Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Monday, October 20, 2014
Laporan: Kedudukan Terkini Pakatan Rakyat Selangor
Sokongan unutuk Pakatan Rakyat naik 43%, kata UMcedel
Sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) di Selangor melonjak kepada 43%, menurut satu kajian baru-baru ini, selepas jatuh teruk 5 bulan lalu, sebahagian besarnya kerana perbalahan dalaman gabungan pembangkang itu.
Sokongan untuk Barisan Nasional (BN) pula turun 5% daripada 25% Mei lalu, menurut kaji selidik yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).
Kaji selidik yang dijalankan 3 hari selepas Menteri Besar Selangor baru Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah itu, juga mendapati 28% responden tidak yakin tentang kedua-dua pakatan.
Keputusan bagi PR itu merupakan satu peningkatan berbanding kajian UMcedel pada Mei tahun ini yang menyaksikan sokongan terhadapnya menjunam ke 35%, setahun selepas memenangi Selangor pada Pilihan Raya Umum 2013.
Tetapi, malang bagi BN, sokongan terhadapnya tidak bertambah sejak kaji selidik pada Mei itu, yang menunjukkan hanya antara 20-25% responden menyokong parti itu.
"Kajian ini menunjukkan walaupun dalam keadaan PR berkrisis, rakyat masih tetap bersama mereka. Respons pengundi menunjukkan mereka masih belum yakin BN/Umno dapat memberikan alternatif yang lebih baik dan kemarahan rakyat kepada BN di negeri itu masih belum terubat," kata sumber UMcedel.
Kajian terbaru UMcedel itu, yang dijalankan dari 26-28 September, juga mendedahkan 48% daripada responden mahu PAS kekal dalam PR, 19% mahu parti Islam itu meninggalkan PR, manakala 22% lagi tidak pasti .
Kajian tersebut melibatkan 1,165 responden di semua 22 kawasan Parlimen di Selangor, yang meliputi semua kaum. Ia dijalankan 36 enumerator dan empat penyelia dari UMcedel.
Kemelut dalaman PR bermula selepas PKR memulakan Langkah Kajangnya, yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Liew Chin Cheh, meletak jawatan bagi membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi itu dan menjadi menteri besar yang baharu.
Namun, PAS tidak bersetuju dengan langkah itu kerana ia mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar, menyebabkan episod itu berlarutan selama 9 bulan.
Suasana sentiasa menjadi tegang antara ketiga-tiga parti dalam PR itu sehinggalah Azmin mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar pada 23 September lalu.
Walaupun menteri besar baharu dilantik, krisis dalam PAS terus berjalan dengan retak menanti belah berlaku dalam parti itu.
Kemuncaknya adalah apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor mencabar mereka yang ingin jadi pemimpin utama keluar dari parti itu.
"Sesiapa yang rasa mahu jadi imam, baik cari tanah lain, bina masjid sendiri dan jadi imam," katanya yang turut mendakwa ada broker dan barua dalam parti Islam itu apabila dua Adunnya di Selangor mengambil tindakan sendiri menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.
Kedua-duanya Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) digantung keahlian selama satu tahun selepas kes mereka disiasat dan dibawa kepada Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.
Sejak krisis, ada dua kumpulan pemikiran dalam PAS iaitu mahu kekal dalam Pakatan dan satu lagi yang diterajui oleh kumpulan ulama semacam mahu meninggalkan Pakatan.
Namun kajian terbaru oleh UMcedel ini jelas menunjukkan rakyat Selangor masih kekal menyokong Pakatan dan mahukan PAS juga kekal dalam gabungan politik itu.
sumber...TMI
Label:
Pakatan Rakyat,
Pas,
Selangor,
UMcedel,
Umno/bn