Followers

Showing posts with label rafizi ramli. Show all posts
Showing posts with label rafizi ramli. Show all posts

Tuesday, January 22, 2019

Ambik Kau: Biarkan Najib Terus Merempit Atas Kapcai



Biarkan Najib terus merempit atas kapcai kata Rafizi
Masanya telah tiba bagi Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak ke hadapan melangkaui skandal 1MDB dan bekas perdana menteri Najib Razak serta menumpukan untuk memperbaiki kehidupan rakyat, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini kerana rakyat telah membantu menghentikan 'rompakan' tersebut, kata Rafizi.

"Rakyat telah mengambil tindakan untuk menghentikan rompakan dan kecurian itu, walaupun ada yang sedikit terlambat.

"Tetapi keperluan mendesak untuk menghentikan rompakan dan kecurian wang negara itu telah dicapai.

"Kini, tiba masanya untuk memberi tumpuan memperbaiki kehidupan rakyat," katanya.

Rafizi berkata menjadi keutamaan kerajaan membantu golongan muda mencari pekerjaan.

Terlibat perniagaan

"Membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja.

"Saya juga percaya kita boleh membantu orang (supaya) mudah menambah kebolehpasaran mereka tanpa membelanjakan satu sen pun duit kerajaan, seperti yang dibuat oleh Najib (yang tidak pun banyak membantu orang muda dan majikan walaupun beratus juta dibelanjakan)," tulis beliau.
Menurut Rafizi, kerajaan juga patut menggalakkan rakyat, terutamanya orang Melayu untuk terlibat dalam bidang perniagaan.

"Paling bagus, ia akan meyakinkan orang Melayu/ bumiputera bahawa mereka juga boleh bersaing dalam perniagaan tanpa menuding jari kepada sesiapa," katanya lagi.


Bekas anggota parlimen Pandan berkata pengkritiknya daripada kalangan orang PAS dan Umno akan terus "meroyan" kerana golongan itu mahukan Najib kembali menjadi perdana menteri.

"Penyokong PAS Umno yang suka meroyan di Facebook saya akan terus meroyan.

"Mereka memang begitu dari dulu pun kerana mereka adalah #pencintaNajib asalkan Najib menjadi perdana menteri semula, mereka tidak malu pun berketuakan seorang yang dikaitkan dengan rompakan wang rakyat terbesar dalam sejarah dunia," jelasnya.

Rafizi turut berkata bekas perdana menteri itu boleh terus bermimpi untuk kembali berkuasa kerana populariti di media sosial tidak bermaksud orang dengan mudah dapat melupakan kesilapannya.

"Satu dua tahun dari sekarang, bila usaha itu membuahkan hasil, Najib akan terus merempit di atas kapcai dan di media sosial.

"Dan biarkanlah beliau merempit – itu hak beliau, asalkan beliau tidak memakan harta rakyat," katanya lagi.

Najib sedang berhadapan 38 tuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, selain didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

Anggota parlimen Pekan itu menafikan semua tuduhan tersebut dan sedang dibicarakan mahkamah.

sumber...mKini

Friday, December 28, 2018

Rafizi dilantik Naib Presiden PKR



Rafizi Ramli - yang tewas dalam pemilihan PKR yang lalu - dilantik sebagai naib presiden parti itu.Ia diumumkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini bermesyuarat bagi memutuskan jawatan lantikan bagi parti itu.

"Antara yang dibincangkan adalah perlantikan jawatan-jawatan MPP selepas pemilihan MPP dan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sebelum ini.

"Diharapkan mereka dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat dalam era Malaysia baru ini," katanya.

Berikut adalah senarai penuh jawatan lantikan bagi penggal 2018-2021:
  • Naib presiden: Rafizi Ramli
  • Naib presiden: Chang Lih Kang
  • Naib Presiden (Sabah/Sarawak): Ali Biju
  • Setiausaha Agung: Saifuddin Nasution Ismail
  • Bendahari Agung: Lee Chean Chung
  • Ketua penerangan: Shamsul Iskandar Md Akin
  • Setiausaha pengelola: Nik Nazmi Nik Ahmad
  • Ahli MPP (lantikan): Lee Khai Loon
  • Ahli MPP (lantikan): Faisal Sanusi
  • Ahli MPP (lantikan): Syed Ibrahim Syed Noh
  • Ahli MPP (lantikan): Rayyan Abdul Rahim
  • Ahli MPP (lantikan): Raymond Ahuar
  • Ahli MPP (lantikan): S Kesavan
  • Pengarah strategi: Dr Mansor Othman
  • Pengarah komunikasi: Fahmi Fadzil
  • Timbalan setiausaha agung: Dr R Santhara Kumar
  • Timbalan ketua penerangan: Sim Tze Tzin
  • Timbalan ketua penerangan: S Manivanan
  • Ketua jawatankuasa keanggotaan: Tian Chua
  • Ketua jawatankuasa sistem pemilihan parti: Dr Lee Boon Chye
sumber...mKini

Sunday, December 2, 2018

Amaran Rafizi: Usah Biar Episod Tabung Haji Berulang




Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan tetap bersuara dan mengkritik kerajaan - walaupun Pakatan Harapan (PH) - dan meminta orang ramai menilainya berdasarkan fakta.

Kata Rafizi hal itu kerana pembongkaran dan kritikan sama pernah dibuatnya semasa BN masih berkuasa.

Malah katanya dia juga sudah didakwa, dibicarakan dan dihukum penjara atas pendedahan yang dibuatnya sebelum ini.

"Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini (kerana) bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, isya-Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut bekas anggota parlimen Pandan itu pada masa sama dia berharap rakyat lebih terbuka untuk mendengar dan meneliti apa yang didedahkan berdasarkan fakta.

"Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti (sama ada PH, Umno atau PAS) lebih terbuka meneliti setiap fakta," katanya.

Rafizi berkata demikian selepas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuat aduan polis ke atas beberapa bekas pegawai kanan badan itu, termasuk pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Abdul Azeez Abdul Rahim, serta bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ismee Ismail.

Bersekongkol beramai-ramai

Pendedahan Rafizi mengenai Tabung Haji dibuat sejak beberapa tahun lalu dan dia dikecam pelbagai pihak kerana didakwa memfitnah agensi yang sensitif kepada orang Islam di negara ini.

Antara pihak yang mengkritik Rafizi pada ketika itu ialah Jamil Khir Baharom yang menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pada era BN memerintah.

Pada 8 April 2016 mengaku tidak bersalah menyiarkan tulisan di akaun Facebooknya - bertarikh 9

Feb 2016 - kerana didakwa mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji dan boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur pada 18 Feb 2016.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Sept lalu mahkamah majistret di Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membela diri terhadap tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, dua tahun lalu.

Kata Rafizi orang ramai mesti memastikan apa yang berlaku pada Tabung Haji tidak diulangi pada masa depan.

Menurutnya penyelewengan dana Tabung Haji itu berlaku apabila ada pihak beramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran.

Katanya walaupun fakta yang dikemukakan jelas ia tidak diterima ramai hanya disebabkan ia dibawa oleh seseorang yang berada di pihak lawan.

"Jangan kerana pembongkaran itu datang daripada seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ni semuda fitnah.

"Saya akan terus meneliti setiap kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya.

"Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang iaitu Umno dan PAS, saya akan tetap meneliti dan bersuara," katanya.

sumber...mKini

Saturday, March 10, 2018

PRU14: Pakatan Harapan Mampu Menang 5 Negeri

 

Kajian Invoke: HARAPAN Mampu Menang 5 Negeri

 Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu menang di lima negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, menurut kaji selidik Invoke Malaysia.

 Negeri tersebut adalah Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan kemenangan di selangor dan Pulau Pinang, kata pengasasnya Rafizi Ramli ketika membentangkan keputusan kajian, malam tadi.

Kaji selidik yang melibatkan 2,000 responden dan dijalankan pada Februari itu turut membayangkan kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung di Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia juga menjangka HARAPAN akan menang di 89 kerusi Parlimen di Semenanjung manakala BN menang di 76 kerusi. Tiada responden daripada Sabah dan Sarawak dalam kaji selidik ini.

PAS pula dijangka tidak akan menang walau satu kerusi Parlimen dan malah kalah di Kelantan, negeri yang ditadbirnya sejak 1990.

Selain Kelantan, dua lagi negeri di pantai timur iaitu Pahang dan Terengganu juga dijangka kekal dipegang BN, kata Rafizi.

Kaji selidik itu juga mendapati sokongan pengundi Melayu terhadap BN menurun pada kadar enam peratus sejak tiga bulan lalu, walaupun masih tinggi jika dibandingkan dengan sokongan terhadap HARAPAN dan PAS.

"Kali terakhir sokongan Melayu terhadap Umno turun dengan drastik seperti ini adalah pada 1999, ia menyebabkan BN tewas dua negeri.

"Melihat kepada angka ini, gelombang besar (Melayu) akan tiba," kata Rafizi.

Kaji selidik itu mendapati 28.5 peratus pengundi Melayu menyokong BN manakala 14.1 peratus menyokong HARAPAN dan 18 peratus PAS.

"Trend menunjukkan sokongan terhadap HARAPAN semakin meningkat berbanding PAS, dan akan melepasi parti itu tak lama lagi," katanya.

Bagaimanapun 22.3 peratus responden Melayu dalam kaji selidik itu enggan menjawab siapa yang akan diundi mereka, manakala 12 peratus lagi belum membuat keputusan.

[Baca berita asal]

sumber...Alyaa Azhar mKini