Followers

Sunday, December 30, 2018

Dr M Tetap Pegang Janji Serah Jawatan PM pada Anwar




Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya untuk berpegang pada janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang perwakilan daripada Kelantan, Zulkifli Zakaria pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini mencadangkan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Macam-macam orang ada pendapat, mereka ada pendapat masing-masing.

"Itu pendapat mereka tapi kena pegang kepada janji,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Sumber memaklumkan cadangan itu dibangkitkan ketika perwakilan berkenaan membahas ucapan dasar presiden, Muhyiddin Yassin.

Sesi perbahasan berkenaan diadakan secara tertutup.

Untuk rekod, Anwar sebelum ini dinamakan sebagai individu yang akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Cadangan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya juga pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Bersatu Setiawangsa.

Pada 3 Nov lalu, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.

Sementara itu, diminta mengulas reaksi perwakilan yang bersetuju dengan usul itu, sambil tersenyum Mahathir berkata: "Mana saya tahu, tapi ramai yang berdiri.”

Dr Mahathir juga dijangka akan mengulas isu tersebut ketika ucapan penggulungan persidangan itu, petang ini.

Laporan ini disediakan oleh Anne Muhammad, Alyaa Alhadjri dan Norman Goh.mKini

Saya Akan Dituduh Rasis, Tetapi... - Tun M




Jika berlaku perpisahan etnik yang terlalu jauh antara yang miskin dan kaya, sejarah melaporkan rusuhan dan perang saudara tercetus, sekali gus membawa kepada kehancuran negara.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini akan membawa malapetaka kepada semua rakyat di negara ini.

Apatah lagi, katanya, jika perpisahan antara miskin dan kaya ini ditambah dengan perpisahan antara kaum, di mana sesuatu kaum itu lebih miskin daripada kaum lain.

Tambah beliau, walaupun rusuhan mungkin tidak berlaku, namun kemungkinan ia terjadi tidak boleh diketepikan.
"Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.

"Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.

"Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita," katanya katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

 Kata Perdana Menteri, walaupun kaum tidak dapat ditukar, namun jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan atau dihapuskan.

Dr Mahathir berkata, kesalahan yang dilakukan pemimpin UMNO tidak bermakna semua orang Melayu turut dipersalahkan.

“Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?,” katanya.

Mengulas mengenai kemasukan bekas pemimpin UMNO ke Bersatu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan partinya tidak akan mudah menerima mereka.

Mengulangi pendiriannya, Dr Mahathir berkata bekas pemimpin UMNO perlu menjadi bebas dan seterusnya menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan secara ikhlas.

“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas UMNO. Mereka hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod mereka akan dikaji dengan teliti,” tambahnya.

sumber... Arfa Yunus, Hilal Azmi, Rahimah Abdullah dan Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Diterbitkan padaDisember 29,

Saturday, December 29, 2018

Muhyiddin: PAS Sanggup 'Cium Mulut' dengan Perompak




Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berpantun untuk menjelaskan fitnah pihak pembangkang terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Racun ikan akar beluru,
ikan dimakan matilah rasa,
fitnah pembangkang bagai peluru,
membunuh umat hingga binasa," kata beliau ketika berucap merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Beliau menyuarakan keyakinan orang Melayu dapat melihat pendekatan berbahaya politik perkauman dan agama.

"Selepas Umno dan PAS kalah dalam Pilihanraya Umum ke-14, kedua-dua parti ini mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

"Melayu sudah kenal siapa Umno, siapa PAS. Kedua-duanya dua kali lima sahaja.

"Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak.

Raih laba

"Orang Melayu akan tetap ingat sewaktu Umno berkuasa dahulu, kedua-dua parti ini sanggup bermain kayu tiga dan berkhalwat semata-mata untuk meraih laba politik.

"Bermacam-macam hujah dan istilah Islamik digunakan untuk mewajarkan perbuatan khalwat mereka," kata beliau ketika berucap merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Muhyiddin berkata Umno dan PAS telah menjalin hubungan antara satu sama lain selama bertahun-tahun tetapi percantuman dua parti itu masih belum menjadi kenyataan.

"Cerita Umno berpakat dengan PAS ini dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata. Baru beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka," jelasnya.

Beliau memberi contoh jalinan hubungan Umno dan PAS dalam perhimpunan membantah konvensyen PBB mengenai keadilan dan kesaksamaan kaum (Icerd).

"Terujalah ahli-ahli Umno, kononnya inilah masanya kesatuan politik orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina. Ini satu detik yang amat bersejarah bagi mereka.

"Seolah-olahnya, kalau pilihanraya diadakan esok, Umno dan PAS akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baru.

"Tak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli Umno keluar parti.

"Lebih menyedihkan lagi buat Umno, Presiden PAS beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana bahtera Umno sedang bocor katanya. PAS takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno," katanya lagi.

Muhyiddin berkata kedua parti itu tidak akan dapat bekerjasama kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Bersatu tak guna slogan Islam

"Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan PAS, dan PAS bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai. PAS hanya mementingkan partinya sendiri.

Menurut Muhyiddin lagi, Bersatu tidak akan menyalahgunakan nama Islam seperti PAS dan Umno.
"Kepada umat Islam, saya ingin menyebutkan bahawa Bersatu tidak menggunakan slogan Islam, tetapi kita melaksanakan Islam.

"Kita mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam. Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim.

"Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita," jelasnya lagi.

Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri mencadangkan pembentukan Majlis Permuafakatan Ummah yang dianggotai wakil kerajaan dan badan-badan Islam.

"Untuk itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah di Malaysia," katanya.

sumber...mKini

Friday, December 28, 2018

Rafizi dilantik Naib Presiden PKR



Rafizi Ramli - yang tewas dalam pemilihan PKR yang lalu - dilantik sebagai naib presiden parti itu.Ia diumumkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini bermesyuarat bagi memutuskan jawatan lantikan bagi parti itu.

"Antara yang dibincangkan adalah perlantikan jawatan-jawatan MPP selepas pemilihan MPP dan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sebelum ini.

"Diharapkan mereka dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat dalam era Malaysia baru ini," katanya.

Berikut adalah senarai penuh jawatan lantikan bagi penggal 2018-2021:
  • Naib presiden: Rafizi Ramli
  • Naib presiden: Chang Lih Kang
  • Naib Presiden (Sabah/Sarawak): Ali Biju
  • Setiausaha Agung: Saifuddin Nasution Ismail
  • Bendahari Agung: Lee Chean Chung
  • Ketua penerangan: Shamsul Iskandar Md Akin
  • Setiausaha pengelola: Nik Nazmi Nik Ahmad
  • Ahli MPP (lantikan): Lee Khai Loon
  • Ahli MPP (lantikan): Faisal Sanusi
  • Ahli MPP (lantikan): Syed Ibrahim Syed Noh
  • Ahli MPP (lantikan): Rayyan Abdul Rahim
  • Ahli MPP (lantikan): Raymond Ahuar
  • Ahli MPP (lantikan): S Kesavan
  • Pengarah strategi: Dr Mansor Othman
  • Pengarah komunikasi: Fahmi Fadzil
  • Timbalan setiausaha agung: Dr R Santhara Kumar
  • Timbalan ketua penerangan: Sim Tze Tzin
  • Timbalan ketua penerangan: S Manivanan
  • Ketua jawatankuasa keanggotaan: Tian Chua
  • Ketua jawatankuasa sistem pemilihan parti: Dr Lee Boon Chye
sumber...mKini

Thursday, December 27, 2018

Kementerian Siasat KFC dan McDonalds



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilapor akan membuat pemeriksaan terhadap KFC selepas dakwaan tular mendakwa harga makananya naik.

Satu lagi rangkaian restoran makanan segera McDonalds akan turut disiasat selepas Astro Awani melaporkan tinjauannya turut mendapati harga makanan di restoran itu juga meningkat.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, bermula hari ini pegawainya telah mulakan pemeriksaan terhadap restoran KFC.

“Kita dah mulakan siasatan dan pagi ini, pegawai saya telah mula mendapatkan maklumat daripada KFC, kenapa naik harga,” beliau dipetik berkata ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Menjawab soalan Malaysiakini, QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemilik KFC, semalam berkata sejak bulan ini, harga yang dipaparkan mereka termasuk enam peratus SST.

KFC juga menjelaskan penyelarasan harga dibuat untuk memastikan mereka terus memberikan kualiti yang sama tanpa perlu berkompromi.

Dalam kenyataan lain hari ini, QSR Brands bagaimanapun berkata kenyataannya berhubung penyelarasan harga produk jualannya telah disalah tafsir.

Kata KFC, penyelarasan harga tidak mempunyai kaitan dengan SST, kerana kadar enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini juga dikenakan pada pelanggan mereka.

sumber...mKini

Masjid Berusia 610 Tahun Dipindahkan Guna Robot Kerana Bimbang Ditenggelami Banjir




SEBUAH masjid pada abad ke-15 di Turki telah dibahagikan kepada tiga bahagian dan dialihkan oleh sebuah robot ke lokasi baharu.

Pekerja pembinaan terpaksa memecahkan dinding yang mencantumkan masjid tersebut selama beratus-ratus tahun supaya mereka boleh mengangkat bahagian masjid itu ke atas platform untuk dialihkan.

Bahagian terakhir Masjid Eyyubi seberat 2,500 tan dibawa keluar dari bandar purba Hasankeyf di wilayah Batman Turki pada Jumaat selepas dua bahagian lain dipindahkan awal tahun ini.

Pemindahan itu dilakukan kerana empangan keempat terbesar di Turki, Ilısu dijangka akan menenggelamkan bandar purba Hasankeyf di bawah paras air banjir, menurut Hurriyet Daily News.


Robot gergasi digunakan untuk membawa struktur masjid purba tersebut ke lokasi baharu.
 
Gambar yang diambil menunjukkan bahagian akhir masjid tersebut diangkut menggunakan robot dengan lebih 300 roda.

Masjid seberat 4,600 tan berkenaan telah dipindahkan ke Padang Taman Kebudayaan Hasankeyf Baharu, iaitu tapak khas ditetapkan untuk struktur yang dilindungi.

Selain masjid berusia 610 tahun itu, artifak-artifak kebudayaan lain turut dipindahkan ke tapak berkenaan sejak ia dibuka pada 2017.

Walikota Hasankeyf Abdulvahap Kusen berkata: "Kerja-kerja pemindahan diteruskan agar artifak tersebut tidak rosak akibat banjir.

"Artifak kuno akan dihimpunkan di Taman Budaya berdekatan kawasan kediaman baharu," lapor akhbar harian Turki.

Bandar Hasankeyf diberi status 'dilindungi' pada 1981 dan merupakan lokasi kepada hampir 6,000 gua.

sumber... Daily Mail

Tuesday, December 25, 2018

'Perjalanan' Kita Masih Jauh,Pesan Mujahid Kepada Nurul Izzah



Warkah Kekanda Mujahid buat adinda Nurul Izzah

Ke hadapan adinda Nurul Izzah yang dikasihi,

Kekanda kini dalam perjalanan darat tiga jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku 'Puteri Reformasi'.

Gelaran itu bukanlah mudah untuk dikalungkan kepada sesiapa walaupun ramai wanita muda era reformasi bangkit bersama, ini adalah kerana adinda ialah lambangnya dan simbol yang sinonim dengan gelombang reformasi. Kekanda amat bangga dengan gelaran itu malah kekanda sering menjadikannya inspirasi kepada anak-anak dan golongan muda lain agar mencontohi susuk tubuh 'puteri' ini.

Adinda,

Kekanda pernah menasihati adinda bahawa jalan untuk adinda masih panjang dan jauh dan pastinya adinda akan sampai jua dihujungnya. Kekanda cuba menyelami perasaan anak muda seperta adinda dalam politik kepartian yang penuh dengan persaingan individu dan kekelompokan.

Percayalah, kekanda telah melaluinya sehingga kekanda terpaksa membuat tindakan yang sukar lagi berisiko, semuanya gara-gara tabiat politik kepartian. Kekanda tidak mahu adinda tumpas dengan medan politik dalaman yang kadang-kadang tidak berhati perut.
Beberapa kali kekanda menangis sendirian antara meneruskan atau pasrah sahaja malah ada ketika mahu sahaja kekanda mengucapkan selamat tinggal kepada politik kepartian. Kekanda pernah dinasihati sifu-sifu parti agar senantiasa fokus dan buktikan nilai diri kita kepada perjuangan parti.

Sehingga kini, di telinga kekanda masih teriang kata-kata penuh hikmah ayahanda kekanda Tuan Haji Yusof Rawa ketika kekanda mengadu padanya tentang persaingan dalam kepimpinan semasa kekanda dalam Pemuda PAS satu ketika dahulu. Ayahanda yang sudah agak uzur ketika itu tersenyum sambil berkata:

"Anakandaku Mujahid, di mana kamu berada bukan masalah kamu, jika Allah kehendaki kamu akan sampai di kemuncak, sampailah kamu, walaupun ramai tangan manusia yang menyekat kamu, tapi ingat jika belum sampai masanya dan Allah belum menetapkan, walaupun seribu tangan manusia ingin membawamu ke sana kamu tak akan sampai."

Yusof Rawa terus berpesan dengan penuh kebaikan: "...buktikan dengan kerja kamu, buatlah kebaikan kerana Allah, bersabar dan biarkan yang lain di tanganNya"
Sudilah apa kiranya dikongsikan nasihat ini untuk adinda jua semoga dipanjangkan kebaikan nasihat ayahanda Yusof Rawa yang amat dikasihi oleh ayahanda Anwar Ibrahim.
Adindaku Nurul Izzah,

Nama adinda ialah cahaya (Nur) yang penuh dengan kemuliaan (Izzah). Ayahanda adinda tinggi peradabannya malah kekanda yakin setiap nama yang diberikan kepada zuriat yang dikasihi adalah doa agar kekal nama itu sepadan dengan tuannya.

Kita dilahirkan dalam rumah yang tidak terpisah dengan kerjaya ayahanda kita iaitu ahli dan tokoh siasah (politik). Sememangnya benar kata pepatah orang tua-tua kita : "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?"

Adinda mewarisi ketokohan siasah itu sama ada dengan pilihan atau warisan. Memang sukar untuk selalu diperbandingkan kita dengan ayahanda-ayahanda kita oleh manusia yang memerhatikan kita.
Kekanda selalu berkias tidak layak perbandingan tersebut dengan berkata, kuku pun tak sama dengan ayahanda kekanda, apatah lagi ketokohannya.

Namun kita juga harus berbangga bahawa ayahanda kita mendidik kita sebaiknya untuk kita menabur bakti, berbuat baik tanpa syarat dan mementingkan perjuangan daripada diri sendiri. Kekanda yakin adinda telahpun menghadamnya sejak bergelumang di alam politik.

Menanggung kata keji manusia

Adindaku,

Sejak kekanda mengenali adinda, adinda masih remaja dan amatlah kekanda bersedih dan bersimpati betapa remaja seperti adinda terpaksa melalui saat-saat duka menanggung kepedihan fitnah ke atas ayahanda yang dikasihi.

Bukan mudah penderitaan tersebut, terpaksa menanggung kata keji manusia yang memfitnah sedangkan kita ada kawan, sekolah dan masa depan yang kita harus tempuhi. Bukan calang-calang manusia yang mampu berhadapan dengannya apatah lagi sebagai anak sulung, adinda terpaksa membebani jua penderitaan adik-adik yang masih kebingungan.

Kekanda ada melihat wajah adinda semasa dalam salah satu siri ceramah di Melaka hujung tahun 90an. Kekanda berada di atas pentas ketika itu, betapa hati kekanda berbisik :
"Ya Allah, mengapakah anak ini harus menanggung semua ini? Lihatlah wajahnya masih remaja dan mentah terpaksa berada di atas pentas membela ayahnya yang difitnah dan diaibkan, Ya Allah kukuhkan jiwa anak ini."

Itulah bisikan doa kekanda waktu itu. Alhamdulillah era reformasi hujung 1990-an membawa kekanda berada di atas pentas politik sehingga kekanda memutuskan untuk bertanding pada PRU 1999.
Alhamdulillah juga kita diketemukan usai PRU 2008 sebagai ahli parlimen hingga kini. Anak 'remaja mentah' yang kekanda pernah doakan agar jiwanya cekal kini menjadi rakan seperjuangan kekanda yang kental, sama-sama melalui detik suka dan duka demi harga sebuah perjuangan, demi Malaysia baru. Kekanda amat menghargai persahabatan kita disimpulkan dengan satu cita-cita dan satu harapan.

Adinda Nurul Izzah,

Kekanda amat yakin kebolehan adinda bukanlah kerana 'menumpang' nama besar Anwar Ibrahim.  Pepatah Arab ada mengatakan: "bukanlah anak muda hebat itu yang berbangga tentang kegemilangan ayahnya tetapi anak muda hebat ialah yang berkata aku adalah aku". 

Kekanda akan berkata, "adinda adalah adinda dari sudut kehebatan dan kemampuan".

Manusia akan terus berkata, janganlah adinda menjangkakan manusia akan diam dengan kebolehan kita dan kemampuan kita. Sehebat manapun seseorang, dia akan lebih hebat jika manusia terus mempertikaikannya maka terserlah lagi kehebatannya.

Pencacai hilang ditelan zaman

Para ulama dan ilmuwan yang namanya terukir dibibir orang yang membaca pandangannya tidak dihargai pandangannya begitu sahaja, mereka dikritik malah dicerca dan dicaci sebagai 'sesat' dan sebagainya.

Lihat siapa mereka hari ini, di mana pencacinya berakhir? Pencaci dan pencacai akan hilang ditelan zaman, yang terserlah adalah kehebatan kepada yang dicaci dan dikritik.

Kekanda tidak tahu tentang adinda tetapi kekanda yakin dengan 'sunnah' ini selagi ada kekuatan hujah dan kejelasan pemikiran apa yang kita perjuangkan. Biarkan pengkritik lakukan apa yang mereka pakar lakukan, kita lakukan apa yang kita perlu lakukan iaitu membawa gelombang Malaysia baru! Kekanda perlukan adinda bersama memimpin gelombang besar ini.

Bukan mudah berada dalam parti yang dikatakan kononnya 'parti anak beranak'. Mereka juga menggunakan istilah yang lebih sofistikated seperti 'nepotism'.

Kekanda tidak pandai guna istilah-istilah ini, apa yang kekanda tahu ialah abaikan semua itu (persetankan, maaf bahasa kasar) kerana adinda bukan apa yang diperkatakan, adinda ada kelayakan tersendiri, amat tidak adil untuk kelayakan ini 'dimandulkan' hanya kerana kata-kata sinis seorang, dua.

Tiada yang lebih baik dibuat kayu pengukur melainkan dengan istilah al-Quran iaitu 'al-qawwi' 'al-amin'.

Pesanan sifu politik

Adindaku

Kekanda pernah bertanya pada sifu-sifu kekanda dalam politik. Anehnya sifu-sifu kekanda bukan semuanya dari mana-mana parti tertentu tetapi sebahagian mereka hanya pemerhati yang mengamati sepanjang pengalaman hidupnya bagaimana potensi digilap dan potensi 'dimalap'.

Hanya satu pesanan sifu-sifu ini:
"Dalam perjuangan tak boleh 'merajuk' dan kecil hati sebab musuh kita akan melihat itu satu kekalahan awal, mereka akan lebih berani ke hadapan hendak menjatuhkan kita".

Namun satu kata nasihat yang kekanda tak akan lupa dari seorang sifu kekanda yang telah pun meninggalkan dunia fana ini. Sifu dari Pulau Pinang ini memetik dari kata-kata semangat seorang pemimpin besar di Barat: "Jangan salahkan musuh kamu kerana menjatuhkan kamu, salahkan diri kamu sendiri kenapa kamu enggan berdiri semula". 

Kekanda pernah dijemput ke rumah seorang sifu satu ketika di Kelantan. Waktu itu kekanda berumur 30-an dan penuh semangat anak muda. Sifu ini yang sekian lama berdiam diri setelah pernah menjadi manusia yang digelar 'paling bekeng' dalam politik Kelantan.

Beliau jadi juara 'gedebe' setelah menewaskan dalam satu pergaduhan dengan 'ketua gangsta' paling digeruni, sejak itu gelaran kepada beliau sebagai tokoh gedebe tidak pernah dipertikai dan disangsikan.

Dengan latarbelakang sifu ini, kekanda menjangkakan nasihatnya 'keras' dan 'tegas' namun kata nasihatnya penuh kesufian dan kelembutan.

Katanya: "Mujahid akan muncul jadi pemimpin satu hari nanti, lagi tinggi Mujahid naik, mesti lebih kukuh asas tempat bertapak, jika tidak, pasti akan bergoyang di atas nanti, bina tapak dari sekarang pasti Mujahid akan memerlukannya".

Dua puluh tahun lebih berlalu, kenyataan kata-kata nasihat dari sifu paling 'gedebe' ini kanda ingin kongsikan dengan dinda. Sudilah apa kiranya adinda mendengarnya buat bekalan perjalanan panjang kita.
Adinda Nurul Izzah,

Kekanda hanya mahukan kebaikan untuk masa depan politik adinda, maaf kerana warkah ini ditulis cara terbuka tetapi kekanda rasa adinda adalah 'Puteri Reformasi' milik generasi baru yang akan mencorakkan Malaysia baru.

Mereka perlukan 'puteri' mereka terus memimpin langkah awal ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi. Para pengkritik juga ingin menguji apakah kekentalan 'Puteri Reformasi' masih utuh? 
Jangan biarkan ujian ini menjadi satu kebenaran dan jangan biarkan mereka yang tidak ada bersama kita sebelumnya menentukan nasib Malaysia baru, kita perlu tentukannya bersama.

Adinda tidak perlu bimbang kebanjiran mereka yang mahu berada dalam Pakatan kita, kita punya kerangka besar yang mereka harus berada dalamnya biar apa parti pun yang mereka pilih di kalangan kita.

Adinda mesti teruskan perjalanan

Kita ada Malaysia baru yang kita perjuangkan bersama, Puteri Reformasi perlu perkukuhkan Malaysia baru bagi menjawab kebimbangan ini. Janganlah berundur setelah beribu tapak perjalanan kita, jalan kita masih jauh, Malaysia baru memerlukan adinda.

Adinda Nurul Izzah,

Akhir kalam terimalah salam kekanda dari hati yang merindui Malaysia Baru tanpa kebencian kaum dan agama, Malaysia baru yang melimpahkan kekayaannya buat golongan mustadafin dan Malaysia baru yang melahirkan generasi baru yang progresif dan inklusif. Alangkah bahagianya saat Malaysia baru jadi kenyataan ketika itu.

Kekanda tidak tahu apakah kekanda akan berada di situ nanti tetapi sekurangnya adinda Nurul Izzah mesti teruskan perjalanan ini.

Kekanda menghormati keputusan adinda namun kekanda harap adinda membaca warkah ini sehingga habis bukan untuk mengubah pendirian adinda kerana kekanda tahu kekentalan adinda sukar dilenturkan, tetapi untuk menyatakan kepada adinda bahawa perjuangan kita lebih besar dari perasaan dan emosi kita terhadap apa sahaja yang berlaku di hadapan kita.

Siapalah kita hanya zarah kecil membentuk harapan manusia ke arah Malaysia dengan dunia yang lebih baik.

Kenderaan kami menghampiri Toledo dan kekanda akan berhenti di sini dahulu untuk menikmati keindahan pemandangan dari kawasan tinggi di sini. Adios.

MUJAHID YUSOF RAWA ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Naib Presiden Amanah.
Surat terbuka ini dikarang ketika penulis sedang melakukan perjalanan darat dari Cordova ke Madrid, di Sepanyol.

Monday, December 24, 2018

Hebat: Khairuddin Boleh 'Hidu' Gerakan Jatuhkan Dr M



'Khairuddin perisik hebat sebab dapat  hidu gerakan guling Dr M'

Pemimpin PKR Johari Abdul secara sinis menyifatkan Khairuddin Abu Hassan sebagai spy (perisik) hebat kerana berjaya menghidu gerakan menggulingkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah itu berkata, bukan calang-calang individu yang mampu mengesan gerakan sebegitu hebat.

"Saya amat terpegun dengan kebolehan beliau (Khairuddin) kerana tahu ada gerakan untuk menjatuhkan perdana menteri. Dia seorang spy yang hebat, mana dia dapat latihan pun saya tak tahu.
"Untuk orang yang tahu ada cubaan jatuhkan Mahathir dia semestinya seorang yang hebat.

"Ini bukan cubaan menjatuhkan ketua kampung, tetapi jatuhkan perdana menteri. Dia (Khairuddin) boleh tahu bermakna dia seorang yang hebat," katanya kepada Malaysiakini.

Johari yang merupakan anggota parlimen Sungai Petani juga menyifatkan Khairuddin sebagai individu yang penuh dengan kejutan.

"Khairuddin orang yang suka buat kejutan. Saya ucap tahniah pada dia kerana berjaya menghidup gerakan menjatuhkan perdana menteri," katanya.

Semalam, Khairuddin yang juga Anggota Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) mendakwa beliau menghidu "gerakan biadab" yang cuba menjatuhkan Mahathir.

"Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Mahathir selaku perdana menteri.

"Namun, puak-puak 'tahi kucing' ini terlalu kerdil bagi saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.

"Mereka ini 'pot tin' kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja," kata Khairuddin.

Meskipun tidak menyebut secara spesifik, kenyataan Khairuddin itu dipercayai sebagai mengulas kenyataan Johari terhadap kepimpinan Mahathir.

Johari sebelum ini mendakwa Mahathir seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas PH memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu.

oleh:  Haspaizi Zain  mKini

Tsunami Selat Sunda: 222 Korban, 843 Cedera, 28 Masih Hilang



Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang ini, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

"Tidak ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya akibat susulan berlakunya gempa bumi.


“Ini suatu kes yang tidak biasa, bahawa tsunami tanpa gempa. Jadi gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau," katanya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam tadi itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.

Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.

sumber...Bernama

Saturday, December 22, 2018

Pesta Liar: Datuk dan Pelakon Wanita Kena Cekup


19 individu ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di kondominium mewah di Bukit Ceylon, Rabu lepas. (Gambar Facebook)

Datuk ,Pelakon Wanita diantara 19 ditahan terlibat pesta liar

Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti peranan seorang individu bergelar Datuk yang merupakan antara 19 individu ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon, awal pagi Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Rudy Abdullah berkata polis sedang menyiasat sama ada individu berkenaan merupakan pengedar dadah atau sekadar penganjur pesta berkenaan seperti yang didakwa.

“Mengenai penganjuran parti liar itu, kita perlu siasat sebelum membuat sebarang rumusan kerana terdapat ramai individu yang terbabit ketika itu yang perlu disoal siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Rabu lepas, media tempatan melaporkan, 19 individu ditahan termasuk seorang pelakon wanita berusia 40-an dan seorang individu bergelar Datuk ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam itu, mendapati terdapat 11 lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an berada dalam salah satu unit kediaman di tingkat 8.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 daripada mereka positif dadah.

sumber...Bernama

Kes Waytha: Jawapan Terbaik Syed Saddiq Kepada Ramasamy




Desak Waytha undur: Syed Saddiq jawab Ramasamy

Saya tidak masuk politik untuk play safe. Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. Saya tidak akan memohon maaf hanya kerana berterus-terang.

Saya cadangkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin yang turut menyuarakan kebimbangan yang sama (mendesak P Waythamoorthy letak jawatan). Bukankah beliau rakan sekerja anda di Pulau Pinang?


Saya cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Pemuda Amanah Terengganu kerana “menghina kebijaksanaan Tun” apabila mencadangkan P Waythamoorthy digantikan dengan Nurul Izzah.

Jangan lupa "sekolahkan" Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin sekali.

Sayap pemuda parti tuan sendiri mendesak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar letak jawatan (nota editor: Pemuda DAP Sarawak telah menarik balik desakan itu). Tapi bila ada pimpinan pemuda Bersatu buat desakan yang sama, kita dituduh mengkhianati Pakatan Harapan (PH), dituduh memainkan sentimen perkauman, dituduh seperti Umno dan PAS.

Ini tiada kaitan dengan kaum. Ini tentang setuju untuk tidak bersetuju, untuk tidak menekan hak mana-mana pihak menyuarakan pandangan.

Sebagai ketua pemuda Bersatu, saya bertanggungjawab bagi membenarkan rakan-rakan saya untuk bersuara dan tidak membukukan perasaan mereka. Kita percaya dengan slogan “berani kerana benar”.

Jadi YB, jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN adalah ketua pemuda Bersatu dan menteri belia dan sukan.

sumber...mKini

Thursday, December 20, 2018

Inilah 'Nasib' Penyanyi Shima Terkini




Keadaan memaksa Shima berniaga tepi jalan

PENYANYI popular sekitar era 90-an, Shima mengakui gara-gara keadaan semasa membuatkannya terpaksa untuk berniaga tepi jalan.

Shima atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, berkata, meski ada yang mengutuk di belakangnya namun demi rezeki dia akur dengan peluang yang ada di depan mata.


“Apa yang boleh saya buat, sudah itu sahaja peluang yang ada ketika ini. Keadaan memaksa saya berniaga demi mencari sesuap rezeki.

“Kalau nak diharapkan undangan persembahan, mungkin saya terpaksa ikat perut  dan tidak makan kerana sejak beberapa tahun lalu saya sudah jarang menerima undangan persembahan,” katanya kepada sebuah media hiburan lain.

Ujar penyanyi Luka Dilukai itu, dia baru sahaja beroperasi kira-kira dua minggu lalu.

Selain mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang awam, ada juga peminat yang sanggup datang dari jauh.

sumber...sh

Wednesday, December 19, 2018

Lori Kasim Baba Dalam Sidang Dewan Hari Ini



Sedap jugak komen dan jawapan Hanipa Maidin perihal bantuan kerajaan pusat dalam menangani banjir khususnya di negeri negeri pantai timur.

Anyway semua tu sekadar jenaka antara pihak kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang...kikiki

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin hari ini menggunakan ruang sesi soal jawab di Dewan Negara untuk menyindir perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Dis lalu.

Hanipa sebelum itu menjawab soalan senator dari Terengganu yang bertanya berhubung persiapan kerajaan dalam isu banjir memandangkan Monsun Timur Laut bermula 27 Okt lalu.

Ketika memperincikan tentang kelengkapan kenderaan untuk membantu meminimumkan kesan banjir, Hanipa berkata pihaknya menyediakan lori "tapi tidak termasuk lori Kassim Baba yang digunakan pada perhimpunan Icerd".

Kassim Baba merupakan watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang dilakonkan S Shamsuddin.

Dalam satu babak filem itu, Kassim Baba membawa lori ke gua yang menyimpan harta rompakan yang ditunjukkan adiknya, Ali Baba.

Dalam hantaran di Facebook, Hanipa turut memuat naik gambar pemimpin PAS dan Umno yang sedang duduk di atas lori ketika perhimpunan bantah Icerd.

Sementara itu, berdasarkan hansard Dewan Negara, anggota parlimen Sepang it juga menjelaskan bahawa bagi Terengganu, kerajaan persekutuan telah meluluskan 31 projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang melibatkan RM283 juta.

"Semua agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana telah pun bersiap-siaga untuk menghadapi banjir kali ini," katanya.

Memperincikan secara lanjut, antara lain, Hanipa berkata sebanyak 1,464 kenderaan pacuan empat roda, 15 aset udara, 425 ambulan, 859 lori, dan 1,138 bot polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah diaktifkan.

Selain itu, tambah Hanipa, kerajaan juga sudah bersiap sedia dari segi bantuan perubatan melalui Kementerian Kesihatan.

sumber...mKini

PM: Saya Tak Suka Majoriti Dua Pertiga, Saya Mahu Pembangkang Yang Kuat



Berbeza daripada kenyataannya tiga minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gemar mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Secara peribadi, saya tidak suka majoriti dua pertiga. Saya mahu pembangkang yang kuat, " kata Mahathir ketika ditanya sama ada langkah Bersatu mengalu-alukan mereka yang meningglkan Umno adalah satu usaha untuk meningkatkan bilangan MP Pakatan Harapan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kemasukan Ahli Parlimen Umno yang telah ditapis ke dalam Bersatu akan mengukuhkan parti itu dan Pakatan Harapan.

Pada 28 Nov, ketika Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali dan empat bekas senator Umno menyertai Bersatu, Mahathir berkata mereka diterima kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, dan tidak dapat menunaikan beberapa janjinya.

"Jadi dengan kemasukan mereka, kita mungkin mendapat angka yang kita perlukan," kata Mahathir ketika itu.

Bercakap dalam satu temu bual semalam, PM berkata beliau percaya tentang perlunya pembangkang sejak pertama kali beliau menjadi perdana menteri sebelum ini.

"Ketika saya mengetuai BN, saya pernah mengatakan bahawa kita memerlukan pembangkang.

"Tanpa pembangkang, ia seperti tidak mempunyai cermin untuk melihat diri sendiri. Anda fikir anda cantik tetapi sebenarnya anda sangat hodoh," kata Mahathir.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang telah berkecai, dengan MIC dan MCA "tidak berfungsi", sementara Umno telah berpecah kepada pelbagai puak.

"Jadi tidak ada lawan yang berwibawa pada masa ini," katanya.

Mahathir kemudian berkata bahawa Bersatu tidak mampu untuk mengabaikan semua mereka yang meninggalkan Umno.

Ini kerana pemimpin-pemimpin itu mempunyai sokongan orang Melayu yang besar di kawasan luar bandar, yang mana kerajaan perlukan sokongan mereka.

Mahathir juga berkata bahawa beliau tidak bimbang dengan MP Umno cuba berjumpa dengannya dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata dalam 'Malaysia Baru', semua orang dialu-alukan untuk berjumpa sesiapa sahaja, sama ada dirinya atau anwar.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa beliau telah menemui Anwar untuk memastikan Umno tidak dibatalkan pendaftarannya.

Sebagai pertukaran, Nazri berikrar bahawa semua Ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau akhirnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

[Baca berita penuh]

Oleh:  Zikri Kamarulzaman

Tuesday, December 18, 2018

Waytha Moorthy Sila Letak Jawatan SEGERA !


Orang PH pun mahu Waythamoorthy letak jawatan

Tekanan supaya meletak jawatan semakin memuncak buat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, apabila ia turut disuarakan pemimpin dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) sendiri.Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin misalnya hari ini berkata senator terbabit sudah gagal membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Untuk rekod Waythamoorthy dilantik kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri bagi hal ehwal perpaduan.

"Perkara terhormat yang anda boleh lakukan ialah meletak jawatan dan ke tepi daripada Menteri Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Masyarakat. Anda teramat gagal membentuk perpaduan ketika ia diperlukan dan menyebabkan suasana tidak harmoni.

"Ada orang Malaysia yang lebih baik untuk melaksanakan tugas berkenaan," katanya melalui Twitter.
Afif turut menanda Mahathir dalam ciapan berkenaan, dan mengulang ciap berita Malaysiakini, "Adib berani dan dedikasi, kata Waythamoorthy".

Ciapan Afif itu dibuat ekoran kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim, malam tadi kesan kecederaan dialami semasa kekecohan berlaku di kuil Sri Maha Mariamman 27 Nov lalu.

Polis mendakwa Muhammad Adib ditarik keluar dari kenderaannya sebelum dipukul ketika keadaan di kawasan kuil terbabit tegang ekoran pertikaian mengenai tapak di antara pihak pemaju dan penganut Hindu.

Wahthamoorthy dipersalahkan pelbagai pihak - bersama beberapa pemimpin parti politik lain - kerana dianggap memburukkan keadaan ketika ketegangan baru bermula.

Sebelum ini Mahathir berkata, jika aspek perpaduan yang sepatutnya menjadi keutamaan dan portfolio senator itu tidak diutamakan, sejarah boleh berulang.

"Dan kita akan tengelam seperti orang sebelum kita.

"Meminta maaf adalah perbuatan yang dihargai orang ramai, begitu juga dengan peletakan jawatan," kata perdana menteri dalam satu kenyataan.

sumber... mKini

[Baca berita penuh]

Kematian Adib Diklasifikasi Kes Bunuh


Muhammad Adib disahkan meniggal dunia jam 9.41 malam tadi

Polis mengklasifikasikan semula kes kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai kes membunuh, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Ab Rashid Ab Wahab.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Muhammad Adib, 24, merupakan salah seorang anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Bagaimanapun, dalam insiden itu, Muhammad Adib diserang perusuh menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Beliau menerima rawatan lanjut di Institut jantung Negara (IJN) sejak 28 Nov lalu sehingga disahkan meninggal dunia 9.41 malam tadi.

Jenazah akan diuruskan malam ini di IJN dan terus dibawa menggunakan ambulans ke kampung halaman Allahyarham di Kedah untuk dikebumikan.

sumber...mKini

Monday, December 17, 2018

Mujahid: Jangan Sampai Muncul BN 2.0, Umno 3.0



Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tidak terganggu dengan perkembangan semasa yang menyaksikan ramai pemimpin Umno meninggalkan parti masing-masing untuk bersama kerajaan.Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof berkata pemimpin dan anggota parti yang bergabung dalam PH harus memberi fokus kepada rancangan asal, iaitu membawa wajah baru buat Malaysia.

Perlu mengelak panik, Mujahid berkata, langkah terbabit itu wajar disambut dengan 'pelantar' Malaysia Baru untuk dijadikan asas mereka bertapak.

"Apa yang harus dibimbangi PH ialah sekiranya penghijrahan secara berjemaah orang Umno itu bukan di atas pelantar kita, tetapi membawa bersama pelantar mereka yang sudah reput lantas membahayakan Malaysia Baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata apa yang dilakukan PH sekarang ialah membawa naratif baru untuk negara ini.

Secara berkias, Mujahid berkata apa yang berlaku sekarang seperti ular bersalin kulit.
"Ular - apabila ia bersalin kulit - dikatakan menanggung kesakitan yang amat sangat, namun ia dilakukan untuk haiwan itu mendapat kulit baru.

"Demikianlah perumpamaan bagi negara kita semasa proses menukar wajahnya. Ia akan melalui sedikit keperitan demi memunculkan citra baru selepas PRU ke-14," katanya.

Baru saja bermula
 
Justeru kata Mujahid semasa proses berkenaan berlangsung pemimpin PH harus menanganinya sebagai langkah membina harapan rakyat kepada kemunculan Malaysia Baru dan sepatutnya menjadi tarikan penghijrahan Umno secara jemaah.

"Hanya dengan semangat Malaysia Baru, kemasukan mereka dapat memperkukuhkan PH.
"Jika tanpa faktor tarikan ini, PH perlu berhati-hati terutama dengan kemungkinan munculnya BN 2.0 dan Umno 3.0," katanya.

Selepas menjadi pembangkang buat kali pertama dalam sejarah lebih 61 tahun kedudukan Umno dilihat terancam apabila satu demi satu pemimpinnya meninggalkan parti berkenaan.
Di Sabah misalnya pada 12 Dis lalu sekurang-kurangnya lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan undangan negeri dan dua senator mengumumkan keluar dari Umno.

Seramai 22 ketua bahagian turut mengambil langkah sama. Antara mereka termasuk tokoh yang selama ini menjadi penyokong tegar Najib Razak.

Ia kemudian merebak ke semenanjung apabila enam anggota parlimen menjadi wakil rakyat bebas. Pada masa sama anggota Umno memberi tekanan kepada Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan presiden.

Apa yang berlaku itu tidak disenangi sebahagian pemimpin dan penyokong PH, termasuk beberapa menteri yang berpendapat penerimaan bekas pemimpin Umno itu akan menjejaskan sokongan terhadap kerajaan.

Mujahid berkata pada masa sama PH mesti kekal memberikan tumpuan kepada proses membawa pembaharuan selepas lebih enam dekad berada di bawah BN.

Katanya penghijrahan bekas pemimpin Umno itu tidak boleh mencemarkan alasan mengapa PH diterima rakyat semasa PRU lalu.

"Kita jangan hilang arah. Kerja untuk PH belum selesai, malah baru sahaja bermula," katanya.

sumber...mKini

Mufti Puji Khalid Samad Minta Maaf




Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin memuji tindakan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang memohon maaf berhubung kenyataan beliau berkaitan manifesto dengan menyandarkannya kepada Nabi Muhammad.

“Tahniah kerana berjiwa besar. Setiap kita membuat kesilapan ataupun tersasul, namun yang penting kita akur, memohon keampunan dan membetulkannya.

“Orang politik sukar mengakui kesilapan atas kepentingan sokongan. Justeru, jika ada yang mudah mengakui kesilapan bila terbukti maka kita patut hormati sikap yang baik itu.

“Elakkan memaki hamun dan mencerca orang lain. Itu bukan ajaran Islam. Itu amalan golongan politik yang mempergunakan Islam,” kata Asri di Facebooknya, hari ini.

Semalam Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memohon maaf berhubung salah faham berkaitan kenyataan yang dibuat.

Katanya, beliau tidak berniat menyandarkan kelemahan Pakatan Harapan (PH) kepada peribadi Rasulullah atau menuduh baginda mungkir janji.

Jelasnya, apa yang ingin disampaikan adalah manusia hanya mampu berusaha, namun bukan semua yang diusahakan akan dapat terlaksana sepenuhnya.

“Saya menerima segala teguran yang dibuat dengan hati terbuka dan terima kasih.
“Jika ada yang faham begitu (seolah Rasulullah mungkir janji), saya memohon maaf dan memohon ampun kepada Allah SWT dan Rasulnya,” kata Khalid.

Asri melalui kenyataan awalnya tanpa menamakan sesiapa menggesa pihak yang tersilap atau tersasul untuk membetulkan kenyataan tersebut.

Menurut Asri, ketika tahun perjanjian Hudaibiyah, tiada sebarang janji Nabi Muhammad dalam peristiwa itu yang tidak tertunai.

“Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

“Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada Muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan Muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat,” katanya.

sumber...mKini

Isu MP PAS Jumpa PM: Kenyataan Tuan Ibrahim dan SU Bercanggah




Isu pertemuan dua anggota parlimen PAS dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin menjadi menimbulkan tanda tanya.

Ia susulan kenyataan dua pimpinan kanan parti itu saling bercanggah antara satu sama lain.
Bagi Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara itu tiada isu yang berbangkit kerana pertemuan dua anggota parlimen itu sudah dimaklumkan.

Malah beliau menegaskan, kedua-dua MP itu juga tidak perlu dipanggil untuk sebarang penjelasan.
"Tak (dipanggil). Ia bukan isu pun, (pertemuan) dalam makluman parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

PAS akan kenal pasti MP jumpa Dr M

Sebelum ini isu tersebut tular di media sosial dan Tuan Ibrahim yang juga MP Kubang Kerian mengakui terdapat dua anggota parlimen PAS yang mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Katanya, pertemuan itu satu perkara biasa memandangkan Mahathir adalah pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dan sering menjadi rujukan banyak pihak.

“Saya pun ada dengar begitu (pertemuan). Tapi Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dia memang terbuka menerima kunjungan siapa sahaja. Saya pun pernah jumpa tiga, empat kali dengan beliau," katanya.

Sementara itu nada sebaliknya disuarakan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menyatakan pihaknya akan mengenal pasti dan memanggil dua ahli parlimen berkenaan.

MP Kota Bharu itu berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai pertemuaan itu dan ia tidak dimaklumkan kepada parti.

"Pihak saya memang tidak tahu menahu adanya pertemuan seperti yang diuar-uarkan. Adakah betul mereka jumpa? Jika betul mereka jumpa kita akan panggil dan dapatkan kepastian.

“Sekiranya ia perjumpaan atas hal individu atau peribadi, ia bertentangan dengan pendirian PAS dan mereka melanggar disiplin, tindakan mereka menimbulkan pelbagai persepsi dan seharusnya perjumpaan itu dibuat melalui parti, apapun kita akan siasat dulu," katanya, petik Sinar Online.

Menurut laporan itu, beliau berkata sekiranya benar (ada pertemuan) sebagai seorang ahli parlimen dan atas apa jua urusan, pertemuan itu perlulah dimaklumkan kepada parti.

Malaysiakini juga menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, bagaimanapun setakat ini beliau belum memberi sebarang maklum balas.

sumber...N Faizal Ghazali  mKini

Sunday, December 16, 2018

Nabi Pun Pernah Terpaksa Tak Tunai Janji, kata Khalid [VIDEO]


Ya,Baginda Rasul SAW menangguhkan untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut kerana dihalang oleh musyrikin Mekah.

Setekah perjanjian Hudaibiah dipersetujui pada tahun berikutnya Baginda Rasul dan kaum muslimin berjaya masuk dan menawan kota Mekah dan dikenali sebagai peristiwa Fathul Makkah tanpa sebarang pertumpahan darah.


Ucapan penggulungan dari Ketua Komunikasi parti AMANAH Negara

Nabi pun penah tidak dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa - itu jawapan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap cakap-cakap mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kata Khalid, kegagalan menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji.

"Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak dapat.

“Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa," katanya.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menegaskan PH memang komited mahu melaksanakan semua janji yang diikrarkan mereka sebelum pilihan raya umum lalu.

“Memang kita nak buat, tapi tak boleh, duit tak cukup.

"Bukan kerana Mat Sabu (Mohamad Sabu) belikan beg tangan Birkin untuk Kak Normah (isteri Mohamad),” katanya disambut tawa hadirin.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sebagai pengarah komunikasi di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini.


Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan menteri-menteri sendiri terpaksa mengorbankan gaji dan elaun sebagai langkah penjimatan memandangkan keadaan kewangan negara yang teruk.

“Menteri sudah potong 10 peratus (gaji), elaun kita dalam parlimen kita dah potong. Banyak lagi kita dah potong. Ada rumah (sekalipun), duduk di kuarters dan potong RM4,000 sebulan.

"Kerana apa? Nak jimatkan duit. Duit tak ada. BN kata hutang hanya RM600 bilion, tetapi PH kata hutang ialah RM1 trilion. Kalau nak percaya BN, percayalah,” katanya.

Malah menurut Khalid, ada sesetengah pihak mempunyai tanggapan salah bahawa menteri menikmati kehidupan mewah sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.

“Janganlah buat andaian (bahawa) menteri-menteri sedang berseronok- elaun banyak, gaji banyak.

Saya bagitahu tuan-tuan, tiap-tiap bulan gaji saya tak sampai RM1,000 (yang) tinggal. 

“Kerana apa? Kerana parti hendakkan duit, orang hendakkan duit. Semua hendakkan duit,” katanya lagi.

sumber...mKini
 M Fakhrull Halim dan Hariz Mohd


Kes Rogol di Kelantan Membimbangkan

 


Kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur. Gambar hiasan

Kadar jenayah di Kelantan pada amnya masih terkawal namun jenayah rogol dilihat pada agak membimbangkan, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Katanya, bagaimanapun kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur.

Walaupun berlaku atas kerelaan, polis terpaksa melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol melibatkan remaja bawah umur, katanya kepada pemberita selepas Majlis Townhall "Jenayah Di Kelantan, Adakah Serius?" anjuran bersama Penjara Negeri Kelantan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di sini hari ini.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga November lalu sebanyak 92 kes rogol dilaporkan berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
 
"Meskipun berkurangan sebanyak 14.8 peratus namun ia tetap dilihat membimbangkan," katanya.

Dalam pada itu katanya  jenayah samun berkawan tanpa senjata api menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 130 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 126 kes pada 2017.

"Keseluruhan jenayah menunjukkan penurunan iaitu daripada 559 kes tahun lalu kepada 470 kes dalam tempoh Januari hingga November iaitu penurunan sebanyak 15.9 peratus," katanya.

Hasanuddin juga berkata, kebanyakan kes jenayah berpunca daripada dadah termasuk yang paling banyak berlaku iaitu pecah rumah.

sumber...Bernama

Saturday, December 15, 2018

Ulat Tiket Hanoi Lagi Hebat !

 ULAT tiket (kiri) berurusan dengan pelanggan di luar Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, hari ini. - Foto Aziman Rosdi

GEJALA ulat tiket di Hanoi nampaknya lebih teruk berbanding di Malaysia.

Mereka ibarat lintah darat apabila menjual tiket final kedua Piala AFF antara Vietnam dan Malaysia di Stadium Nasional My Dinh berlipat kali ganda untuk mengaut keuntungan.

Ada ulat tiket yang menjual sekeping tiket mencecah AS$400 (RM1,673) berbanding harga sebenar berjumlah 200,000 dong (RM36).

Tinjauan Sukan NSTP mendapati ulat tiket mencari pelanggan di tepi jalan besar di luar stadium.

Penyokong Vietnam agak terdesak untuk mendapatkan tiket memandangkan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) hanya menjual 16,000 tiket menerusi dalam talian dan baki selebihnya diedarkan kepada penaja, syarikat korporat dan ahli gabungan mereka.

Jumlah sebenar tiket yang dijual tidak diketahui namun kapasiti stadium adalah 40,192 orang.
Sebelum ini isu ulat tiket timbul pada final pertama Selasa lalu meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 80,000 tiket.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Malaya seri 2-2 dengan Vietnam.


Friday, December 14, 2018

36 MP BN Tandangani Surat Sokong Mahathir


Seramai 36 anggota parlimen BN telah menandatangani surat sebagai tanda sokongan kepada perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sejak sebulan lalu, kata anggota parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.

Hamzah dalam satu temubual ekslusif dengan NSTP hari ini berkata langkah itu tidak dibuat tergopoh-gopoh.

Sebaliknya, beliau yang turut berbuat demikian menegaskan keputusan itu dibuat bersama anggota Parlimen BN yang lain dan mengambil masa hampir sebulan.

Menurut Hamzah, seramai 33 anggota parlimen Umno, seorang dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan dua dari MIC menandatangani sokongan tersebut.


 "Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.

“Kita beri sokongan kepada PM untuk memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur perpecahan sehingga rakyat keliru, inikan pula pelabur luar kerana bila pelabur lihat politik tidak stabil, mereka tidak mahu melabur dalam negara ini," katanya.

Menurut Hamzah politik yang tidak stabil akan memberikan kesan lebih besar terutama kepada rakyat.

"Itu sebab kita mahu bagi kestabilan dan kita menyokong PM untuk meneruskan kepemimpinannya. Semua ini demi kepentingan negara, rakyat supaya kita dilihat sebagai sebuah negara yang ada masa depan,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan menyokong Dr Mahathir jika Perdana Menteri menerima desakan daripada mana-mana pihak.

Ditanya adakah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa mereka beralih sokongan kepada Dr Mahathir, Hamzah memberitahu bekas ‘bos’ tidak tahu.

Katanya, beliau ‘bersepakat’ bersama yang lain untuk tidak memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid.

Beliau juga menegaskan, tiada syarat yang dikenakan dalam proses pengalihan sokongan daripada Ahmad Zahid kepada Dr Mahathir.

sumber...mKini

Jangan Jadikan PH 'Kem Pelarian' - Salahuddin Ayub



Tahniah kepada pemimpin parti AMANAH kerana berani bersuara.

Pakatan Harapan (PH) bukan ‘kem pelarian’ bagi mana-mana Ahli Parlimen mendapatkan ‘perlindungan’.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, berkata PH perlu memperincikan sebab dan tujuan seseorang Ahli Parlimen yang mahu menyertai PH.

“PH tidak harus sewenang-wenangnya menerima kemasukan pemimpin yang melompat parti hanya atas dasar personaliti dan kepentingan peribadi semata-mata.

“Semua itu harus kita cermati kerana saya tidak mahu PH menjadi tempat perlindungan ‘pelarian politik’,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PH mesti bertegas mempertahankan prinsip yang menjadi pegangan parti.

“Kita akan bincangkan semua isu ini dalam mesyuarat majlis Presiden PH minggu depan,” katanya.
 

Thursday, December 13, 2018

Syok Jugak Baca Kisah Nazri Jumpa Anwar



Hahaha...

Memang parti umno da nak kojol pon...Lihat video wak Jahid di PWTC ...

Hari ni bekas Ketua Puteri Umno Mas Ermiyati yang jugak MP Masjid Tanah sertai parti BERSATU pimpinan Tun Dr Mahathir.

Nazri boleh saja mengkisahkan tentang apa pun berkenaan perjumpaan beliau dengan Anwar,sumber yang diperolehi oleh wartawan malaysiakini berkenaan perjumpaan Nazri bersama umno Selangor juga dianggap sah tetapi keabsahan butiran pertemuan Nazri dan Anwar tidak dapat disahkan kerana belum ada jawapan balas dari pihak Anwar.

Manakala semalam bila anggota pimpinan umno Sabah keluar beramai ramai itu telah disahkan press statement mereka dan sebelumnya oleh penasihat komunikasi PM iaitu A,Kadir Jasin.

Episod ini akan lebih menarik lagi kerana ada jugak Boom News dari pihak parti Pas yang mengadakan pertemuan dengan Anwar...

Inilah politik gaya Malaysia...what's the next? kikiki...


Demi survival Umno, Nazri minta bantuan Anwar


Umno kini berdepan krisis besar. Bilangan kerusi parlimennya kian berkurangan sejak PRU ke-14 dan usaha perbincangan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak berpihak kepada parti itu.

Ini kerana Mahathir mahu Umno dibubarkan sebelum menimbang soal kerjasama dengan pemimpin tertinggi parti itu. Anggota Umno bimbang parti mereka akan dibatalkan pendaftarannya.

Keadaan suram ini membuatkan seorang pemimpinnya, Nazri Abdul Aziz, pergi kepada bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.

Anggota Padang Rengas itu memperincikan perbincangan dengan Anwar yang didakwa berlaku itu, ketika mesyuarat dengan anggota Umno Selangor semalam. Malaysiakini mendapat rakaman ucapannya.

Ketika dihubungi, Nazri mengesahkan rakaman itu.

"Ini bukan benda baru, ia rahsia umum bahawa kebanyakan (anggota parlimen Umno) mahu jadi sebahagian dalam kerajaan...Tiada apa-apa (yang berunsur) jahat," katanya kepada Malaysiakini.

Empat permintaan Nazri

Dalam mesyuarat dengan Umno Selangor semalam, Nazri yang juga setiausaha agung BN berkata beliau telah bertemu Anwar ketika minggu kedua sidang parlimen yang lalu.

Menurutnya, beliau meminta empat perkara dan Anwar menyatakan persetujuannya. Antaranya adalah agar Umno tidak dibubarkan.

"Anwar kata, 'Nazri, saya tak akan bubar Umno. Kita kena sporting dalam politik, macam mana nak lawan kalau seteru dibubarkan? Kita perlu gentleman'," dakwanya.

Permintaan kedua agar Anwar tidak menganiaya (harass) bekas perdana menteri Najib Razak apabila beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Saya beritahu dia (Anwar), apa sekalipun kesalahan (Najib), dakwalah. Tapi jangan harass dia, jangan aibkan dan menyusahkan...dengan kenakan ikat jamin banyak kali.

"Anwar kata, 'saya sudah lalui perkara ini (dakwaan di mahkamah dan hukuman penjara) dua puluh tahun.

"'Saya tak mahu seteru saya lalui perkara sama, apatah lagi kawan saya. Najib dulu timbalan saya (dalam Pemuda Umno), Zahid dulu 'macai' saya'," dakwa Nazri lagi.

Najib kini berdepan sejumlah dakwaan berkenaan skandal 1MDB dan SRC International. Zahid pula dihadapkan dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Permintaan ketiga Nazri adalah agar Anwar mengembalikan semula sistem ketua kampung.

Permintaan keempatnya agar anggota parlimen Umno menerima peruntukan yang sama dengan anggota parlimen kerajaan agar mereka boleh "memberinya kepada rakyat".

Balas dengan sokongan

Sebagai pertukaran untuk empat permintaan itu, Nazri berkata anggota parlimen umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam masa "satu setengah tahun" lagi.

Bagaimanapun Nazri menegaskan wakil rakyat Umno hanya akan menjadi mesra-kerajaan, bukan sebahagian dalam pentadbiran.

"Kita tak mahu berada dalam kabinet. Susah untuk kita apabila pilihan raya umum nanti.

"Kita nak bertanding di kerusi Bersatu (Amanah dan Warisan), kita nak ambil balik kerusi kita, jadi kita kena lawan. Jadi kita tak boleh jadi menteri (dalam pentadbiran PH).

"Kita hanya jadi blok yang menyokong semua dasar kerajaan yang menguntungkan rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, Nazri mendakwa Anwar juga memberitahunya dengan PKR, DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau memiliki 110 kerusi di Parlimen.

"Jadi dia beritahu saya, 'saya hanya perlu dua lagi. Jika campur anda (Nazri) dan anda cari seorang lagi, jumlahnya 112, dan saya perdana menteri'," dakwa Nazri.

Menurutnya, Anwar membayangkan beliau tidak memerlukan Amanah, Bersatu atau Warisan untuk membentuk kerajaan.

Kata Nazri lagi, Anwar juga memberitahunya yang beliau akan mematuhi persetujuan PH bahawa beliau hanya menggantikan Mahathir selepas dua tahun.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Anwar bagi meminta respons berhubung dakwaan Nazri.

Dalam penjelasannya kepada Malaysiakini, Nazri berkata ucapannya hanya untuk memberi penerangan kepada akar umbi Umno tentang isu semasa dan rancangan parti itu di masa depan.

Beliau berkata tidak pelik untuknya berbincang dengan Anwar selaku bakal perdana menteri, memandangkan syarat yang ditetapkan Mahathir "terlalu ketat".

"Jadi apa yang kita perlu buat sekarang adalah menunggu (Anwar menjadi perdana menteri)," katanya lagi.

oleh: Zikri KamarulZaman mKini

Wednesday, December 12, 2018

Hishammuddin DALANG MP Keluar Umno, kata sumber parti



Beberapa sumber parti mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah.

Sumber berkenaan memberitahu Malaysiakini demikian selepas diminta menerangkan kenyataan

bekas Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter ketika mengulas tindakan puluhan pemimpin dan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu.

Khairy sebelum itu ditanya oleh seorang pengguna Twitter mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti.

"Dah cuba tapi ada puak 'bangsawan' yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai," ciap Khairy di laman sosial itu.
Meskipun tidak menyebutkan nama, sumber memberitahu ia merujuk kepada Hishammuddin.

"Pastinya dia, tapi dia (Hishamuddin) sendiri tidak berani untuk melakukannya (keluar Umno).

"Sama seperti dia tidak berani bertanding semasa pemilihan parti. Dia lebih suka berada di tepi seperti beberapa 'Yoda' yang berunding dengan kerajaan hari ini," kata seorang pemimpin parti itu yang enggan namanya disiarkan.

Pemimpin Umno itu mendakwa Hishammuddin mungkin "diperkudakan" oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Hishammuddin untuk mendapatkan respon beliau.

Satu lagi sumber parti, yang juga enggan namanya didedahkan menyebut mengenai dua senario yang mungkin dalam perancangan Hishamuddin.

"Dia mahu menunjukkan kepada Mahathir bahawa dia boleh membawa anggota parlimen melompat dan lepas itu boleh menuntut jawatan kanan dalam kabinet malah sebagai timbalan perdana menteri sekalipun.

"Selain itu untuk meneruskan agenda anti-Anwar Ibrahim sementara mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri. Dia betul-betul melihat dirinya sebagai bakal perdana menteri.

"Pilihan lain adalah dengan menjadi anak jantan dan bertanding untuk jawatan presiden Umno nanti. Kedua-dua pilihan itu menjelaskan mengapa dia berdiam selama ini.

"Dia tidak mahu dilihat membahayakan dengan menyatakan perkara-perkara yang sukar mengenai pembaharuan parti. Dia juga tidak mahu menyerang kerajaan sama sekali, "katanya.

Pemimpin parti itu menuduh Hishammuddin sengaja mengalihkan perhatian kepada kelemahan kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno.

"Jadi orang tahu tapi tak nak cakap mengenainya. Itulah yang dia mahukan dengan membawa orang-orang ini menyeberang demi memenuhi cita-cita sendiri," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli Umno menolak dakwaan terhadap Hishammuddin dengan mengatakan sesetengah pihak termasuk mereka yang bersekutu dengan Zahid, mempunyai agenda sendiri.

"Hishammuddin tak akan keluar Umno. Dia jumpa MP Umno sebab nak kasi semangat dan redakan (keadaan).

"Melarat orang-orang presiden cakap Hisham nak bawa (MP) keluar (Umno) dan ada cluster lain cuba nak bawa keluar walhal dia bantu presiden agar MP semua jangan keluar," katanya.

sumber...Zikri Kamarulzaman mKini

Anwar: Tabung Haji Contoh Pengurusan 'Goblok'



Langkah meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) penting ke arah menumpukan semula kepada tujuan asalnya, kata Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi kawal selia, tetapi tidak mengulas lanjut.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Simposium Tahunan mengenai Kewangan Islam Kali Keempat di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata TH merupakan institusi yang baik, tetapi telah disalah urus oleh pihak yang menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi.

TH merupakan satu contoh bagaimana pengurusan yang 'goblok' (bodoh) yang merosakkan dan mengkhianati amanah.

Ia bukan salah institusi, bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang telah menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat dan tindakan harus diambil ke atas mereka,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia BNM bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Beliau berkata Kabinet telah memberikan sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini.

Fungsi SPV ialah mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah selain menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.

Sementara itu, Anwar berkata sistem kewangan Islam perlu mempunyai peralihan yang jelas dan membincangkan isu-isu, termasuk kemiskinan.

“Sejak beberapa dekad ini, isu ini telah diketepikan. Bagaimanapun, pada masa ini, ia agenda utama institusi kewangan Islam, termasuk bank-bank yang memberi tumpuan kepada komuniti pada amnya.

“Menjana pertumbuhan bukan hanya mempunyai sistem yang halal, tetapi ia juga perlu adil dan menggalakkan kesaksamaan," katanya.


sumber...Bernama

Tuesday, December 11, 2018

Cari Kerja di Australia: 8 Rakyat Malaysia Dicekup Polis



Lapan rakyat Malaysia ditahan di Australia berikutan kes eksploitasi pekerja

Pihak berkuasa menahan lima rakyat Malaysia yang dikatakan terbabit dalam sektor pertanian ketika serbuan pertama di Torrensville, pinggir bandar Adelaide, selatan Australia.

 Pihak berkuasa Australia menahan lapan rakyat Malaysia susulan serbuan di dua lokasi berbeza oleh Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) pada Isnin lalu.

Memetik laporan portal berita negara tersebut, news.com.au melaporkan pihak berkuasa menahan lima rakyat Malaysia yang dikatakan terbabit dalam sektor pertanian ketika serbuan pertama di Torrensville, pinggir bandar Adelaide, selatan Australia.

Dua daripada lima yang ditahan itu pula turut disyaki terbabit dalam pengurusan sebuah sindiket eksploitasi pekerja di negeri New South Wales.

Kesemua mereka yang ditahan itu ditempatkan di depoh tahanan imigresen sementara menunggu untuk dihantar pulang ke Malaysia.

Pada hari yang sama juga, pegawai ABF turut menyerbu sebuah hartanah yang terletak di Euston, New South Wales, di mana tiga lagi rakyat Malaysia ditahan.

Komander ABF, James Copeman berkata, serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada Operasi Battenrun yang dijalankan secara berterusan dengan menyasarkan pekerja asing tanpa izin dan penipuan migrasi terancang.

“Sama ada di bandar atau luar bandar, sindiket eksploitasi pekerja asing tanpa izin ini akan akan sentiasa dikenalpasti dan ABF akan mengambil tindakan terhadap individu yang merancangnya.

Pekerja haram mudah menjadi sasaran serta sering dibayar gaji rendah dan mendapat layanan teruk,” jelasnya memetik laporan portal tersebut.

Dalam pada itu, portal berkenaan turut menjelaskan bahawa serbuan yang dilakukan tersebut tiada kaitan dengan siri tangkapan sama pada Ogos lalu, di mana seorang lelaki Thailand dan dua warga Malaysia ditahan.

sumber...Akmal Aziz  K! ONLINE

Sunday, December 9, 2018

Dyana Sofya dan Zairil Sah Jadi Suami isteri



Bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd Daud, mengakhiri zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan itu diadakan di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Zairil, 36, yang juga EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang dan Dyana, 31, melangsungkan pernikahan mereka di lokasi sama semalam.

Pasangan itu bertunang pada Mac lalu dengan majlis berkenaan diadakan di sebuah hotel di sini, yang diserikan kehadiran kira-kira 1,300 jemputan termasuk tetamu kenamaan, ahli keluarga dan kenalan rapat.

Hadir memeriahkan majlis itu adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pasangan itu sebelum ini terpalit dengan kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka tersebar di laman sosial pada Oktober 2014, namun dinafikan pasangan terbabit.

Pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian pada April tahun lalu selepas klip video dua individu yang didakwa sebagai mereka, menari mesra, turut viral di laman sosial.

Zairil sebelum ini sudah berkahwin, namun mengikut maklumat yang turut viral di media sosial, sudah bercerai Oktober tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Oleh:  Mohd Hafizee Mohd Arop NSTP