Followers

Tuesday, May 24, 2011

Kartunis Zunar terima anugerah antarabangsa


Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menerima anugerah antarabangsa daripada Cartoonists Rights Network International (CRNI).

CRNI merupakan satu badan NGO antarabangsa yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Badan itu mewakili ratusan editorial kartunis seluruh dunia yang berperanan melindungi kartunis yang ditekan kerana karya mereka.

“SAYA bersyukur kerana telah dipilih untuk memenangi sebuah award untuk kartunis editorial antarabangsa dari sebuah badan yang mewakili kartunis-kartunis editorial sedunia, Cartoonists Rights Network International (CRNI).

“Award tersebut ialah CRNI 2011 Award for Courage in Editorial Cartooning,” kata Zunar dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Zunar, beliau akan hadir pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang akan diadakan di St. Petersburg Florida, Amerika Syarikat pada 7 Julai depan.

Zunar yang baru menyambut hari lahirnya ke 50 sebelum ini dikenali sebagai seorang kartunis yang berani menampilkan karya yang tajam dengan sindiran dan kritikan terhadap pemerintah Umno-Barisan Nasional.

Beliau pernah ditangkap dan bermalam di balai polis pada 24 September 2010, sebelum bukunya ‘Cartoon-o-phobia’ dilancarkan pada malam itu.

Zunar ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku tersebut yang didakwa menyentuh isu-isu sensitif yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk NGO mengecam tindakan tersebut.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri turut mengharamkan dua lagi karya Zunar berjudul 1 Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.

Pada 26 Julai tahun lalu, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik tersebut.

Tekanan kerajaan Umno-BN terhadap Zunar merupakan salah satu faktor kedudukan Malaysia jatuh 10 anak tangga kepada 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010. Kedudukan itu yang terendah sepanjang tempoh sembilan tahun dalam senarai 178 negara.

sumber: keadilan daily