Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan skim subsidi harga padi akan dinaikkan daripada RM300 setan kepada RM360 setan.
"Satu adalah berkaitan dengan skim subsidi harga padi, saya ingin umumkan di sini skim subsidi akan dinaikkan daripada RM300 setan kepada RM360 setan," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Lim juga mengumumkan harga lantai getah turut dinaikkan daripada RM2.20 sekilogram menjadi RM2.50 sekilogram.
"Tentang harga lantai getah, dulu RM2.20 sekilo kepada RM2.50 sekilo," katanya.
Semalam, anggota parlimen Bagan berkata kerajaan kekal komited dalam membantu petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan, dan subsidi yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada golongan itu.
Terdahulu, beberapa pihak mengkritik Belanjawan 2019 kerana didakwa mengenepikan kepentingan golongan tersebut.
Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak yang menyifatkan belanjawan tersebut untuk golongan bandar sahaja.
Anggota parlimen Pekan mendakwa pembentangan belanjawan itu langsung tidak menyebut golongan petani, peladang dan nelayan, serta peruntukan untuk sektor pertanian jauh lebih rendah berbanding belanjawan 2018 ketika pentadbiran BN.
sumber...mKini