Tukang urut dan pelanggan terkejut apabila premis diserbu pihak berkuasa.
SUBANG JAYA – Pelanggan lelaki dan seorang tukang urut wanita dicekup
ketika asyik beraksi di atas katil di sebuah pusat urut di SS15 di sini.
Kedua-duanya yang terkejut apabila langsir memisahkan antara ruang
pusat urut itu diselak anggota penguat kuasa bingkas mengenakan pakaian
lengkap selepas itu.
Ketika dicekup, pelanggan lelaki tidak berbaju, memakai seluar pendek
manakala tukang urut wanita separuh bogel dan hanya memakai baju.
Mereka antara tujuh yang ditahan dan diserahkan kepada polis kerana
menjalankan aktiviti tidak bermoral di tiga rumah urut di sini.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),
Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan maklumat awam,
pihaknya menyerbu tiga premis pusat kecantikan dan pusat urut di kawasan
SS15.
Pusat urut pertama yang baru sahaja beroperasi lebih kurang dua bulan
lalu dikenakan tindakan di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat
Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan
perniagaan tanpa lesen dari MPSJ.
Tindakan seterusnya diambil ke atas premis pusat urut kedua yang
didapati berselindung di sebalik nama pusat urut kaki dan kesihatan juga
dijalankan tanpa lesen sah.
Semasa serbuan dibuat, seorang pelanggan lelaki didapati sedang asyik
menerima perkhidmatan seks dari seorang tukang urut wanita warga China.
Soal siasat dijalankan mendapati, pengusaha premis menawarkan pelbagai
perkhidmatan termasuk perkhidmatan badan ke badan (B2B) kepada pelanggan
dengan kos bayaran RM120 hingga RM180 mengikut jam.
Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran
bersama 23 anggota kemudian menyerbu sebuah lagi rumah urut di di Jalan
SS 15/4B.
“Ketika serbuan terdapat seorang pelanggan lelaki menerima urutan badan
dan batin, hasil pemeriksaan mendapati premis mempunyai lesen sah dari
MPSJ untuk urutan refleksologi tetapi menawarkan urutan badan serta
batin kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penutupan premis diambil di bawah UUK 13 (k)
UUKPK MPSJ 2007 kerana pengusaha melanggar syarat-syarat sekatan lesen
dikeluarkan MPSJ.
Pengusaha berdepan denda maksimum RM1,000 bagi setiap kesalahan dilakukan.
oleh Nurfarhana Abdul Rahman