Followers

Showing posts with label ahmad idham. Show all posts
Showing posts with label ahmad idham. Show all posts

Tuesday, April 30, 2013

Hiburan Selepas PRU13: Ahmad Idham Anggap Norman Berfikiran Sempit


Isu Hiburan: Norman Tetap Bidas PAS, Ahmad Idham Anggap Fikiran Sempit

PETALING JAYA: Penerbit album Norman Abdul Halim tetap mempertahankan kenyataannya menerusi Twitter dengan mendakwa industri hiburan negara ini akan hancur jika Pakatan Rakyat (PR) termasuklah PAS memerintah selepas Pilihan raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.
Norman berkata, tujuan dia menulis perkara itu adalah untuk membolehkan masyarakat membuka mata untuk melihat kelemahan PR dengan memberikan pendapat dalam Twitter berkenaan.
"Dengan kenyataan yang diberi, saya menerima banyak kritikan tetapi apa yang saya cakapkan sebenarnya adalah fakta, bukannya suka-suka atau mahu menakut-nakutkan orang.
"Jangan lihat industri seni ini pada satu sudut tertentu, lihat pada keseluruhannya. Perlu diingat industri kreatif berkembang dan ia sekali gus meningkatkan ekonomi negara.
"Apabila saya kata industri hancur jika PAS memegang negara adalah kerana tumpuan parti itu lebih untuk menjadi kerajaan khusus untuk Islam dan Melayu.
Twitter yang ditulis Norman pada Ahad lalu mengundang kritikan banyak pihak.
“Dengan dasar PAS yang sebelum ini sering menolak industri kreatif menerusi pengharaman pawagam di Kelantan dan Terengganu, ia sedikit sebanyak menghilangkan sebahagian sumbangan kepada ekonomi kita," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Dalam Twitter miliknya Ahad lalu Norman antara lain turut berkata pengeluaran filem dan muzik antarabangsa juga akan turut terjejas.
Komen Norman itu mendapat kritikan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut termasuklah penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyifatkan pandangan berkenaan sebagai cetek.
Norman yang juga Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, kelemahan PAS dapat dilihat berpandukan kepada isu-isu sebelum ini apabila pelbagai konsert telah diharamkan dan ia sekali gus menyekat perkembangan industri seni negara.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komen yang diberikan di Twitter bukan kerana mahu mengkritik mana-mana individu tertentu, sebaliknya dasar kepimpinan parti PAS.
"Orang yang tidak rasional sahaja yang tidak boleh menerima kenyataan saya itu. Lagipun saya cakap pun secara hormat dengan meminta maaf terlebih dahulu sebelum berkata-kata.
"Jangan salah ertikan maksud saya. Saya seorang beragama Islam tetapi bukan agama PAS," tegasnya.
Ahmad Idham pula menulis menerusi Twitter miliknya.
Pemikiran sempit
Mengulas kenyataan tersebut Ahmad Idham berkata selebriti-selebriti yang menganggap industri seni akan hancur dengan perubahan kerajaan adalah mereka yang memiliki pemikiran sempit kerana cuba mengaitkannya dengan hiburan.
"Saya tidak berpihak kepada sesiapa tetapi ingin menegaskan kepada para artis supaya tidak mengaitkan apa-apa perkara melibatkan politik dengan industri seni.
"Apabila ada yang menganggap industri seni akan hancur sebaik sahaja pemerintahan kerajaan bertukar tangan, ia adalah satu perkara yang mengarut.
"Bagi saya, industri seni kita mempunyai pendirian sendiri dan ia mampu berdikari walaupun sesiapa sahaja memimpin negara.
"Saya tak mahu ada pihak menganggap orang seni terlalu bergantung harap kepada kerajaan yang memerintah. Yang menjadi penentu filem saya laku atau tidak bukan menerusi kontrak kerajaan, tetapi para penonton yang menontonnya," katanya.
Tambah Idham lagi, dia yakin dengan memiliki produk filem atau muzik yang bagus, industri seni tempatan tidak akan tergugat sama ada kerajaan bertukar tangan mahupun tidak.
Dalam pada itu, Idham turut menasihatkan kepada para artis yang terlalu lantang bersuara berhubung hal-hal politik supaya mengkaji dahulu asal usul parti serta sejarah negara.
Katanya, jika komen yang diberi tanpa dibuat kajian, ia dikhuatiri mungkin boleh memberikan persepsi buruk kepada masyarakat yang akan menganggap artis tempatan mempunyai tahap pengetahuan yang cetek.

Monday, September 19, 2011

'Hantu Bonceng' hina Islam ???

PAS dakwa 'Hantu Bonceng' hina Islam

Pemuda PAS menyatakan kekesalannya terhadap kelemahan agensi kerajaan membenarkan filem "berbaur penghinaan kepada Islam" diterbitkan untuk tontonan umum, seperti filem Hantu Boncengarahan sutradara terkenal Ahmad Idham.
Ketuanya Nasrudin Hassan (kiri) berkata, filem komedi baru yang dibintangi pelawak terkenal Zizan Razak mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Nasrudin berkata, terdapat dialog dalam satu babak yang berbunyi "asyhadu anna Muhammadar syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan).

"Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa, justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan," katanya.

Filem dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM 5 juta untuk lima hari tayangan.

Selain Zizan yang sinonim dengan rancangan Raja Lawak, ia turut membariskan aktres terkenal Juliana Evans dan Jue Aziz.

Penapis teh atau cendol?

Ia mengisahkan Amran yang sering diganggu dengan hantu Maya yang mati ketika diboncengnya sebelum itu. Berbagai cara dilakukan Amran untuk menepis gangguan itu sehinggalan tanpa disedari Amran mula berubah menjadi lebih baik.
Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata, filem untuk tontonan umum itu akan mencetus kekeliruan, memberi gambaran salah terhadap Islam, dan turut merosakkan akidah masyarakat awam.

Justeru, dewan itu mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), mengapa masih wujud babak kontroversi itu.

"Apa yang ditapis selama ini? Penapis apa yang mereka pakai? Penapis tea(teh)? Atau penapis cendol yang berlubang besar?

"Sehingga masih banyak adegan yang 'menyenakkan mata' dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan," kata graduan Universiti Al-Azhar itu.

Lebih malang, Nasrudin menambah, pihak berkuasa agama didakwa seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa-apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam, seperti dalam kes blog Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara sebelum ini.

Cadang lembaga penapisan tertinggi

Nasrudin juga menyatakan kekesalannya terhadap lambakan filem tahyul dan karut untuk tontonan umum di kaca televisyen bermaharajalela di pelbagai saluran.

"Jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya?" soalnya lagi.
Sehubungan itu, Nasrudin berkata, pihaknya menggesa Finas dan LPF mewujudkan panel syariah berautoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi, terutama dalam menangani karya berkaitan Islam.

"Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulama seperti mufti atau pihak berkuasa agama, seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem.

"Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulama untuk melepaskan diri," katanya lagi.

Katanya, industri filem harus maju dan berkembang ke seluruh dunia dengan membawa imej baik tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak, semata-mata untuk dijadikan "tangkal pelaris".

sumber...malaysiaKini