Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, October 29, 2014
Saifool Beli K-Y Jelly Pulak Dahh ??
Mahkamah silap tangani bahan bukti K-Y Jelly, kata peguam Anwar
Perbicaraan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan kes liwatnya mula didengari di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pagi ini.
Pasukan pembelaan Anwar, diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memulakan penghujahan dengan menghuraikan kes pendakwaan terhadap Ketua Pembangkang itu.
Seramai 14 peguam mewakili beliau, termasuk Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo, Zaleha Al-Hayat, Latheefa Koya, N. Surendran, R. Sivarasa dan Eric Paulsen.
Pasukan pendakwaan pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Anwar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan beliau bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Antara hujah dibangkitkan Sri Ram ialah laporan perubatan menunjukkan tiada bukti penembusan seksual (sexual penetration) dan air mani ditemui pada seluar dalam pengadu yang tidak dipakai pada tarikh kejadian.
Sri Ram menyatakan Saiful mengadakan pertemuan dengan timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, dan beberapa pegawai polis sebelum mendakwa diliwat.
Beliau memberitahu mahkamah, Saiful mendakwa beliau "takut" membuat laporan polis, tetapi pada masa sama beliau sudah bertemu ketua polis negara.
Ini "tidak konsisten dengan kemungkinan" yang dia takut, kata Sri Ram.
Pihak pembela kemudiannya menghuraikan masalah yang terdapat pada senarai bahan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan, menunjukkan ketiadaan pelincir "K-Y Jelly" yang didakwa digunakan semasa penetrasi.
Laporan polis Saiful juga tidak menyebut tentang pelincir itu, dan Saiful hanya menyebutnya buat kali pertama semasa memberikan testimoni.
Sri Ram berkata sesuatu yang "sukar dipercayai" apabila Saiful dengan sengaja membeli K-Y Jelly tetapi kemudiannya mendakwa beliau diliwat dengan paksaan (forcefully sodomised).
Katanya, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, melakukan kesalahan semasa menguruskan pelincir sebagai bahan bukti dan ini menimbulkan keraguan terhadap integriti bukti itu.
Sri Ram cuba membuktikan Saiful bukan saksi yang boleh dipercayai.
"Sekiranya gel digunakan, sudah tentu ia akan disebut dalam eksibit," hujahnya.
Jika pelincir digunakan, Saiful juga tidak akan mengadu sakit, beliau menambah.
Pihak pembela terus membawa hujah bagi membuktikan wujud kesalahan dalam cara polis menguruskan bahan bukti, merujuk kepada Pegawai Penyiasat Jude Pereira mengambil gel itu dari Saiful pada 29 Jun, tiga hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku pada 26 Jun.
Saiful memberi keterangan yang dia pertama kali menyerahkan pelincir itu sebagai bahan bukti kepada Jude pada 28 Jun, tetapi ia dikembalikan kepadanya.
Tabiat tandas Saiful juga ditimbulkan, apabila Sri Ram mempersoalkan sama ada Saiful tidak ke tandas selama 2 hari bagi mengekalkan air mani sebagai bahan bukti.
Sri Ram berkata, Saiful juga dilihat berada di rumah Anwar sehari selepas kejadian didakwa berlaku, dan menyerahkan foto menunjukkan Saiful berada di sana.
Bagaimanapun, mahkamah berkata gambar itu tidak dikemukakan sebagai bahan bukti dan meminta Sri Ram membuat permohonan sebelum mahkamah menerimanya sebagai bukti.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim hari ini, yang turut dianggotai Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Anwar, 67, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan tetapi berjaya menangguhkan hukuman sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini dan esok.
Pada Januari 2012, selepas perbicaraan panjang, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar selepas memanggilnya mengemukakan hujah pembelaan.
Pihak pendakwa juga sudah memohon rayuan balas untuk memanjangkan hukuman penjara yang boleh menjangkau 20 tahun.
Ketua pembangkang itu dituduh meliwat Saiful di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun, 2008. Ia merupakan pertuduhan liwat kedua terhadapnya.
Kali pertama adalah pada 1998, selepas beliau dipecat daripada kerajaan, dan dituduh meliwat bekas pemandunya. Mahkamah Persekutuan membebaskan beliau pada 2004.
Kali ini, karier politik Anwar mungkin berakhir jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan Mac lalu.
Anwar memberitahu wartawan di mahkamah bahawa peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mengetuai pihak pembelaan sebelum ini masih tidak sihat dan menggunakan kerusi roda.
Sebelum itu, ketibaan Anwar disambut penyokong yang bersorak di luar Istana Kehakiman di Putrajaya. Penyokong berkumpul seawal pukul 7 pagi .
Keselamatan dikawal ketat dengan anggota polis memeriksa dan menapis wakil media membuat liputan perbicaraan.
Ini kali pertama pihak polis, dan bukannya pegawai mahkamah, menentukan pertubuhan media yang dibenarkan membuat liputan, sehingga menimbulkan ketegangan. Beberapa wartawan cuba berunding dengan polis, tetapi tidak berjaya.
Hanya 18 organisasi media setiap satu diwakili seorang wartawan mendapat tempat di dalam mahkamah yang penuh sesak dengan pemerhati dan penyokong.
Anwar, yang dilihat berbual dengan Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, bergurau mengatakan jika tidak cukup kerusi di bilik itu, orang ramai boleh menyertainya di kandang tertuduh. – 28 Oktober, 2014.
sumber...TMI
* Laporan ini dibantu Tarani Palani dari The Edge Financial Daily.
Label:
fitnah liwat 2,
KY gel,
Mahkamah,
saiful baukari