Pertemuan antara Tun Dr Mahathir dan Suu Kyi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura.Rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota,
"membuat kritikan secara tidak langsung" dan “prihatin” terhadap isu
Rohingya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Singapura pada
Khamis.
Mereka berharap orang Rohingya akan dapat kembali (ke Myanmar) dengan selamat, katanya pada
akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di republik itu.
Dr Mahathir terus menerus bersikap kritikal terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, dengan berkata beliau “cuba mempertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan.”
Ditanya sama ada negara anggota ASEAN lain "kurang memandang atau tidak mempunyai pandangan yang begitu baik” terhadap Suu Kyi, Dr Mahathir berkata : “Saya rasa mereka agak terkawal apabila menyebutnya… Mereka tidak secara terang-terangan mengutuk beliau atau Myanmar, tapi lebih banyak menyebut tentang sesuatu yang patut dilakukan dengan lebih baik.”
Dr Mahathir, 93, yang merupakan ketua kerajaan paling tua pada sidang kemuncak itu, berkata kenyataan paling keras tentang isu Rohingya disuarakan Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence.
Suu Kyi boleh mempengaruhi keadaan
Dr
Mahathir sekali lagi menegaskan Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia
dalam menerima orang berketurunan asing apabila ia mencapai kemerdekaan
61 tahun lepas.
“Secara tidak langsung, kami menyebut tentang bagaimana di Malaysia, kami menerima orang berketurunan asing menjadi warganegara dan kami tidak pernah menyuruh mereka meninggalkan negara kami atau melakukan sesuatu terhadap mereka. Mereka menjadi warganegara dan berada dalam kerajaan. Tetapi, saya menyebut perkara itu dalam konteks lain, saya fikir beliau tahu apa yang saya maksudkan,” kata Dr Mahathir.
Ditanya sama ada beliau berpendapat kerajaan Myanmar bersikap serius untuk menyelesaikan isu itu, Dr Mahathir menjawab :“Kita perlu faham tentang agihan kuasa di Myanmar. Aung San Suu Kyi bukan Ketua Kerajaan. Beliau sebenarnya Kaunselor Negara.”
Apabila ditanya apakah itu bermakna nasib kerajaan tidak terletak di tangannya, Dr Mahathir berkata Suu Kyi akan dapat mempengaruhi kerajaan dengan pendapat yang disuarakan semasa persidangan itu kerana hampir setiap orang membangkitkan perkara tersebut.
Menjawab soalan sama ada beliau, sebagai perdana menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: “Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan.”
“Ini kerana, apabila perkara ini (isu Rohingya) berlaku, saya mengutus sepucuk surat kepadanya. Beliau tidak mengaku menerima surat itu. Beliau tidak menjawabnya dan saya juga tidak bertanya beliau sama ada beliau menerimanya atau tidak.
“Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk,” katanya.
Ditanya sama ada beliau berjabat tangan dengan Suu Kyi atau sama ada pemimpin Myanmar itu yang menghulurkan tangan terlebih dahulu, Dr Mahathir berkata:“Sikit-sikit saja.”
Beliau berkata, sekiranya Suu Kyi menghulurkan tangan, tentu beliau tidak akan mengabaikannya.
“Saya tidak tahu siapa dulu,” kata Dr Mahathir dan menambah bahawa Suu Kyi berdiri di sebelah beliau semasa sesi pertama dan pemimpin Myanmar itu berpaling untuk bercakap dengannya.
sumber... Bernama
foto Bernama