Followers

Thursday, January 15, 2015

Kantoi: Helah Awie di Mahkamah 'Makan Diri' Sendiri


Tindakan Awie Tuduh Rozana Lakukan Perbuatan Khurafat Makan Diri

Rozana Misbun berkata, tindakan Awie menuduhnya melakukan amalan khurafat dan syirik yang bertentangan dengan perintah Allah adalah perbuatan terdesak bertujuan mengaibkan isteri sendiri.

Rozana, 37, berkata, tuduhan Awie melalui peguamnya di mahkamah dilakukan tanpa menyertakan bukti yang akhirnya memakan diri sendiri.

"Kenapa hanya selepas saya keluar dari rumah kami baru dia nak kata terjumpa macam-macam? Kenapa selama ini dia tidak dedahkan perkara itu?

"Bagi saya tindakan dia memburuk-burukkan saya dengan cara itu adalah tindakan terdesak," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah Tinggi Syariah di sini Rabu.

 Terdahulu Rozana berjaya mengenepikan perintah sebelah pihak (ex-parte) hak jagaan sementara terhadap tiga anak mereka yang sebelum itu diserahkan kepada Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47.

Tiga anak hasil perkahwinan mereka itu ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Awie turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000

Pada sesi penghujahan yang berlangsung pada Selasa lalu, peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah, anak guamnya mempunyai bukti kukuh bahawa Rozana seorang pengamal perkara syirik, khurafat dan tahyul dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ukay Perdana Ampang dekat sini.

Barang-barang berkenaan seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.

Dalam pada itu, Rozana berkata, dia tidak terkesan dengan tuduhan tidak berasas itu itu kerana akhirnya kebenaran akan menceritakan segala-galanya.

Malah kata Rozana, keputusan yang dibuat mahkamah terhadap kes berkenaan turut membuktikan alasan dikemukakan oleh Awie tidak munasabah.

"Saya tidak hidup dipuji mahupun mati kerana dikeji jadi biarlah apa juga yang ingin dikatakannya tentang saya.
"Sejak awal lagi dia memang berniat untuk mengaibkan saya, jadi biarkanlah," jelasnya.

Sementara itu, Rozana berkata, dengan keputusan mahkamah tersebut dia akan berusaha untuk berjumpa anak-anaknya selepas ini.

Dia juga akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut  berhubung isu status sijil perkahwinan dan anak-anaknya.

"Sebelum ini saya tidak berjumpa anak-anak kerana lawatan perlu dilakukan di rumahnya selain talian telefon anak telah dimansuhkan.

"Dengan keputusan ini saya harap tiada lagi alasan untuk saya bertemu mereka dengan cara yang saya tentukan," ujarnya.

Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

Awie sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.

Hasil perkahwinan pertamanya, Awie mendapat dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

sumber...Mstar

oleh:MOHD AL QAYUM AZIZI