Followers

Showing posts with label poligami. Show all posts
Showing posts with label poligami. Show all posts

Monday, March 14, 2016

'Ustaz Kasanova' dipenjara Lima Bulan, Denda RM4000



Lelaki yang digelar 'Ustaz kasanova' dipenjara lima bulan dan didenda RM4,000 hari ini oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur kerana cuba berpoligami dan bernikah tanpa kebenaran melibatkan empat wanita.

Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Razis Ismail, 34, dan memerintahkannya dipenjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.

Mohd Razis didakwa atas tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun, dan dua pertuduhan lagi iaitu bernikah dengan wanita sama berumur 24 dan seorang 40 tahun tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 dan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mohd Saifullah memerintahkan Mohd Razis menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara 12 bulan dan enam kali sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 7 Mac lalu kerana melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita sehingga melahirkan anak.

Bagi tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita itu, dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kedah; Golok, Thailand, dan di sebuah flat di Jalan Loke Yew Kuala Lumpur antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012 mengikut Seksyen 133 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagi dua pertuduhan lagi, dia didakwa bernikah dengan wanita berumur 24 dan 40 tahun itu tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah mengikut Seksyen 40(2) akta yang sama, pada 4 April 2010 dan 26 Mei 2012.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Mohd Saifullah berkata mahkamah berpandangan bahawa pengakuan dan segala fakta mengenai pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh sudah memadai dan mencukupi untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman tersebut.

Katanya, mahkamah melihat tertuduh dalam keadaan sedar dan mempunyai niat melakukan kesalahan tersebut seolah-olah mencabar undang-undang yang diperuntukkan demi mencapai kepentingan peribadinya.

"Mahkamah berpendapat tertuduh gagal mengemukakan dokumen lain bagi menyokong rayuannya supaya dikenakan hukuman denda sahaja dan perlu menyara lapan anak,"kata hakim.

Mahkamah sebelum ini memutuskan perkahwinan mereka adalah tidak sah namun tertuduh masih melakukan perkara sama sehingga wanita-wanita tersebut melahirkan anak.

sumber...Bernama

Tuesday, November 18, 2014

Madu Ghaib: Status Poligami Sah Jika Penuhi Syarat, Rukun Nikah


Pernikahan berstatus poligami yang dijalankan di luar negara adalah sah daripada segi hukum agama Islam dengan syarat, setiap rukun dan nikah dipenuhi semua pihak terlibat.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadot berkata, jika pernikahan itu dilakukan dengan adanya wali perempuan (bapa) atau wakil iaitu adik-beradik (perempuan), saksi dan cukup syarat, maka pernikahan tersebut adalah sah.

Katanya, pernikahan tersebut juga sah jika ia dikendalikan oleh jurunikah yang mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama di sesebuah negara itu.

"Tetapi sekiranya pernikahan itu dilakukan oleh pihak berkuasa agama yang tidak bertauliah atau tidak cukup syarat ditetapkan, maka status pernikahan tersebut tidak sah," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan suami kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu yang terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November selepas bernikah di negara jiran di utara tanahair.

Bagaimanapun, Noh berkata, individu yang ingin berpoligami sepatutnya menghantar permohonan tersebut ke mahkamah dan proses pernikahan pula mesti dilakukan di dalam negara.

"Semua individu yang memohon untuk berpoligami perlu bernikah di dalam negara. Kita ada peraturannya... mohonlah kepada mahkamah walaupun status isteri masih belum diketahui," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Amli Embong menyatakan pandangan berbeza mengenai kes poligami di mana akad nikahnya diadakan di luar negara.

Katanya, mana-mana pernikahan di luar negara dianggap tidak sah di sisi undang-undang di negara ini kerana pegesahan di mahkamah syariah di Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu.

"Sepatutnya dia tunggu pengesahan mahkamah untuk menentukan status pernikahan tersebut. Kalau ikut hukum asal, memang mereka tidak dibenarkan tinggal bersama kerana belum ada pengesahan lagi," katanya.

Beliau berkata, mengikut undang-undang, individu tersebut tiada halangan untuk berkahwin di negara ini kerana dia hanya perlu mendapat kebenaran untuk berpoligami daripada pihak berkuasa agama.

"Sebenarnya dia boleh berkahwin di Malaysia tetapi mengapa dia tidak berbuat demikian? Apa yang perlu dilakukan adalah mengikut prosedur, kemuka permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah.

"Selalunya yang akan ambil jalan pintas berkahwin di Thailand ini mungkin nak elak daripada diketahui isteri pertama tapi dalam kes suami mangsa MH370 ini, dia ada alasan untuk mohon berpoligami kerana status isterinya masih tidak diketahui," katanya.

Jelas Amli, mereka yang ingin berpoligami sebenarnya tidak perlu mendapat kebenaran daripada isteri pertama atau isteri-isteri sedia ada tetapi keputusan tersebut hanya ditentukan pihak berkuasa agama negeri.

"Kalau isteri pertama setuju, mahkamah tak setuju tak boleh juga. Mahkamah kena siasat suami sama ada dia layak atau tidak untuk berpoligami. Oleh itu, siasatan pihak berkuasa agama amat penting," katanya.

Amli berkata, individu terbabit mungkin berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah kerana poligami tanpa kebenaran mahkamah.

"Sepatutnya dia kena dapatkan khidmat nasihat peguam yang arif untuk menjelaskan mengenai perkara itu sebelum bertindak," katanya.

sumber...
 Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM

Monday, November 17, 2014

Madu Ghaib: Suami Mangsa MH370 Terpaksa Kahwin Di Luar Negara



Lelaki yang didakwa suami kepada seorang mangsa MH370 ketika melangsungkan majlis perkahwinan baru-baru ini.

Status penumpang dan kru MH370 yang hingga kini masih belum dimuktamadkan bukan sahaja menyebabkan kepiluan kepada waris mangsa, malah ia turut menjadi 'penghalang' untuk mereka meneruskan kehidupan.

Antara masalah yang didepani waris mangsa terlibat ialah untuk membina rumahtangga dengan pasangan baharu.

mStar Online difahamkan, keadaan ini dialami sekurang-kurangnya seorang waris mangsa apabila dia terpaksa bernikah di negara jiran, sebelum mendaftarkan perkahwinannya di negara ini.

Malahan, pasangan ini juga mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana mengamalkan poligami tanpa kebenaran kerana isteri baharunya bermadukan seseorang yang tidak diketahui statusnya sama ada meninggal dunia atau ghaib.

Sumber memberitahu mStar Online,  suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November.

Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isterinya untuk membolehkan dia bernikah kali kedua.

"Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songkla, Thailand dan kini memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami," katanya kepada mStar Online.

Menurut sumber itu lagi, lelaki berkenaan mengahwini seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bekerja di ibu negara.

"Majlis meraikan pasangan pengantin baharu ini juga dilangsungkan secara kecil-kecilan di sebuah homestay di Langat bulan lalu," kata sumber itu.

Isteri lelaki terbabit merupakan antara 239 penumpang yang berada dalam pesawat MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Bagaimanapun, usaha mengesan pesawat itu terus buntu kerana tiada sebarang bukti ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan.

Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen meminta mufti dan pihak berwajib mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan kekeliruan dialami waris penumpang dan kru pesawat MH370 yang masih hilang sehingga kini.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, fatwa itu perlu untuk mencari penyelesaian dan tidak timbul lagi kekeliruan dari segi harta, wasiat, insurans dan sebagainya berkaitan anggota keluarga mereka.

Ikuti penjelasan pihak mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung situasi yang menimpa waris penumpang MH370 ini, Selasa.

sumber...Mstar OL