Followers

Thursday, January 15, 2015

Jakarta Dedahkan Imej QZ8501 Terbelah 3

Badan QZ8501 ditemui 2km dari lokasi ekor pesawat


AGENSI - KOMBINASi gambar menunjukkan bahagian serpihan pesawat AirAsia QZ8501 yang ditemui.

Jakarta – Sebuah kapal tentera Singapura mengesan fuselaj atau badan pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu sekali gus meningkatkan harapan bahawa kebanyakan mayat 162 mangsa akan ditemui.

Gambar di bawah air menunjukkan fuselaj retak dan sebahagian sayap Penerbangan QZ8501 itu yang terhempas dalam cuaca buruk pada 28 Disember lalu semasa dalam penerbangan dari bandar Surabaya me­nuju ke Singapura.

Penemuan fuselaj itu merupakan perkembangan positif terbaru selepas usaha mencari dan menyelamat tergendala akibat cuaca buruk.

Hanya 50 mayat ditemui setakat ini dengan sebahagian besar mangsa dipercayai terperangkap di dalam fuselaj kapal terbang jenis Airbus A320-200 tersebut.

Perkembangan itu menyusul selepas penemuan dua kotak hitam pesawat berkenaan minggu ini yang menyimpan maklumat penting bagi membantu pasukan penyiasat me­ngenal pasti punca nahas.

Bos AirAsia, Tony Fernandes mengesahkan bahawa fuselaj QZ8501 telah ditemui dalam mesej Twitternya.

“Amat sedih melihat pesawat kami. Saya amat kecewa dan sedih.

“Kami harap semua tetamu kami berada di dalamnya,” kata Fernandes.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Menteri Per­tahanan Singapura, Ng Eng Hen menyatakan dalam komen di Facebook bahawa kapal MV Swift Rescue telah mengesan fuselaj sepanjang 26 meter itu berada pada jarak sekitar 2 kilometer dari lokasi ekor pesawat yang ditemui sebelum ini.

Mengulas penemuan itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Bambang Soelistyo ber­kata, sepasukan penyelam akan dikerahkan ke lokasi fuselaj itu hari ini.

“Sekarang sudah gelap, justeru kami akan melakukan selaman pagi esok (hari ini) dengan matlamat untuk mencari mangsa-mangsa yang masih berada di sekitar atau terperangkap di dalam fuselaj itu,” kata Bambang.

sumber...Afp