Followers

Friday, January 2, 2015

Gambar Presiden K.O.M Cedera Kena Tembak

Isteri Noorul Ariffin, Nur Diyana Abdullah melihat kaki suaminya yang terkena tembakan di hadapan rumah mereka di Sungai Buloh ketika menerima rawatan di PPUM, Petaling Jaya semalam.

INSIDEN tembakan yang mencederakan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dipercayai mempunyai kaitan dengan surat layang yang diterimanya tiga minggu lalu.

Difahamkan surat layang itu dikirimkan ke alamat pejabatnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil atas nama Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim serta Noorul Ariffin mengandungi unsur ugutan termasuk mengarahkan beliau agar tidak mengungkit kisah lama yang berlaku di Johor.

Menurut Noorul Ariffin, beliau tidak menolak kejadian yang menimpanya itu mempunyai hubung kait dengan surat layang diterimanya.

“Saya terima surat layang itu di pejabat malah isi surat layang itu mengarahkan saya agar tidak mengungkit kisah lama yang berlaku di Johor memandangkan saya sudah membuat laporan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun atas kesibukan kerja serta melawat mangsa banjir saya tidak sempat membuat laporan polis berhubung surat layang itu.

Saya syak ada seorang individu bertanggungjawab atas kejadian ini. namun semuanya saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Saya juga ingin tegaskan perjuangan saya sebagai naib presiden KOM akan diteruskan walaupun pelbagai halangan menimpa,” katanya kepada pemberita selepas menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya semalam.

Menceritakan insiden itu, Noorul Ariffin memberitahu, semua ahli keluarganya berada di dalam rumah ketika kejadian dan mereka keluar sejurus beliau menjerit meminta bantuan apabila melihat kakinya cedera akibat terkena tembakan itu.

Saya sangkakan tembakan pertama adalah bunyi mercun, namun selepas suspek melepaskan tembakan kedua baru saya sedar ada orang cuba menembak saya. Selepas tembakan terakhir itu baru saya sedar satu tembakan sudah mengenai kaki kanan saya.

Keadaan gelap membuatkan saya tidak dapat mengecam wajah suspek namun mereka berada kira-kira 10 meter dari rumah saya ketika melepaskan tembakan,” jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam kelmarin itu, Noorul Ariffin cedera di kaki selepas terkena tembakan yang dilepaskan dua suspek bermotosikal di hadapan rumahnya di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Noorul Ariffin berjaya menyandang jawatan Naib Presiden KOM dengan 33 undi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan olahraga tersebut, 1 November lalu.

Bekas atlet olahraga negara pada zaman 80-an itu juga merupakan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ), namun difahamkan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangan Noorul Ariffin memegang ‘kerusi’ tertinggi ketika memenangi pada 2012.

Satu sumber memberitahu, mangsa yang berusia 49 tahun itu dikatakan baru sahaja pulang dari surau berhampiran rumahnya dan tiba-tiba didatangi dua suspek yang bertindak melepaskan dua tembakan sebaik beliau meletakkan keretanya di dalam kawasan pagar rumahnya.

“Selepas tembakan pertama, suspek melepaskan lagi dua das tembakan ketika mangsa keluar bagi mengambil semula dompetnya di dalam kereta berkenaan yang menyebabkan satu peluru menembusi bahagian kaki kanan mangsa.

“Selain itu, hasil siasatan mendapati empat kelongsong peluru jenis SME berukuran 9 milimeter (MM) ditemui di luar pagar rumah mangsa serta dua kesan tembakan di keretanya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh ahli keluarganya bagaimanapun dipindahkan ke PPUM bagi menjalani pembedahan segera.

“Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat mendapati mangsa pernah menerima satu surat layang berbaur ugutan kira-kira tiga minggu lepas, bagaimanapun Junaidi enggan mengulas memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut seksyen 307 Kanun keseksaan.

sumber...kosmo