Followers

Tuesday, November 20, 2018

Bekas Model Kacak Mati Sebagai Militan Daesh di Syria



MELBOURNE - Bekas model yang pernah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Most Eligible Bachelor majalah Cleo Malaysia, Amir Millson dilaporkan terbunuh ketika berjuang untuk kumpulan militan Daesh pada 2016.

Amir Millson yang ibunya seorang rakyat Malaysia, dikatakan terbunuh ketika mahu melancarkan serangan di Syria, demikian menurut laporan akhbar Australia, Herald Sun baru-baru ini.

Laporan itu menyatakan, Amir atau nama penuhnya, Amirrudin Hud Rashid Millson yang sudah berumah tangga dan memiliki seorang anak lelaki, didakwa mula berubah menjadi radikal pada tahun 2014.

Pada awal tahun 2015, Amir yang telah dibatalkan pasportnya, memuat naik imej dirinya memegang senjata api di Syria di media sosial.
Sejak itu, tiada sebarang berita mengenai dirinya.

“Kami mendapat tahu bahawa dia meninggal dunia selepas terpijak periuk api ketika memapah seorang militan lain,” kata seorang rakannya kepada Herald Sun.

Pada September lalu, Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia mengesahkan bahawa Amir terbunuh ketika berjuang dengan militan Daesh.

Lelaki yang berasal dari Perth itu mengikuti pengajian dalam bidang komunikasi massa di Universiti Curtin sebelum kembali ke Malaysia dan memenangi pertandingan model kacak tersebut pada tahun 2010.

Pada usia 27 tahun, Amir merupakan seorang model separuh masa dan merancang untuk menjadi penyampai televisyen.

Dalam satu temu bual dengan majalah Cleo, Amir berkata, dia mahu menjadi perdana menteri dan menyifatkan model Australia, Miranda Kerr dan pelakon Orlando Bloom sebagai pasangan ideal.

sumber...Agensi
foto Agensi