Ura-ura rombakan kabinet pelan-pelan terdengar. Tentunya menteri-menteri yang kelihatan sering diasak oleh rasa tidak puas hati rakyat dan pihak media sebagai calon yang perlu digugurkan, merasa panas punggung. Memang kuasa kalau salah diambil, pasti menjadi seperti candu.
Mengambil pengalaman ketika Dr Mahathir Mohamad pertama kali menjadi perdana menteri dahulu, apabila beliau mahu melakukan rombakan kabinet, beliau selalu akan berkata “tidak”. Kita boleh menduga yang PM perlu menafikannya demi mengekalkan semangat menteri yang masih menjadi menteri—sementara mereka belum digugurkan.
Sekiranya PM berkata “ya” terlalu awal, sepotong kata “ya” itu sahaja boleh menjadikan seluruh kabinet bertaburan serta pudar semangat. Silap-silap ada menteri yang jadi malas datang pejabat. Hanya membiarkan sahaja masa berlalu sebelum beliau benar-benar dipancung. Lebih buruk, menteri yang merasakan dirinya calon yang paling mungkin digugurkan, dia melompat parti.
Apa yang kita bicarakan ini bukan soal perasaan atau kepentingan peribadi menteri-menteri. Jauh lebih penting adalah soal survival sebuah bangsa, terutama ketika Malaysia dikatakan berada dalam keadaan amat runcing dengan melibatkan sistem pentadbiran yang rosak dan ekonomi yang parah. Rakyat di bawah juga nampaknya yakin, Malaysia yang ditinggalkan oleh BN ibarat rumah yang separuh rosak kalaupun masih boleh dihuni.
Di saat inilah apa yang sangat diperlukan oleh PM Mahathir ialah apa yang mungkin boleh saya ungkapkan sebagai usaha mewujudkan sebuah “Kabinet Reformasi” yang sebenarnya. Bukan hanya lantikan mengisi tempat kosong selepas pilihan raya. Kalau PM Mahathir menangguh atau tidak melakukannya sekarang, pada gilirannya Anwar Ibrahim nanti, beliau wajib membentuknya dengan tegas. Lagi lambat, lebih merugikan.
Kita boleh belajar daripada banyak negara yang dilanda krisis, barisan jemaah menteri dalam fasa pertama untuk mengharung krisis adalah di kalangan mereka yang bukan calang-calang orang.
Mestilah di kalangan individu yang faham betul tentang penyakit, cekap serta komited untuk perubahan. Bukan waktunya untuk terlalu difikirkan kepentingan politik kepartian—sedangkan janji Pakatan Harapan, tanah air ini lebih penting daripada parti mana sekalipun. Malaysia first! Noktah.
Dalam konteks negara ini, tidak boleh dibenarkan seorang pun menteri dan timbalan-timbalannya tidak memahami cita-cita dan maksud Reformasi. Perjuangan Reformasi telah berusia dua dekad ketika keburukan BN yang dilakukan tetap tertangguh sepanjang tempoh itu.
Tugas membetulkan buku hutang negara perlu diiringi dengan kerja melakukan reformasi total. Tanpa kesedaran, kefahaman dan benar-benar merasakan tentang apa itu Reformasi, menteri yang dilantik akan hanya menjadi ibarat kura-kura di atas tiang.
Dia terpinga-pinga, canggung, serba tak kena
Istilah menteri kura-kura di atas tiang atau “post turtle” merupakan ejekan bilamana ada menteri yang tidak tahu melakukan sesuatu langkah, keputusan bahkan kenyataan yang tepat dalam politik Amerika Syarikat. Seseorang bertaraf setiausaha negara, ahli senat, menteri atau presiden yang menjadi serba keliru diibaratkan sebagai kura-kura yang diletakkan di atas tiang. Dia pun terpinga-pinga, serba tak kena dan canggung.
Dia berada di situ bukan kerana keupayaan dirinya memanjat tiang, tetapi seseorang yang mengangkat dia ke tempat itu.
Kalau menteri kura-kura dibenarkan lebih lama, dia tetap begitu. Sedangkan perkara pertama yang perlu diselesaikan di dalam sesuatu krisis ialah menimbulkan keyakinan di kalangan rakyat bahawa krisis boleh diselesaikan segera. Sikap pesimistik rakyat jangan sampai dibiarkan membengkak lebih besar.
Sebagai contoh, hutang yang sebesar mana pun bukanlah masalah pokok kalau kita yakin—selain menemukan cara—bahawa ia boleh dilangsaikan. Selepas enam bulan kerajaan Pakatan Harapan berkuasa, bagaimanakah persoalan menimbulkan keyakinan dapat dibentuk kalau semakin hari banyak munculnya wajah kura-kura di atas tiang?
Ketika bangsa kita hendak mencapai kemerdekaan, asas yang ditanam ialah keyakinan. Kita boleh merdeka. Bukan mudah untuk mewujudkan keyakinan di ketika itu sehingga ada di kalangan raja-raja Melayu juga tidak yakin. Ungkapan yang terdengar ialah “hendak buat jarum pun tak reti, inikan pula hendak merdeka.”
Kalau diikutkan beban hutang, negara ini dahulunya bukan sahaja berhutang, bahkan kekayaannya dirompak oleh penjajah sejak ratusan tahun. Bangsa Melayu dan seluruh kaum-kaum di Nusantara tidak ubah sebagai bangsa hamba. Hanya berbekalkan keyakinan, maka bangsa merdeka dapat dicapai.
Keyakinan pula tidak wujud secara percuma atau datang bergolek. Keyakinan juga ada syarat-syaratnya. Keyakinan yang tak semena-mena tidak lain adalah kebodohan juga namanya.
Selain melantik menteri yang faham serta fasih tentang agenda Reformasi, Kabinet Reformasi perlu diisi di kalangan sosok yang benar-benar mempunyai ketrampilan. Sama ada ketrampilan berupa pemikiran, mahupun keperibadian.
Kemerdekaan beberapa negara di Asia tenggara antaranya adalah kita mempunyai sosok pemimpin yang meyakinkan seperti Seokarno di Indonesia, Lee Khuan Yew di Singapura dan Onn Jaafar di Malaysia. Semua tokoh itu bukanlah seperti watak Semar dalam persembahan wayang kulit.
Semar perutnya boroi, pendek serta kepalanya pula lonjong. ‘Kekurangan’ paras fizikal sebegitu—meskipun Semar cukup bijak kerana dia ahli falsafah—namun tidak diangkat sampai menjadi pahlawan atau penyelamat kaumnya dalam persembahan wayang.
Kentut Semar
Semar ada peranan sebagai penasihat atau ahli fikir kepada raja. Apabila raja melakukan perkara salah, Semar (watak wayang kulit) selalunya kentut. Begitu cara dia memprotes kerana dia tidak pernah berani untuk menegur lebih-lebih ketuanya, meskipun dia juga seorang yang sakti.
Bayangkan sahaja “Kabinet Reformasi” yang perlu segera
dibentuk adalah ibarat satu pasukan elit khas tentera. Tidak semua boleh
diterima masuk dalam pasukan elit khas kerana ada syarat mental dan
fizikal yang ketat. Sekiranya pasukan elit khas—yakni Kabinet Reformasi
itu lemah, tidak menggerunkan musuh serta selalu pula terlanjur
salah—maka dibimbangi Pakatan Harapan dilihat oleh rakyat sebagai
“kerajaan sepenggal”.
Antara kesalahan sangat asas dilakukan ialah dengan melantik semula bekas-bekas ‘tentera’ Najib untuk berada dalam pejabat menteri mahupun di mana-mana agensi. Kerak yang ada pun belum dapat dikikis habis, tidak perlu dimasukkan pula dengan karat yang lama.
Sekalipun lantikan sedemikian dikatakan atas dasar merit atau segala bagai alasan mulia, namun di dalam peperangan—termasuk peperangan politik—tindakan sebegitu bolehlah dianggap sebagai mensabotaj batalion sendiri. Di situ nanti hanya mengesahkan bahawa yang rosak cuma Najib dan Rosmah Mansor.
Sementara Najib sudah diganti, semua yang lain adalah Ok-OK belaka. Kesalahan taktikal itu nampaknya turut dikeluhkan oleh penasihat media PM, A Kadir Jasin minggu lalu.
Atas sebab dan kesedaran yang sama, kita juga mendengar ada penulis yang menjelikkan perhimpunan besar penulis yang akan diadakan hujung minggu ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perhimpunan besar berkenaan dikatakan hanya menghimpunkan atau menjenamakan kembali pembodek lama ke era Malaysia baharu.
Memaafkan biarlah bertempat dan pada kadarnya. Bukan mengangkat mereka yang turut bertanggungjawab merosakkan sistem ini, kembali ke dalam sistem.
Saya percaya Pakatan Harapan tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal sepertimana bisikan yang mulai kedengaran. Kerajaan ini juga tentunya tidak mahu dipenggal bukan oleh musuh yang menunggu peluang, tetapi oleh penyokong sendiri yang meluat akibat langkah songsang yang dilakukan oleh pak-pak menteri. Agenda Reformasi lebih besar daripada mempertahankan keegoan parti politik dan menteri-menteri.
Biar siapa pun mereka hari ini. Biar setinggi mana pun tempat duduknya.
oleh... HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.