Followers

Monday, November 12, 2018

Jamal: 'Aku Lemas...Tolong Buka Beg ini'


Berdasarkan rakaman audio saat-saat akhir kematiannya wartawan Arab Saudi yang dibunuh di Turki, Jamal Khashoggi, dipercayai amat menderita.

Kata-kata akhir yang dapat didengar dari mulut Jamal ialah: "Aku lemas... buka beg ini dari kepalaku, aku claustrophobic..."

Claustrophobic merujuk kepada perasaan takut melampau dialami seseorang kepada tempat terkurung. Penghidapnya dikenali sebagai claustrophobia.

Memetik kenyataan ketua meja siasatan Daily Sabah, Nazif Karaman, Al Jazeera melaporkan Jamal dibunuh dengan melemaskannya menggunakan beg plastik.

Daily Sabah ialah akhbar prokerajaan yang diterbitkan di Turki dan menggunakan bahasa pengantar Inggeris, Jerman, Arab dan Russia.

Kata Nazif mengikut rakaman kejadian dalam bangunan konsulat Arab Saudi di Instabul itu pembunuhan Jamal berlaku selama kira-kira tujuh minit.

"Rombongan dari Saudi itu mengalas lantas di situ dengan plastik sebelum melupuskan mayat Jamal - suatu proses yang berlangsung selama 15 minit dipimpin Salah al-Tubaigy iaitu ketua Majlis Perubatan Forensik Saudi," katanya kepada Al Jazeera.

Akan terus siasat

Jamal ialah wartawan kelahiran Arab Saudi yang kritikal terhadap Riyadh. Dia dilaporkan masuk ke bangunan konsulat Arab Saudi itu pada 2 Okt lalu untuk menguruskan hal pernikahannya namun tidak muncul selepas itu.

Riyadh pada awalnya menegaskan Jamal sudah keluar dari bangunan itu sejurus selepas urusannya selesai sehinggalah tekanan antarabangsa memaksa kerajaan Arab Saudi mengaku penyokong Ikhwanul Muslimin itu meninggal dunia.

Sehingga kini mayat Jamal belum ditemui.

 Turki antara negara yang bertegas mahu kes kematian Jamal disiasat sepenuhnya.

Semalam Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata maklumat kandungan audio berkaitan pembunuhan Jamal turut dikongsi dengan kerajaan Arab Saudi, AS, Jerman, Perancis dan Britain.

Ankara mendakwa pembunuhan ke atas Jamal dilakukan sekumpulan 15 orang pakar yang diterbangkan ke Istanbul beberapa jam sebelum Jamal tiba di konsulat terbabit.

Menurut Al Jazeera polis Turki sudah menamatkan pencarian mayat Jamal namun siasatan kejadian bunuh itu akan diteruskan.

Penyiasat Turki percaya mayat Jamal dilupuskan dengan bahan kimia bagi mengelak bukti ditemui.

Nazif berkata akhbar Daily Sabah akan menyiarkan tidak lama lagi gambar peralatan yang dibawa rombongan khas Arab Saudi itu masuk ke Turki dan digunakan dalam pembunuhan Jamal.

Katanya akhbar itu juga akan menyiarkan sebahagian daripada rakaman detik-detik akhir hayat Jamal.

sumber...mKini