Followers

Saturday, September 17, 2011

NGO Pro ISA Terperanjat Beruk

Gabungan NGO pro-ISA terkejut, buat pendirian Isnin ini

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Gabungan NGO Bersama Malaysia, yang dua tahun lalu bertembung dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk menyokong Putrajaya agar mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akan membuat pendirian rasmi Isnin ini — sama ada menyokong inisiatif pentadbiran Najib ataupun sebaliknya.

“Ya betul, kami akan bermesyuarat Isnin ini bagi melihat dan membuat pendirin... tunggu lepas mesyuarat, pandangan ahli jawatankuasa akan diambil kira,” kata Setiausaha Gabungan NGO Bersama Malaysia Mohd. Jurit Ramli ketika ditanya sama ada langkah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan pendirian mereka dua tahun lalu.

Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider hari ini, Mohd Jurit mengakui pihaknya agak terkejut dengan langkah diumumkan oleh Najib kelmarin.

“Pada pandangan kami agak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri kerana satu tindakan yang berani.

“Kami megambil pendekatan menunggu dan melihat penggubalan undang-undang baru yang akan menggantikan ISA. Kami hanya mengharapkan satu undang-undang yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang berbilang kaum terjamin,” kata beliau.

Pada 1 Ogos 2009, penyokong GMI dan Gabungan NGO Bersama Malaysia berhimpun di ibu negara untuk mengetengahkan pendirian masing-masing.

Perhimpunan itu diadakan empat bulan selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri keenam dan turut menjanjikan ISA akan dikaji semula.

Bagaimanapun, kehadiran GMI yang mengatasi bilangam peserta perhimpunan Gabungan NGO Bersama Malaysia ketika itu, menggesa Najib memansuhkan terus ISA.

Gabungan NGO Bersama Malaysia pula mahu ISA dikekalkan dan mereka juga memutuskan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara meminta ISA terus digunakan.

Lebih 200 penyokong GMI termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai himpunan anti-ISA pada hari itu, yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai tidak sah, ditahan.

Malah ketika itu, Mohd Jurit memberitahu kumpulan mereka juga menyifatkan telah mencapai sasaran mereka dengan mesej “tidak semua sokong ISA dimansuhkan.”

Banyak pihak yang menyokong agar ISA dikekalkan dua tahun lalu itu hari ini melahirkan pandangan menyokong pengumuman Najib kelmarin, memutuskan untuk memansuhkan ISA.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

sumber...TMI