Followers

Wednesday, November 28, 2018

Rusuhan Kuil: 'Kami Memang Diserang' Video



"Begitu kelam kabut dan panik," kata seorang anggota bomba menceritakan pengalamannya ketika bertugas di tengah-tengah rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, awal pagi Selasa lalu.

Salah seorang daripada lapan anggota yang ditugaskan, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata pasukannya memang telah diserang perusuh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tugas saya untuk turun daripada jentera dan terus ke tempat simpanan salur bantu mula (hose reel). Jika kebakaran di sebelah kiri, saya akan tuju tempat simpanan di sebelah kiri untuk memadam api.

"Tapi belum sempat keluar, kami sudah diserang. Saya terus lari dan masuk ke dalam jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakang jentera Fire Rescue Tender (FRT)," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, katanya lagi, pintu jentera EMRS itu turut diserang sehingga tercabut, dan kini menjadi sebahagian bahan bukti polis.

Dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid menampilkan Hazim, 31, sebagai individu yang dilanggar belakang jentera bomba seperti yang dipaparkan video yang tular hari ini.


Hamdan berkata Hazim yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya terselamat dalam kejadian itu.

Ia bagi menafikan dakwaan pihak kuil bahawa individu itu adalah Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum ini dilaporkan diserang perusuh sehingga cedera parah.

Hamdan berkata anggotanya berdepan situasi sukar apabila perusuh melemparkan peralatan seperti kayu, parang, besi dan paip kepada anggotanya.

"Bila sampai ke lokasi, pemandu EMRS beritahu parang, kayu, besi menghentam pintu jenteranya.

"Kalau ini yang dikatakan sambutan dan layanan yang baik, anda sendiri boleh menilainya," katanya lagi.

Oleh: Anne Mohamad mKini

Adib cedera bukan kerana dilanggar

   

Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini menafikan dakwaan kecederaan anggotanya Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran dilanggar jentera bomba, seperti yang didakwa.

Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid berkata individu dalam klip video yang tersebar - yang memaparkan seorang lelaki berpakaian sut kalis api berjalan di belakang jentera bomba yang sedang mengundur - bukan Adib, tetapi seorang lagi anggota bomba.

"Ada bukti menyatakan Adib yang dilanggar? Individu yang berdiri (dalam video itu) bukan Adib, tetapi Mohd Hazim Mohd Rahimi.

"Orang itu (Hazim) ada di sebelah saya ini," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Hamdan berkata lapan anggotanya yang berada di tempat kejadian juga boleh membuktikan perkara itu.

Hari ini penjaga kuil Sri Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, S Ramaji menafikan Adib yang kini dirawat di IJN cedera akibat dipukul perusuh pada awal Selasa lalu.

Sebelum ini Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dilaporkan ditarik keluar daripada kenderaan bomba dan dipukul, menyebabkannya patah tulang rusuk dan mengalami kecederaan dalaman.

Beliau kini beransur pulih dan tidak lagi berada di tahap kritikal.

Mohamad Hamdan berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut yang menurutnya tidak berasas.