Followers

Monday, February 24, 2020

‘Hari Ini Suatu Pengkhianatan, Perubahan dalam Masa Terdekat’




Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan politik tanah air hari ini sebagai satu “pengkhianatan”.

“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.

“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, walaupun tidak ada pengumuman malam ini, daripada maklumat yang beliau terima memang ada usaha sedemikian.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik bermesyuarat pada hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu, pemimpin tertingginya terbahagi kepada dua pendapat.

Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat PH itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir."
 
Bagaimanapun, sekitar tengah hari tadi, para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali disahkan berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya, manakala Majlis Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti mereka, yang tidak jauh dari hotel itu.

Selepas Bersatu bermesyuarat selama empat jam, Dr Mahathir keluar tanpa menjawab soalan pemberita, dan sekadar melambaikan tangan sahaja.

Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur. Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Kemudian, pada sebelah petang, sumber yang dekat dengan istana mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa enam parti berada di Istana Negara iaitu Bersatu, Umno, PKR (kem Azmin), GPS, PAS dan Warisan.

Pemimpin yang hadir ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden GPS Abang Johari Openg, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar jam 8 malam tadi, disahkan telah meninggalkan Istana Negara.

Perkara itu dimaklumkan pengawal keselamatan Istana Negara, tidak lama selepas lebih 20 kenderaan kenamaan dilihat meninggalkan perkarangan istana sekitar 7.30 petang tadi.

Difahamkan baginda meninggalkan istana selepas "tamat perjumpaan".

Majlis makan-makan saja

Sementara itu, di Hotel Sheraton, Abdul Hadi, Ahmad Zahid dan Azmin serta pelbagai anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan sekitar jam 8 malam tadi.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof kemudian tiba di situ untuk hadir majlis makan malam.

Mereka disusuli Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu beberapa minit kemudian.

Menghampiri jam 10 malam, kebanyakan anggota parlimen Umno, Bersatu dan juga Azmin telah dilihat keluar dari dewan, di mana majlis makan malam berlangsung.

Rata-ratanya enggan menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan penubuhan kerajaan baru.

"Makan-makan saja," kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri yang turut hadir di majlis itu.

Antara yang dilihat di hotel itu ialah:

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)

Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Khairy Jamaluddin (MP Rembau)

Presiden MIC SA Vigneswaran

Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)

Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong

sumber...mKini

Saturday, February 22, 2020

'Kali ini Mahathir Tidak Akan Berdalih Lagi'



Keputusan sebulat suara Majlis Presiden PH untuk memberi mandat kepada Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan sendiri tarikh untuk melepaskan jawatan perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini, ada kesan positif dan kebijaksanaannya.

Secara peribadi, sebagai anggota parlimen PKR yang setia kepada presidennya, saya pada mulanya agak terkilan dengan keputusan itu.

Saya tiada masalah sangat dengan Dr Mahathir melepaskan jawatannya selepas Apec, tetapi jauh di hati saya masih berharap satu tarikh yang pasti. Selepas Apec itu bila? Apa tarikhnya? Bulan apa? Berapa hari bulan?

Persoalan ini tidak dijawab, kekaburan berterusan. Sebab itulah dalam hal undang-undang, apabila kita buat perjanjian soal tarikh mesti ditulis dengan terang, nyata dan tepat. Masa adalah inti pati (time is the essence) dalam apa juga perjanjian, termasuklah perjanjian politik.

Tetapi apa yang positif daripada keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH yang berakhir hingga lewat malam semalam?

Pertama, nampaknya PAS dan Umno terus kempunan untuk merosakkan keutuhan kerajaan campuran PH. Dua parti pembangkang itu sangat ingin melihat parti dalam PH bergaduh dan bercakaran sehingga pecah. Kemudian mereka datang menangguk di air keruh dengan idea pembentukan kerajaan pintu belakang.

Mimpi di siang hari PAS dan Umno tak kesampaian dan mereka kini terpaksa menggigit jari. Undi percaya atau undi tak percaya yang kononnya hendak dibawa PAS di sidang Parlimen pada Mac ini dan disokong oleh UMNO sudah tidak relevan lagi. Isu itu sudah antiklimaks sekarang.

Di sinilah kebijaksanaan yang tersembunyi di sebalik keputusan para pemimpin tertinggi PH lewat malam tadi.

Selain itu, tidak boleh dilupakan sikap kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang tenang dan sabar dalam membantu merumuskan keputusan sebulat suara memberi mandat kepada Dr Mahathir untuk menentukan sendiri tarikh berundur. Sikapnya yang tidak menekan atau mendesak Dr Mahathir dan menunjukkan tingkat kesabaran yang tinggi mencerminkan pekerti seorang pemimpin politik yang berhemah tinggi.

Rakyat kini melihat tingkah laku Mahathir dan Anwar. Pujian dan penghargaan perlu diberi kepada Anwar kerana atas kesabarannya PH terus kukuh dan kerajaan campuran PH dapat diselamatkan.

Bayangkan jika dalam mesyuarat tersebut Anwar membawa sikap dan pendirian yang keras dan enggan bertolak ansur. PH boleh pecah malam tadi juga dan pagi ini kerajaan campuran PH berkubur.

Sekarang pandangan rakyat ke arah Dr Mahathir. Adakah beliau akan berundur selepas sidang Apec? 2023 juga "selepas Apec".

Tetapi rakyat Malaysia bukan bodoh. Saya percaya Dr Mahathir menghargai sikap pimpinan PH terutama Anwar yang sanggup menunggu dan bersabar. Saya percaya Dr Mahathir akan betul-betul berundur selepas sidang itu. Mungkin pada 30 November atau paling lewat 31 Disember 2020.

Mahathir tidak akan berdalih lagi kali ini. Jika beliau terus berdalih, bukan Anwar yang rugi tetapi beliau sendiri. Saya percaya dan terus berharap Dr Mahathir tidak mungkir janji.

Saya adalah salah seorang anggota Parlimen PKR yang patuh pada janji dan arahan parti yang setia berpegang dengan janji PH untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika PH menang pada PRU ke-14.

Sebaik saja diisytihar sebagai anggota parlimen pasir Gudang, pada malam 9 Mei itu, saya ke Petaling Jaya untuk menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, anggota parlimen Langkawi, untuk diangkat menjadi perdana menteri. Sebagai anggota parlimen PH dari PKR, saya telah menunaikan janji saya dan janji parti saya.

Sekarang saya berhak menuntut janji dari Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas sidang Apec, sebelum berakhirnya 2020 ini.

oleh: Hassan Karim

Thursday, February 20, 2020

Kisah Penyusupan ke Dalam Parti BERSATU




Bukan rahsia besar ada bekas warlord Umno terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam pemilihan parti Bersatu yang sedang berlangsung sekarang. Cuma bilangannya yang tidak dapat dipastikan. Namun hakikatnya mereka sedang bergerak aktif .

Saya difahmamkan ada antara mereka yang tidak bertanding secara langsung (mungkin atas faktor usia lanjut) sudah menyusun barisan untuk merebut jawatan pada peringkat cawangan mahupun bahagian. Maknanya bekas warlord Umno meletakkan calon pilihannya untuk cuba menguasai cawangan dan bahagian Bersatu.

Calon yang direstui warlord, seperti warlord itu sendiri, sebelum PRU14 kerap mempersenda pengasas Bersatu Dr Mahathir Mohamad, mengkritik keras Pakatan Harapan pimpinannya dan menyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam erti kata lain mereka adalah Umno totok ketika BN berkuasa dan aktif memperjuangkan Umno sehingga detik PRU14. Sebaik sahaja BN/Umno tumbang, seperti kilat semua posting di platform media sosial mereka yang melaungkan kebaikan Umno dipadam.

Untuk memendekkan cerita mereka terus berpaling tadah. Akaun media sosial mereka dipenuhi catatan pro-PH dan gambar mereka bersama pemimpin PH khususnya Bersatu. Saya pernah tengok gambar orang yang kuat Umno bersama bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malek beberapa minggu PH menang pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Lantas mereka menjadi ahli Bersatu dan kini direstui bekas warlod Umno yang juga sudah jadi ahli Bersatu untuk cuba mendapat jawatan di peringkat cawangan dan bahagian .

Tidak ada salahnya mereka berubah angin dengan menyertai Bersatu. Namun mereka datang dengan membawa budaya Umno. Tidak dinafikan ada budaya baik dalam Umno, ada budaya tidak baik.

Yang membimbangkan jika mereka ini datang berbekalkan budaya buruk parti lama mereka. Tidak perlu dihuraikan, ini boleh mendatangkan mudarat kepada Bersatu – sesuatu yang ibu pejabat Bersatu sendiri akui.

Persoalannya bagaimana golongan ini diterima sebagai ahli Bersatu, malah boleh bertanding. Perlu diingat sekali lagi mereka pernah bergerak aktif menyerang Bersatu dan PH dan hanya masuk Bersatu selepas PH menang PRU14 .

Saringan longgar

Imbas kembali perbualan saya beberapa ketika dahulu dengan seorang ahli majlis tertinggi Bersatu. Ketika itu beberapa ahli parlimen Umno keluar parti untuk menyertai Bersatu. Ura-ura ketika itu ramai lagi YB Umno yang akan menyusul. Rata-rata rakyat Malaysia khusus yang mengundi PH tidak setuju Bersatu menerima golongan itu.

Namun kata ahli majlis tertinggi Bersatu itu, partinya mahu menjadi parti Melayu besar yang memperjuangan kepentingan orang Melayu. Lantas Bersatu mesti membuka pintunya kepada semua orang Melayu tanpa memilih bulu.

Itu kata beliau. Tapi kata beliau lagi, Bersatu akan terlebih dahulu meneliti dan menyaring atau “vet” setiap orang Umno yang mahu menyertai Bersatu sebelum menerima mereka. Sebenarnya ahli majlis tertinggi berkenaan sekadar mengulangi apa yang telah diumum Mahathir sendiri.

Bedasarkan itu semua, persoalannya sekarang ialah adakah golongan warlord dan proksi mereka sudah disaring?

Sumber dalaman Bersatu memberitahu saya proses “vetting” yang dijalankan lebih terhadap ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri dan nama nama terkenal Umno yang mahu menyertai Bersatu.
Dalam erti kata lain proses berkenaan tidak dilaksanakan ke atas khalayak termasuk ahli biasa Umno.

“Bersatu mengalu-alukan ahli baru. Oleh itu proses saringan atau vetting dijalankan agak loose ke atas orang yang mahu menyertai parti kecuali ke atas golongan YB dan mereka yang ada nama besar”, kata beliau.

Sumber berkenaan mengaku ada benarnya dakwaan percaturan atau penyusunan dan apa yang dipanggil “papan” wujud pada pemilihan peringkat cawangan dan bahagian.

Jika di teliti katanya pemilihan Bersatu “ tidak bezanya dengan pemilihan Umno”dan menyulitkan keadaan ialah “kekalutan” pentadbiran keahlian yang menyaksikan ramai ahli dipindah antara cawangan dan bahagian tanpa pengetahuan mereka .

Baru-baru ini jawatankuasa pemilihan Bersatu mengisytiharkan mesyuarat cawangan dalam bahagian Kuala Terengganu dan Teluk Intan batal dan tidak sah. Ini berikutan protes ahli.

Kata pengerusi jawatankuasa pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar, cawangan berkenaan mesti mengadakan mesyuarat masing masing sebelum 29 Mac.

Bersatu mahu ahlinya menggunakan saluran dalaman atau proper channel jika ada aduan berhubung proses pemilihan dan bukannya membuat aduan luaran seperti laporan polis dan sebagainya.

Namun kata sumber ibu pejabat Bersatu, tidak memeranjatkan malah boleh dijangka beberapa aduan dibuat kepada ROS atau pendaftar pertubuhan – apabila pemilihan parti selesai kelak.

Berbalik kepada soal bekas warlord Umno dan barisan atau ‘papan’ susunan mereka. Tentunya terpulang kepada ahli Bersatu samada mahu menerima atau menolak mereka.

oleh: Mohsin Abdullah

Tuesday, February 18, 2020

Saman Bil Tertunggak Kini Sasar 4 Anak Azmin Ali




Empat anak Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kini digabungkan bersama bapanya sebagai defendan dalam kes saman agensi pelancongan yang memohon mahkamah untuk mendapatkan tuntutan bil tertunggak tiket penerbangan dan penginapan hotel yang tidak dibayar.

Pada 23 Januari, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan plaintif agensi pelancongan, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd untuk menambah Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin sebagai defendan.

Menurut salinan pindaan Writ Saman yang dilihat oleh Malaysiakini, Azmin, 55, kini disenaraikan sebagai defendan pertama; manakala anaknya, Farah Shazliyana, 29, Farah Afifah, 24, Farah Amira, 26, dan Mohamed Ameer Shazrin, 28, disenaraikan sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Writ yang dipinda itu difailkan oleh firma guaman Tetuan Fong Yap & Gan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Feb lepas mengandungi perkataan "dipinda selaras dengan Perintah Mahkamah bertarikh 23 Januari 2020."

Menurut senarai kausa (No kes WA-B52NCvC-505-11/2019) di laman kehakiman, tindakan undang-undang itu ditetapkan untuk pengurusan kes di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok, 18 Feb.

Saman YHA tuntut hampir RM329,000

Pada 30 Disember tahun lalu, dilaporkan YHA telah memfailkan permohonan untuk memasukkan empat anak Azmin sebagai defendan dalam tindakan undang-undang tersebut.

Writ saman yang dipinda itu menyatakan plaintif YHA berhasrat mendapatkan bayaran RM328,901 daripada defendan pertama Azmin.

Kertas kausa menyatakan sebagai alternatifnya, YHA memohon mahkamah mendapatkan perintah untuk Azmin membayar RM167,332, Farah Syazliyana membayar RM8,510, Farah Afifah membayar RM3,880, Farah Amira membayar RM6,400, dan Mohamed Ameer Shazrin membayar RM92,280, serta faedah daripada kesemua lima defendan.

Pada 5 Nov tahun lalu, dilaporkan YHA memfailkan saman terhadap Azmin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.

Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Pada 14 Disember tahun lalu, Azmin memfailkan tuntutan balas melalui firma guaman, Tetuan Daim & Gamani, menyifatkan saman oleh agensi pelancongan itu mempunyai motif tersembunyi.
Tuntutan balas Azmin itu menyatakan saman oleh agensi pelancongan YHA Travels & Tours (M) Sdn Bhd itu mempunyai kaitan dengan "konspirasi" klip video seks yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz (gambar, atas).

Pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini itu merujuk klip video seks berkenaan sebagai "video fitnah".

Pemfailan yang dibuat itu menyatakan bahawa pemegang saham majoriti YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd adalah Yasmin Hanim Arbee dan suaminya Mohd Ayub Hassan merupakan pengerusi.

Pasangan suami isteri itu disebut sebagai ibu bapa kepada seseorang bernama Mohd Haziq Hassan Mohd Ayub. Mohd Haziq dikatakan merupakan individu yang ditahan dalam siasatan polis berhubung klip video seks.

Tuntutan balas itu juga menyatakan bahawa Yasmin dan Mohd Ayub mempunyai "hubungan yang sangat rapat" dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Dalam penyataan pembelaannya, Azmin juga berkata beliau mempunyai hubungan perniagaan bersahabat selama 20 tahun dengan agensi pelancongan itu yang memberikannya "kebebasan yang meluas untuk menyelesaikan sebarang jumlah yang terhutang".

Azmin juga menyatakan jumlah yang dituntut oleh YHA adalah "tidak betul"

"Jumlah yang terhutang oleh defendan dan di mana plaintif adalah berhak kepada adalah jumlah sebanyak RM162,272," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak-anaknya yang berumur lebih daripada 20 tahun akan membayar jumlah yang dihutang sendiri.

Azmin juga melalui peguamnya memaklumkan bahawa beliau juga tidak bertanggungjawab untuk apa-apa jumlah yang perlu dibayar di bawah akaun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

oleh:  Hidir Reduan Abdul Rashid
[Baca berita asal]

Monday, February 17, 2020

Lawak roti John: ‘Kalau Sebut Nama, Kami dah Saman dah’




Bukan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang membuat jenaka berkaitan nama diplomat asing, kata setiausaha akhbarnya, Amin Iskandar.

Amin berkata demikian sebagai maklum balas berhubung spekulasi bahawa presiden Amanah itu berkata demikian semasa mesyuarat keselamatan baru-baru ini dengan seorang pegawai bernama John.

Selain itu, Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, terkenal kegemarannya memasak.
"Bukan menteri pertahanan," kata Amin.

"Sekiranya penulis sebut nama menteri, kami akan saman mereka, tetapi mereka tidak namakan menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Sebuah artikel yang disiarkan The Star sebelum ini mendakwa seorang menteri kerajaan PH bertemu dengan seorang yang berkedudukan tinggi dari kerajaan negara luar bernama 'John' berbincang mengenai hal ehwal keselamatan.

Penulis artikel itu berkata, menteri PH berkenaan mengeluarkan kata-kata: “Nama anda John. Di negara saya ada roti John. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masakkan roti John untuk anda.”

Ekoran daripada itu, bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mempersoalkan siapa menteri yang dimaksudkan dalam artikel itu.

Hishammuddin juga mempertikaikan kualiti menteri PH yang dilaporkan memberi kenyataan yang menurutnya tidak wajar dikatakan bagi mesyuarat yang membincangkan perkara serius.

Menulis di hantaran Facebook beliau, ahli parlimen Sembrong itu menasihatkan kepada menteri PH berkenaan supaya tidak mencalarkan maruah negara jika tidak mampu menggalas tugas sebagai seorang menteri.

“Satu sahaja nasihat saya kepada mana-mana menteri PH, kalau rasa tak mampu banggakan negara, janganlah pula melakukan tindakan yang berupaya mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia,” tulisnya.

Bagaimanapun, Amin berkata tindakan bekas menteri Umno membangkitkan berita palsu mengenai Roti John itu mengejutkan.

“Segala cerita tentang Roti John ni semuanya fake news’. Kita dah berkali-kali cakap ini semua berita tidak benar. 

“Kita tidak terkejut dengan tulisan daripada akhbar pembangkang baru-baru ini.

“Yang kita terkejut apabila dua bekas menteri membangkitkan tentang ‘fake news’ ini," jelasnya lagi.

 sumber...mKini

Opppsss The Star masih dikuasai oleh pembangkang