Followers

Saturday, November 24, 2018

DBKL Tutup Pusat Hiburan 'Kebal'




Selepas kira-kira 10 tahun dikatakan ‘kebal’ daripada sebarang tindakan undang-undang, tiga pusat hiburan di sekitar ibu kota disita kerana beroperasi tanpa lesen sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood, berkata pihaknya membuat serbuan di enam pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa dan Jalan Ampang, di sini, semalam.

“Hasil maklumat diterima, kami membuat pemeriksaan terhadap enam premis di sekitar dua lokasi berkenaan. Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga premis didapati beroperasi tanpa lesen sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Malah, premis itu juga didapati melanggar peraturan lain termasuk beroperasi lebih masa. Berdasarkan aduan diterima, ada di antara premis berkenaan yang beroperasi bermula jam 10 malam hingga 10 pagi.

“Kami mengambil tindakan menyita dan menutup tiga pusat hiburan berkenaan, manakala tiga lagi premis dikenakan notis atas kesalahan lain dilakukan seperti tidak mempamerkan lesen,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa pusat hiburan di sekitar ibu kota ini yang dianggap ‘kebal’ daripada segala tindakan undang-undang sebelum ini.

“Kami mengenal pasti beberapa pusat hiburan yang sebelum ini belum pernah diambil tindakan. Justeru itu, kami akan melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya daripada mereka terus ‘kebal’ dari tindakan undang-undang.

“DBKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Malah, pemeriksaan dan operasi akan dilakukan secara konsisten dalam usaha membanteras pusat hiburan yang ‘kebal’,” katanya.