Followers

Thursday, September 22, 2011

Sukar untuk enjin F5 hilang: kata saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa terdapat pemeriksaan dan kawalan yang ketat dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum enjin pesawat F5 itu dibawa keluar dari Pangkalan Udara Butterworth.

Pegawai Staf Dua Markas No 1, Divisyen Udara Kuala Lumpur, Mejar Abdul Rahim Yob, berkata enjin pesawat itu sukar untuk hilang begitu sahaja kerana proses pengeluarannya agak susah.
Abdul Rahim, 51, bekas Ketua Bahagian Kejuruteraan Skuadron 12 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dari 2001 hingga 2009, berkata enjin yang rosak itu dibawa keluar dari Matra 3 di Pangkalan Udara Butterworth ke Matra 1 di Pangkalan Udara Kuala Lumpur untuk dibaiki.
Katanya, segala persediaan untuk memasukkan enjin ke dalam kontena adalah di bawah tanggungjawab Airod Sdn Bhd (Airod) yang menyelenggara dan membaik pulih pesawat.

Ketika disoal peguam Gobind Singh Deo adakah sebarang langkah keselamatan diambil ketika enjin itu dihantar ke Matra 1, Abdul Rahim berkata:

"Pihak TUDM mempunyai buku log yang mencatat masa enjin itu diambil dan dibawa keluar dari Matra 3, namun semasa enjin dihantar ke Matra 1 menaiki treler, tiada pegawai TUDM lain yang mengiringi, selain dua pemandu TUDM yang beruniform.

Abdul Rahim berkata, enjin itu diangkat menggunakan 'forklift' untuk dimasukkan ke dalam kontena sebelum dihantar ke Matra 1.
Ketika disoal Gobind, berapakah berat enjin pesawat itu, Abdul Rahim berkata:

"Saya tidak pasti berapa berat enjin berkenaan tetapi tenaga yang ada pada enam orang pun tidak boleh mengangkatnya.

Abdul Rahim yang juga saksi pertama pendakwaan memberitahu bahawa beliau mengetahui siasatan dalaman sudah dijalankan berhubung kehilangan dua enjin pesawat F5 dan beliau turut dipanggil untuk membantu siasatan, namun tidak dimaklumkan hasil siasatan itu.

Sementara itu, Juruteknik di Airod Sdn Bhd, Omar Itam, memberitahu mahkamah bahawa beliau yang bertanggungjawab memasukkan kedua-dua enjin pesawat F5 yang didakwa hilang ke dalam kontena sebelum enjin yang rosak itu dihantar ke Matra 1 untuk dibaiki.

Omar, 52, yang sebelum ini berkhidmat sebagai juruteknik selama 22 tahun di TUDM sebelum bersara pada tahun 2000 berkata pada 21 Jun 2007, beliau ada mengendalikan enjin yang mempunyai nombor siri E227718 dan turut mengendalikan enjin bernombor siri E227856 pada 25 September 2007.

"Arahan untuk membuat pembungkusan ke atas kedua-dua enjin yang rosak itu diberikan oleh pihak pengurusan dan saya turut dibantu oleh juruteknik Osman Abdullah dan kerja kami dipantau oleh juruteknik kanan Hilal Mohd Yusof untuk memastikan enjin yang dimasukkan ke dalam kontena itu mengikut prosedur yang betul," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh.

Omar turut memberitahu mahkamah bahawa selepas selesai memasukkan enjin pertama bernombor siri E227718 ke dalam kontena pada 21 Jun 2007, beliau akan mengisi 'Maintenance Action Form' (MAF) bagi memaklumkan proses pembungkusan sudah dibuat.

Ketika disoal peguam V Ravichandran adakah enjin kedua yang mempunyai nombor siri E227856 juga mempunyai MAF, Omar berkata:

"Enjin itu tidak mempunyai borang yang menunjukkan ia dibawa dari Matra 3 dan dimasukkan ke dalam kontena.

Bagaimanapun, Omar berkata beliau pasti enjin kedua itu sudah dimasukkan ke dalam kontena sebelum dihantar ke Matra 1 kerana beliau yang mengendalikan enjin berkenaan.

Omar adalah saksi pendakwaan kedua memberi keterangan dalam kes anggota TUDM, Sarjan N Tharmendran dan ahli perniagaan, K Rajandran Prasad, yang menghadapi tuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM.

Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran Prasad, pengarah sebuah syarikat pembekalan, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh sama terhadap tuduhan dengan sengaja melupuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Tertuduh yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada 20 Ogos lalu, Tharmendran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM62,000, manakala Rajandran Prasad mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan serupa melibatkan RM437,319.50. Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung esok.

sumber... BERNAMA