Sejumlah 64 individu termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Nooryana Najwa telah dirakam percakapan kerana menerima wang dalam transaksi yang kini dalam proses siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga mengesahkan sejumlah daripada individu ini adalah terdiri daripada ahli politik.
Setakat ini, polis sudah melakukan serbuan ke lima premis dan tindakan penyitaan telah dilakukan.
Noor Rashid turut menegaskan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) juga tidak menerima sebarang tuntutan rasmi dari mana-mana pihak ke atas sitaan wang tunai dan barang-barang berharga.
"Pihak AMLA PRDM telah menyerahkan notis atau perintah dibawah Seksyen 32 AMLATFPUAA untuk mereka yang menzahirkan tuntutan ini hadir untuk beri keterangan kepada pegawai penyiasat berkaitan pemilikan harta-harta ini.
"Setakat ini kami belum menerima sebarang tuntutan rasmi dari mana-mana pihak, walaupun beberapa kenyataan akhbar berkaitan isu wang tunai ini dibangkitkan dalam akhbar.
"Kami sudah keluarkan notis hari ini, dan kami jangka mereka akan tampil dalam dua atau tiga hari akan datang, kata Noor Rashid dalam satu sidang media perkembangan isu siasatan 1MDB di Bukit Aman pada Khamis.
Noor Rashid juga mengakui proses siasatan 1MDB ini lebih rumit kerana kebanyakan transaksi dan bahan bukti telah dilakukan di luar negara.
Setakat ini, pihak polis telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan keterangan dan dokumen yang diperlukan dari negara-negara luar bagi melengkapkan siasatan.
"Tindakan lanjut oleh pihak polis adalah memohon bantuan dibawah AMLA daripada negara yang terlibat dan seterusnya mendapatkan keterangan dari saki dan dapatkan dokumen untuk menyokong kes kita.
"Kami perlu selesaikan siastan ini, dalam secepat mungkin, dan keputusan boleh dibuat untuk memulakan tindakan undang-undang. Jangan bimbang kami akan selesaikannya," kata Noor Rashid.
sumber...Astro Awani