan membalas tiga dulang hantaran berupa manis-manisan seperti cokelat, biskut dan jeli.

Upacara membatalkan air sembahyang dilakukan sejurus selepas akad nikah dengan Eddie menyarungkan gelang emas putih ke tangan Raja Azmi.

Pasangan ini terdahulu telah mengikat tali pertunangan pada 15 Julai lalu di kediaman wanita tersebut di Ukay Perdana, Ampang.

Sementara itu, Raja Azmi yang ditemui bersyukur dan lega kerana majlis berkenaan berjalan lancar walaupun berasa gementar.

"Kami mula berkenalan pada 15 Januari lalu. Apa yang menggembirakan saya, anak-anak dapat menerima hubungan ini. Mereka mahu lihat ibunya gembira dan saya cukup terharu.

"Walaupun perkenalan kami cukup singkat, saya yakin Eddie adalah lelaki yang sesuai buat saya," katanya.

Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.

Hasil perkahwinan pertama Eddie, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Daniel, 21 dan Mohd Effy, 19.

Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28, Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek.

Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.

Kumpulan CRK pernah popular dengan lagu Cinta Dan Air Mata.

  sumber...

Foto SHAARI CHEMAT / THE STAR

Friday, October 11, 2013

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mengaku Nikah Dua Kali




 Suasana sidang media penjelasan Aeril mengenai statusnya dengan Wawa Zainal.

PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafrel akhirnya mengaku hubungannya dengan aktres Wawa Zainal selama ini bukanlah teman biasa tetapi mereka sebenarnya adalah suami-isteri.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25, berkata, dia dan Wawa, 22, telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media.

“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah. Kami bernikah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis yang diadakan di sebuah restoran di Neo Damansara, di sini petang Jumaat.

 Tambah Aeril, mereka bernikah sebanyak dua kali iaitu pada kali kedua , 4 Februari lalu, hampir setahun selepas pernikahan pertama.

Terdahulu, akhbar pada Ahad lalu melaporkan Aerial sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, secara senyap.

Hasil perkahwinan itu mereka dikatakan telah mendapat anak pada 24 Ogos lalu yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.

Terdahulu, desas-desus tentang hubungan rapat mereka telah terdengar namun dinafikan Aeril dengan memberitahu hubungan baik tersebut hanya sebagai rakan artis semata-mata manakala Wawa dikatakan pulang ke kampung halamannya di Sabah akibat sakit misteri.

Berita penuh akan dilaporkan kemudian.

sumber...

Monday, September 30, 2013

Rozita Che Wan Kompom Nikah Disember Ini




Zain Saidin Mohon Maaf, Tiada Niat Sorok Majlis Risik

Pelakon Zain Saidin, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berkecil hati kerana tidak menjemput ke majlis merisik antara dia dengan aktres Rozita Che Wan, 40, yang diadakan di Carcosa Seri Negara dekat sini pada Ahad.

Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia tidak berniat untuk menyembunyikan majlis berkenaan sebaliknya ia diadakan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja.

“Saya memohon maaf kepada mana-mana pihak termasuklah kawan-kawan artis, rakan-rakan media atau sesiapa sahaja yang berkecil hati kerana saya tidak menjemput mereka.

"Saya nak jelaskan, ia hanya majlis merisik. Bukan bertunang. Hanya keluarga terdekat sahaja yang hadir,” katanya ketika menghubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Zain berkata, pada majlis yang diadakan kira-kira pukul 3 petang itu, hanya 20 ahli keluarganya hadir manakala keluarga Rozita pula seramai 30 orang.

Pada majlis itu dia turut menghadiahkan sebentuk cincin sebagai tanda untuk memiliki Rozita.

Ditanya mana mungkin majlis berkenaan diadakan secara kecil-kecilan kerana ia diadakan di sebuah lokasi yang gah Zain berkata, ia kelihatan seperti meriah kerana majlis itu ditaja banyak pihak melibatkan dekorasi dewan, pakaian, solekan dan khidmat jurugambar.

“Saya buat majlis itu selepas dapat ‘sponser’ melainkan dewan sahaja (bayar). Saya berjanji, pada majlis bertunang dan nikah yang akan diadakan serentak pada Disember depan, saya dan Rozita akan membuat jemputan rasmi,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan Zain memberitahu pihaknya masih mencari tarikh sesuai untuk mengadkan majlis pernikahan kerana ada beberapa lokasi yang dipilih mempunyai acara lain yang sudah ditempah awal.

Sementara itu Zain berkata dia akan mula bercuti pada November depan untuk memberi tumpuan kepada majlis pernikahannya selepas pulang mengadakan penggambaran telefilem Oh My English di Amerika Syarikat.

Zain dan Rozita pada mulanya dikatakan bercadang untuk bernikah di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, dekat sini.

Rozita yang pernah berkahwin sebelum ini mempunyai dua orang anak iaitu Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezra, yang berusia 15 tahun.

 

Wednesday, September 25, 2013

Adam AF2 Tidak Peduli Status Janda Fiza Elite




Penyanyi Adam AF2 mengakui tidak peduli dengan status janda bakal isterinya iaitu penyanyi dan pelakon Fiza Elite.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak selebriti tersebut.

"Secara jujurnya saya tidak pernah kisah tentang status seseorang wanita itu, memang ramai yang bertanya saya sama ada saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Saya sudah bersedia insyaAllah, harap semua piahk dapat doakan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan ikhlas," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita pernikahanya yang bakal diadakan pada Khamis ini di Jabatan Agama Islam Selangor pada pukul 10 pagi.

Biarpun baru mengenali wanita tersebut pada pertengahan Julai lalu, Adam berkata, dia mula jatuh cinta dan ingin menjadikan Fiza sebagai isterinya yang sah.

"Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia kearah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya.

"Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," katanya.
 
 

Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2.

Tambah Adam, walaupun pada awalnya ibu agak risau dengan status Fiza yang juga merupakan seorang selebriti, namun tanggapan itu mula berubah selepas kedua-duanya dipertemukan.

"Ibu saya mula-mula risau sebab takut Fiza tidak boleh terima keluarga kami, maklumlah kami bukan golongan kaya dan hanya tinggal di kampung.

"Tapi selepas membawa Fiza bertemu dengan keluarga pada Hari Raya lalu, semua keluarga saya menyukai dia," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata majlis pernikahannya akan dijalankan dalam keadaan yang sederhana yang hanya dihadiri kedua-dua belah pihak keluarga.

Bagaimanapun, majlis persandingan masih belum ditetapkan.

 

Sunday, September 22, 2013

Gambar Perkahwinan Fouziah Ghous Dan Zhafran




Fouziah Gous sah bergelar isteri kepada Md Zhafran Md Yusof dengan sekali lafaz

SHAH ALAM: Pelakon Fouziah Gous sah bergelar isteri kepada Md Zhafran Md Yusof, 30,
dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, pada Sabtu.

Akad nikah disempurnakan Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Ustaz Muhammad Sujak Mohd Dasuki.

Ia diwakil walikan oleh abang pengantin perempuan, Abdul Wahab Mohd Gous, kira-kira pukul 9.40 malam.

Fouziah, 30, menerima mas kahwin sebanyak RM1,112 manakala wang hantaran RM50,000.

Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.




Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah Sirih Junjung, set barang kemas, set wangian, senaskah Al-Quran, cek hantaran, beg tangan dan kaca mata, manisan dan coklat.

Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah sirih junjung, sebentuk cincin, jam tangan, kaflin dan kaca mata, tali pinggang, pen dan cluth, set wangian dan penjagaan kulit, manisan strawberi dan manisan kurma.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan bagi pihak perempuan akan diadakan pada 29

September ini di Hotel J.Marriot, Putrajaya, manakala sebelah lelaki pada 5 Oktober depan di kediamannya di Bukit Jelutong.

Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu.

sumber...Kemalia Othman Mstar OL


Thursday, September 19, 2013

Menikah Dalam Van Pun Boleh Jugak...




Prosedur nikah di Thailand amat mudah hingga boleh disempurnakan di dalam kenderaan

 SONGKHLA - Setiap bulan lebih 1,000 rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana keterbukaan negara Gajah Putih itu dalam hal perkahwinan.

Konsulat Jeneral Malaysia di sini, Mohd Faizal Razali berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pernikahan yang dilakukan melalui sindiket haram, di sini.

“Kebanyakan mereka kahwin di selatan Thailand untuk mengelak perkahwinan mereka diketahui isteri pertama yang (dirasakan) tidak memberi persetujuan berpoligami atau keterlanjuran tetapi dihalang ibu bapa dan ahli keluarga.

Di selatan Thailand prosedur dan proses pernikahan tidak rumit serta cepat dan rata-rata pasangan yang berkahwin terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Paling ramai adalah yang berumur dalam lingkungan 30-an,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan persatuan mewakili 12 sekolah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi KPTM, Mohd Azis Jamman, Pengarah KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussain, Pengarah Kampus KPTM Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Hussin dan pengetua-pengetua 12 sekolah yang terlibat.

Menurutnya, kebanyakan pasangan terdiri daripada mereka yang tinggal di negeri bersempadan Malaysia-Thailand seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Mohd Faizal berkata, jumlah tersebut dijangka lebih ramai jika turut melibatkan pernikahan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah.

Katanya, apa yang menyedihkan ialah sindiket haram mengenakan bayaran tinggi tetapi kebanyakan proses pernikahan yang mereka uruskan diadakan di tempat yang tidak sesuai seperti di kedai makanan, dalam kenderaan dan tidak kurang yang diadakan hanya di tepi jalan.

Beliau berkata, melalui konsulat, pernikahan dilakukan melalui proses yang sah mengikut garis panduan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan serta mendapat pengesahan Pejabat Konsul Malaysia, di sini.

“Melalui pihak konsul Malaysia, pasangan yang ingin bernikah hanya perlu mengeluarkan RM50 untuk pemprosesan dokumen dan ia juga tidak serumit yang dilakukan oleh pihak sindiket.

“Tugas utama kami adalah bagi memastikan bahawa perkahwinan yang berlangsung itu mengikut garis panduan dan mengelakkan pasangan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket,” katanya.

Menurutnya, melihat kepada sikap rakyat Malaysia yang suka ambil jalan mudah untuk berkahwin, beliau menyeru orang ramai agar tidak bernikah melalui sindiket kerana prosedurnya tidak sah dan akan beri kesan kepada keturunan pasangan berkenaan, di masa akan datang.

Mohd Faizal berkata, pihaknya tidak mahu mereka ini menjadi mangsa penipuan pernikahan secara sindiket kerana ia dibuat melalui prosedur yang tidak sah, semata-mata ingin kaut keuntungan.

“Saya tegaskan perkara ini perlu diambil serius kerana  ianya melibatkan keturunan pasangan yang bernikah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pasangan bernikah secara tidak betul maka apabila anak dilahirkan nanti menjadi tidak sah dan ini sudah tentu boleh merosakkan institusi kekeluargaan Islam tersebut.

sumber... HAZELEN LIANA KAMARUDIN, Habsah ismail & siti fatihah awang. s.harian

Thursday, September 29, 2011

Selamat Pengantin Baru: Noraniza Idris Dan Jeffri

Noraniza Idris Akhirnya Bergelar Isteri Kepada Bilal Masjid

PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, sah bergelar isteri kepada bilal sebuah masjid di Singapura, Jeffri Hudi, 52.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Baru, Johor, kira-kira pukul 2 petang, Khamis.

Menurut pembantu peribadi Noraniza iaitu Yus Sulaiman, pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah, Abu Bakar Watak berwalikan abang penyanyi itu, Mohd Arshad Idris dengan mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran.

Noraniza juga turut menerima wang hantaran sebanyak RM15,000.

Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-dua pasangan pengantin.

Pihak perempuan menerima enam dulang hantaran seperti set minyak wangi, tasbih, telekung, sirih junjung, sebentuk cincin serta sejadah dan dibalas lima dulang hantaran iaitu songkok dan kain pelekat, senaskhah Al-Quran, sirih junjung, sejadah dan set minyak wangi.

Noraniza anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Eilla Faiz Shah (Busana Cinta), sementara pelamin ditaja oleh Juwein Bridal Gallery.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan mereka akan diadakan pada Sabtu ini di Dataran Plaza Angsana, Johor Baru.

Ia diadakan seiring dengan sambutan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.

Selain perkahwinan berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.

Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.

Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.

Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.

sumber...Mstaronline