Followers

Saturday, September 24, 2011

Mat Sembab 'Syok Sendirik'


Muhyiddin syok sendiri, kata SU Politik MB Selangor


KUALA LUMPUR, 24 Sept — Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat Selangor tertekan di bawah Pakatan Rakyat jauh terpesong dan membuktikan Umno-BN semakin terdesak untuk menagih simpati, kata pegawai kanan Menteri Besar hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata rakyat Selangor seakan-akan tidak sabar untuk menanti pilihan raya umum bagi menukar kerajaan negeri sekarang daripada pakatan PKR-DAP-PAS kepada BN.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata rakyat Selangor mula sedar perbezaan pemerintahan antara pakatan tersebut dan BN dan telah bertanya kepada beliau bila pilihan raya akan diadakan.

Justeru, Setiausaha Politik Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata, mungkin situasi itu yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu, yang orang Umno suka syok sendiri.

“Meskipun begitu kita tidak menolak sepenuhnya dakwaan ini kerana sememangnya ada golongan yang berasa tertekan ini semenjak kita (Pakatan Rakyat) menerajui pentadbiran negeri,” kata Faekah dengan merujuk kepada para kroni dan suku-sakat Umno-BN yang selama ini telah mengaut kekayaan menerusi pemberian projek secara terus, menjadi orang tengah dan para pelobi.

“Mereka yang tertekan ini juga adalah ahli perniagaan yang merasuah pegawai kerajaan dan orang politik untuk mendapatkan pertolongan dan pengecualian dari beberapa polisi dan syarat-syarat termasuklah melibatkan perumahan kos rendah bagi mengejar keuntungan berganda,” kata beliau.

Jelas Faekah, lebih malang lagi, projek disiapkan dengan ala kadar menjadikan golongan berpendapatan rendah semakin tertekan di bawah kerajaan Umno-BN.

“Ketika pentadbiran Umno-BN, ahli perniagaan ini ‘terlalu berkuasa’ dan undang-undang tidak mampu menakutkan mereka hanya kerana mereka ini mendapat ‘keizinan’ dan ‘dilindungi’ orang politik yang merestui perbuatan khianat ini.

“Golongan yang tertekan juga adalah individu atau kumpulan tertentu yang menjadi orang tengah untuk mendapatkan projek atau tender dengan cara membodek orang politik bagi mendapat bayaran komisyen tinggi,” katanya.

Malah kata Faekah, golongan berkenaan juga tidak mempunyai modal atau kepakaran tetapi sekadar cukup “menjual air liur” kepada ahli politik Umno-BN.

“Golongan ini tanpa segan silu berkunjung dan bersidai di pejabat orang politik. Senario ini telah berlaku semenjak Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor dan budaya kotor ini masih berterusan sehingga sekarang,” katanya lagi.

Tambah beliau, banyak projek besar bernilai jutaan dan bilion diberikan kepada kroni-kroni dan kemudian menjual tender ini kepada syarikat lain semata-mata untuk mendapatkan komisyen.

Justeru katanya, tinjauan pendapat mendapati rakyat Selangor gembira dengan corak pentadbiran dan pengurusan Pakatan Rakyat yang tidak membenarkan golongan-golongan tertentu bersidai di pejabat Menteri Besar atau pegawai kanan kerajaan. “Fenomena ini begitu meluas dilihat ketika pentadbiran Umno sebelum ini,” katanya lagi.

Apa-apa pun, katanya, mereka yang tertekan di bawah Pakatan Rakyat hanyalah golongan kecil, yang tidak menjejaskan sokongan padu rakyat Selangor pada pilihan raya umum.

“Sudah tentu kroni-kroni Umno-BN ini tertekan kerana tidak lagi boleh membodek orang politik dan pegawai kerajaan kerana kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Manakala bagi rakyat biasa bila ditanya, sudah tentu Muhyiddin dan pemimpin Umno-BN lain akan terlopong melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pelbagai bantuan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor,” katanya.

Beliau juga berkata, dalam tempoh empat tahun, kerajaan negeri telah berbelanja lebih RM500 juta untuk rakyat dan sebahagian besarnya disalurkan untuk skim pemberian air percuma.

“Mana mungkin rakyat Selangor tertekan dengan pemberian air percuma ini dan program-program kebajikan lain yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat.

“Amat memalukan apabila Muhyiddin sebaga orang nombor dua dalam pentadbiran negara dan nombor dua dalam parti membuat kenyataan sumbang sebegini dan memalukan dirinya sendiri,” kata beliau.

“Namun begitu, kata-kata Muhyiddin ini kita percaya bagi mewakili kroni-kroni dan suku sakat Umno-BN yang merayu kerana tidak lagi boleh cari makan dengan cara haram, disebabkan pentadbiran bersih diamalkan kakitangan dan pegawai kerajaan serta pemimpin politik di Selangor,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Muhyiddin juga berkata, “bila ditanya mengapa mereka hendak pilihan raya cepat diadakan, ada yang berkata saya nak undi cepat rasa terseksa di bawah Pakatan Rakyat.”

Beliau berucap menutup perhimpunan tiga hari Ahli Dewan Undangan Negeri BN dari seluruh Malaysia di Selangor, yang berakhir semalam.

Muhyiddin berkata pendekatan yang diambil ADUN BN iaitu tinggal bersama-sama dengan keluarga-keluarga angkat di 73 pusat daerah mengundi di seluruh Selangor akan membantu memberi gambaran sebenar landskap politik Selangor dalam membantu kepimpinan BN negeri merangka program berkesan bagi menghadapi pilihan raya.

Katanya, pendekatan tinggal dan makan bersama keluarga angkat masing-masing, akan membolehkan ADUN merasakan denyut nadi dan jantung masyarakat di Selangor.

“Tentulah ini akan memberikan kita pandangan yang lebih jelas mengenai aspirasi rakyat (dan) kehendak rakyat,” katanya.

sumber...TMI