Followers

Showing posts with label muammar ghaddafi. Show all posts
Showing posts with label muammar ghaddafi. Show all posts

Friday, October 21, 2011

Gaddafi Akhirnya Mati Ditembak

FOTO Muammar Gaddafi dilumuri darah di Sirte, Libya semalam.- Reuters

SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.

“Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.

NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.

“Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.

Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.

Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.

NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.

Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.

NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.

Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.

Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”

Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.

Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.

Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.

“Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.

“Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.

Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.

Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.

Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.

Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.

Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.

Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.

Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.

sumber...Agensi

Tuesday, August 23, 2011

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.


Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang.

sumber... AP