Followers

Showing posts with label myanmar. Show all posts
Showing posts with label myanmar. Show all posts

Friday, November 16, 2018

Tun Mahathir Tibai Suu Kyi Depan Depan



Pertemuan antara Tun Dr Mahathir dan Suu Kyi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura.Rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota, "membuat kritikan secara tidak langsung" dan “prihatin” terhadap isu Rohingya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Singapura pada Khamis.

Mereka berharap orang Rohingya akan dapat kembali (ke Myanmar) dengan selamat, katanya pada
akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di republik itu.

Dr Mahathir terus menerus bersikap kritikal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, dengan berkata beliau “cuba mempertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan.

Ditanya sama ada negara anggota ASEAN lain "kurang memandang atau tidak mempunyai pandangan yang begitu baik” terhadap Suu Kyi, Dr Mahathir berkata : “Saya rasa mereka agak terkawal apabila menyebutnya… Mereka tidak secara terang-terangan mengutuk beliau atau Myanmar, tapi lebih banyak menyebut tentang sesuatu yang patut dilakukan dengan lebih baik.”

Dr Mahathir, 93, yang merupakan ketua kerajaan paling tua pada sidang kemuncak itu, berkata kenyataan paling keras tentang isu Rohingya disuarakan Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence.

Suu Kyi boleh mempengaruhi keadaan


Dr Mahathir sekali lagi menegaskan Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia dalam menerima orang berketurunan asing apabila ia mencapai kemerdekaan 61 tahun lepas.

“Secara tidak langsung, kami menyebut tentang bagaimana di Malaysia, kami menerima orang berketurunan asing menjadi warganegara dan kami tidak pernah menyuruh mereka meninggalkan negara kami atau melakukan sesuatu terhadap mereka. Mereka menjadi warganegara dan berada dalam kerajaan. Tetapi, saya menyebut perkara itu dalam konteks lain, saya fikir beliau tahu apa yang saya maksudkan,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau berpendapat kerajaan Myanmar bersikap serius untuk menyelesaikan isu itu, Dr Mahathir menjawab :“Kita perlu faham tentang agihan kuasa di Myanmar. Aung San Suu Kyi bukan Ketua Kerajaan. Beliau sebenarnya Kaunselor Negara.”

Apabila ditanya apakah itu bermakna nasib kerajaan tidak terletak di tangannya, Dr Mahathir berkata Suu Kyi akan dapat mempengaruhi kerajaan dengan pendapat yang disuarakan semasa persidangan itu kerana hampir setiap orang membangkitkan perkara tersebut.

 Menjawab soalan sama ada beliau, sebagai perdana menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: “Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan.”


“Ini kerana, apabila perkara ini (isu Rohingya) berlaku, saya mengutus sepucuk surat kepadanya. Beliau tidak mengaku menerima surat itu. Beliau tidak menjawabnya dan saya juga tidak bertanya beliau sama ada beliau menerimanya atau tidak.

“Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berjabat tangan dengan Suu Kyi atau sama ada pemimpin Myanmar itu yang menghulurkan tangan terlebih dahulu, Dr Mahathir berkata:“Sikit-sikit saja.”
Beliau berkata, sekiranya Suu Kyi menghulurkan tangan, tentu beliau tidak akan mengabaikannya.

“Saya tidak tahu siapa dulu,” kata Dr Mahathir dan menambah bahawa Suu Kyi berdiri di sebelah beliau semasa sesi pertama dan pemimpin Myanmar itu berpaling untuk bercakap dengannya.

sumber... Bernama
foto Bernama

Saturday, December 6, 2014

Rumah Sembelih Warga Myanmar Ditemui di Pulau Pinang



Polis Pulau Pinang menemui rumah di Kampung Pisang, Machang Bubuk yang dipercayai digunakan untuk menyembelih warga Myanmar. – Gambar The Malaysian Insider, 5 Disember, 2014

Polis Pulau Pinang menahan dua lagi suspek awal pagi ini di Bukit Mertajam yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam baru-baru ini dan menemui rumah yang dijadikan tempat menyembelih mangsa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil tangkapan dua individu berusia lingkungan 30 ke 40 tahun itu menyaksikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan adalah 17 orang dan kesemuanya warga Myanmar.

Beliau juga berkata, pihak polis menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Pisang, Machang Bubuk, Bukit Mertajam dalam Ops Kelar yang dilancarkan dua minggu lalu untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut.

"Salah sebuah rumah digunakan sebagai tempat penyembelihan. Mereka mengerat anggota badan sebelum membuangnya di beberapa lokasi.

"Suspek tinggal berdekatan rumah sewa tidak jauh dari rumah tersebut," katanya semasa melawat rumah tersebut.

Rahim berkata, polis menemui tiga parang dalam rumah yang dikatakan menjadi tempat penyembelihan yang disyaki digunakan untuk memotong anggota badan, sebuah kereta dan motorsikal.

Dengan tangkapan dan penemuan tersebut, Rahim berkata 18 kes pembunuhan warga asing di Pulau Pinang berjaya diselesaikan.

Kes tersebut termasuk penemuan kepala dalam sebuah beg di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam pada 24 November dan sepasang tangan serta kepala yang ditemui berhampiran balai polis Machang Bubuk pada Isnin lepas.

"Meninggalkan anggota badan berhampiran balai polis seolah cuba mencabar kredibiliti kami.

"Tapi orang ramai jangan bimbang. Kami akan pastikan mereka tidak mengancam penduduk tempatan. Kami juga memberi amaran kepada warga asing supaya tidak membuat tindakan melulu," kata Rahim.

Rahim berkata motif pembunuhan adalah dendam dan hutang.

Daripada siasatan yang dijalankan, kebanyakan mereka yang terlibat adalah buruk dan pekerja kontraktor di tapak binaan, serta mengenali satu sama lain.

"Kami percaya dengan tangkapan setakat ini, kami akan selesaikan semua kes pembunuhan melibatkan warga asing dalam masa terdekat," katanya.


sumber...TMI

Friday, April 13, 2012

Jom Tengok Bulat Mata Nama UMNO (New Edition)

  
Nama Ada Nama Baru beb...

Umno sudah jadi 'United Myanmar Nepal Organisation' bukan lagi 'United Malays National Organisation' sepertimana yang menjadi kebanggaan orang Melayu suatu hari dulu, kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu .

Ketika berucap di program minum petang anjuran PAS Tasek Gelugor di Taman Sepadu, Tasek Gelugor semalam, beliau menempelak kepimpinan parti perkauman itu kerana sanggup menjual negara semata-mata untuk mencapai kemenangan pada pilihanraya umum akan datang.

"Umno dan jadi parti serabut iaitu United Myanmar Nepal Organisation bukan lagi Umno seperti dulu yang bekerja kuat untuk rakyat walaupun ada kalangan mereka mengamalkan dasar penyelewengan, rasuah dan penipu," jelasnya.

Bagi beliau, Umno sudah tersasar jauh daripada landasan mereka untuk memastikan Melayu terpelihara dengan aman, harmoni di tanah air sendiri.

Sekarang ini Umno tidak boleh di terima ramai sebagai sebuah parti yang mahu membantu anak Melayu sebaliknya menjadi sebuah 'parti penekan' untuk anak bangsa maju di bidang tertentu.

Tambahan lagi kepimpinan mereka tiada lagi rasa tanggungjawab membela kalangan Melayu yang ketinggalan, dakwanya.

Bagi mereka jika ada peluang ambil dulu, manakala yang tinggal serpihan barulah diberikan kepada rakyat jelata khususnya orang  Melayu.

Sehubungan itu, Umno jelas Haji Mohamad Sabu, tidak releven lagi untuk diperjuangkan oleh orang Melayu khasnya kerana memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara dan (JPN) dan penglibatan Pegawai Khas Perdana Menteri bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai negara.

Ujarnya, mereka sanggup jadi pengkhianat untuk terus berkuasa tanpa berfikir tindakan itu mengancam ketenteraman negara serta membolehkan negara tergadai suatu hari kelak.

"Biar Umno, JPN, SPR dan pegawai Khas Perdana Menteri buat perkara yang tidak betul.  Kita tetap akan ke perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 di Kuala Lumpur nanti.

"Saya harap semua ahli, penyokong dan orang yang prihatin terhadap penyelewengan SPR gerakan langkah ke perhimpunan tersebut nanti, " ajaknya.

Bagi beliau, 'Task Force' yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar itu bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana perbuatan tersebut mengundang keresahan rakyat.

Bukan itu sahaja, kedatangan warga asing untuk mengundi itu kelak pastinya mengundang kemarahan rakyat tempatan walaupun mereka ada kad pengenalan dan nama sebagai pemilih.

"Saya benar-benar bimbang apabila warga asing datang mengundi nanti.  Pasti terdapatnya bantahan penduduk tempatan walaupun mereka mempunyai kad pengenalan sah dan terdapat nama dalam buku pemilih.

"Umno mungkin tidak terkejut kerana merekalah perancang utama fenomena tersebut yang jadi mangsa nanti rakyat yang tidak puas hati, " jelasnya beliau lantang.

Sementara itu dalam ceramahnya sempena Paluan Gendang PRU13 yang diadakan di Padang Awam, Penaga, Kepala Batas, Mohamad berbangga sekarang ini kerana ramai anak muda sertai PAS termasuklah golongan artis.

Golongan artis yang dulunya terdedah dengan gejala yang kurang bermoral kini terpanggil untuk membantu PAS menyuarakan kehendak parti dan Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini amat membanggakan saya kerana mereka yang bergelar artis sanggup turun padang atau berada sepentas dengan kepimpinan PAS menyuarakan prinsip PAS kepada masyarakat, " tegas beliau.

Turut berucap pada program Paluan Gendang PRU13 itu ialah Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfudz Mohamed, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain dan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Ir Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

 sumber...Harakahdaly