Followers

Monday, November 26, 2018

Pergaduhan di Tapak Kuil: 7 Lelaki Kena Cekup


Rusuhan di kuil: Polis tahan tujuh lelaki

Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor mengesahkan pihaknya menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, awal pagi tadi.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar ibu negara dan Selangor antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari tadi.

"Peranan mereka dalam kejadian masih disiasat.

"Buat masa ini, kita telah menempatkan sebanyak 700 anggota dan pegawai polis di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.


Bernama sebelum ini, memetik Mazlan sebagai berkata dua individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi tadi akibat tercedera dalam kejadian awal pagi itu.

"Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua motosikal turut dibakar dalam kejadian berkenaan.

“Sebuah kereta peronda polis turut rosak akibat dibaling batu oleh perusuh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata, bilik gerakan itu menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 2.45 pagi.

“Hasil maklumat diterima, sebuah kereta peronda dihantar ke lokasi. Bagaimanapun, cermin belakang kereta peronda itu pecah selepas dibaling batu oleh perusuh menyebabkan anggota bertugas meminta bantuan unit lain.

“Ketua Polis Daerah Subang Jaya tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kira-kira 50 lelaki berada di dalam kawasan kuil terbabit, manakala beberapa individu lain berada di luar pagar kuil.

“Berlaku saling mencaci dan mencabar antara dua kumpulan terbabit. Dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an cedera dalam kejadian itu. Selain itu, 18 kenderaan, termasuk dua motosikal di kawasan berkenaan dibakar,” katanya.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil, yang berusia lebih 100 tahun.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat bagi memastikan keadaan terkawal.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika proses pemindahan kuil berusia lebih 140 tahun itu.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

sumber...mKini

Rentetan status kuil Sri Maha Mariamman

Kuil dipindah atas arahan mahkamah
31 OKTOBER 2018

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengarahkan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya dekat sini dirobohkan, sebaliknya arahan pemindahannya ke lokasi lain dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin
, V Ganabatirau berkata, berdasarkan Penghakiman Persetujuan (Consent Judgment) bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat telah bersetuju memindahkan kuil tersebut dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil tersebut, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

"Dalam penghakiman persetujuan itu pemilik tanah, (One City) juga bersetuju mendepositkan wang sebanyak RM1.5 juta kepada pihak kuil, di mana saya difahamkan wang telah didepositkan kepada peguam kuil.

"Kerajaan negeri turut menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Ganabatirau, pihaknya percaya isu pemindahan kuil berkenaan telah dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila mahkamah kemudian memutuskan bahawa Chellappa adalah pentadbir sah kuil berkenaan.

Tambah beliau, keputusan itu tidak dipersetujui Nagaraju yang kemudian bertindak membantah kuil tersebut dipindahkan selain mendakwa kerajaan negeri telah mengarahkan ia dirobohkan.

“Ini adalah tidak benar kerana arahan pemindahan kuil ini dikeluarkan oleh mahkamah dan kerajaan negeri perlu patuh kepada arahan berkenaan," katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Selangor sentiasa menjaga keharmonian dan hak semua agama termasuk agama Hindu, di mana sejak 2008 kira-kira 130 tapak kuil telah diwartakan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan patuh kepada arahan yang dikeluarkan mahkamah dan kuil berkenaan perlu berpindah seperti yang diarahkan berikutan ia terletak di atas tanah persendirian.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun pada Khamis lepas, (25 Oktober) kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan boleh pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah, namun Ganabatirau memaklumkan bahawa kuil berkenaan dibina pada 1974. - Bernama