Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, October 1, 2014
Konflik Presiden PAS: Muktamar PAS Dalam Dendangan Puisi
Muktamar PAS dalam puisi Muhaimin Sulam
Muktamar Tahunan PAS ke-60 berlangsung di Batu Pahat, Johor pada 18-20 September. Ini muktamar paling panas dengan isu-isu kontroversi dalam beberapa dekad. Ada perwakilan keluar dewan sewaktu timbalan presiden sedang berucap merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda (sehari sebelum muktamar).
Ada yang terpaksa dirampas mikrofon bagi menghentikan ucapan yang dijadikan doa mengutuk pemimpin tertentu. Ada ucapan penggulungan pengerusi Lajnah yang diboo dan disorak; dan macam-macam lagi.
Saya tidak hadir ke muktamar kali ini. Hanya mengikutinya daripada laporan berita dalam Internet dan akhbar, serta mesej yang dihantar kawan-kawan. Beberapa ulasan mengenainya oleh beberapa kolumnis akhbar juga sangat menarik.
Namun yang paling menarik perhatian saya ialah ucapan berbentuk puisi yang disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam, berjudul “Usul Padamu Kawan”, disiarkan dalam Harakah, 26 September.
Memang Muhaimin seorang penulis, dan dia juga seorang aktivis seni budaya, di samping aktif dalam politik. Bukunya terbaru ada dua “Aku Melayu di Kota Inggeris”, merakamkan pengamatannya ke atas budaya masyarakat Inggeris sewaktu dia mengikuti pengajian peringkat PhD bidang kepimpinan politik di University of Wales Trinity St David, England; dan satu lagi, “Mat Indera: Petualang atau Pejuang?” – sebuah penilaian semula ke atas sejarah Mat Indera dan perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Muhaimin juga menulis puisi dan skrip drama. Puisi “Usul Padamu Kawan” dimulakan begini:
“Kawan, terbanglah kidungmu pada laut biru/ Khabarkan dadaku telah terluka/ dan berjuta jiwa hampa/ sewaktu kalian memilih berbicara/ dengan kata-kata yang tajam menyucuk/ melebar luaskan jurang yang ada/ berlindung dengan ayat-ayat kudus/ kata-kata azimat dan keramat.”
Perenggan pembuka itu pun sudah menyentuh intipati persoalannya. Dadanya terluka, dan berjuta jiwa rakyat hampa, melihat gelagat para pimpinan PAS pelbagai peringkat berkrisis disebabkan beberapa isu dalaman parti, tentunya termasuk isu pemilihan siapakah sepatutnya menjadi menteri bBesar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tidak disebut dalam puisi yang dadanya terluka dan jiwa rakyat menjadi hampa disebabkan antaranya krisis menteri besar Selangor itu. Tetapi kita bolehlah memahaminya demikian. Muhaimin mengatakan “kalian memilih berbicara dengan kata-kata yang tajam menyucuk, menyebar luaskan jurang yang ada.”
Maksudnya beliau tidak besetuju dengan polemik dan percakaran kata-mengata dan tuduh menuduh yang berlaku di kalangan ahli-ahli PAS, sebelum muktamar dan juga di dalam muktamar, yang boleh mengakibatkan perpecahan. Ada yang berlindung dengan kata-kata suci (kudus) dari al-Quran dan hadis, bagi menguatkan hujah dan pendirian masing-masing.
Kata Muhaimin lagi dalam puisi itu:
“Sepanjang ini yang kita bahaskan adalah tentang diri kita/ Kita lupa bumi ini ada mereka/ kita ada kebajikan, ada kemasyarakatan, ada hubungan antara bangsa, ada teknologi maklumat.
“Yang kita bahaskan hanya soal kuasa, pengaruh dan takhta/ Kita lupa bumi ini ada mereka/ ada alam, ada tanah, ada budaya, ada buruh, ada pendidikan, ada hak asasi manusia, ada orang asal, ada peneroka bandar, ada pak tani, ada pembangunan, ada pencemaran.”
Seperti yang kita maklum, bahawa sepanjang beberapa bulan terakhir ini para pimpinan PAS (dan juga KeAdilan) begitu asyik dengan persoalan dan kepentingan dalaman parti mereka (dan Pakatan Rakyat) – soal kuasa, pengaruh dan perebutan jawatan, hingga mengabaikan persoalan dan kepentingan rakyat.
Maka Muhaimin mengingatkan para pemimpin dan perwakilan yang menghadiri muktamar itu, mereka juga seharusnya sedar dan perlu membahaskan soal-soal mengenai kebajikan rakyat, masalah kemasyarakatan, hubungan antara kaum, dan juga permasalahan di sekitar teknologi maklumat.
Bahkan Muhaimin juga menyatakan kekecewaannya kerana terlalu banyak persoalan yang diabaikan oleh para pemimpin yang berkrisis itu, (juga para perwakilan muktamar ketika berbahas), iaitu soal-soal mengenai alam sekitar, persoalan tanah, budaya, buruh, pendidikan, hak asasi manusia, persoalan orang asal, peneroka bandar, masalah petani, dan juga soal-soal pembangunan serta pencemaran.
Muktamar Tahunan PAS itu menjadi medan pertengkaran dan tuduh-menuduh di kalangan ahli-ahli parti dan juga di kalangan pemimpin, bagi menegakkan kebenaran pihak masing-masing. Kata Muhaimin dalam pengucapan puisinya:
“Yang kita bahaskan hanya soal/ kau salah, aku betul/ aku benar, kau silap/ kau keliru, aku jelas.”
Itulah gambaran muktamar tahunan PAS kali ini, yang diadakan berbetulan dengan krisis kepemimpinannya sedang berada di kemuncak. Bukan semata-mata disebabkan kemelut menteri besar Selangor, tetapi sememangnya PAS mengalami krisis tersebut di bawah kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat kurang berkesan, khasnya dalam memantapkan disiplin atau akhlak para ulamanya dalam berpolitik. Kemelut menteri besar Selangor itu menyimbahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang menyala itu.
Maka Muhaimin selaku salah seorang pimpinan tertinggi (AJK Pusat) yang memiliki jiwa kesenimanan, menjadi terluka dengan gelagat para perwakilan dan juga pimpinan dalam muktamar, lalu dia berseru: “Wahai jiwa-jiwa yang terluka/ bersatulah kalian.”
Maksudnya dia pun mengakui bukan dia sahaja yang terluka jiwanya, tetapi ramai lagi kawan-kawannya di kalangan pimpinan dan juga perwakilan, yang terluka jiwa, akibat krisis dan kemelut tersebut.
“Wahai jiwa-jiwa yang terluka/ bersatulah kalian/ urat dan otak/ jiwa, raga/ langgar, rempuh kezaliman sang penguasa/ yang menghimpit rakyat pada daerah kemiskinan/ tanpa sempadan warna kulit dan rupa.
“Ayuh kita bangkit/ teguhkan kepimpinan tanpa memilih/ Mantapkan kaki kalian pada bahtera ini/ tumbangkan tembok keangkuhan diri/ lawan rasa tidak kepedulian pada rakyat.”
Seperti diketahui umum, krisis utama di dalam PAS itu antara lainnya adalah bertolak daripada latar belakang individu pemimpin yang berbeza, yang digolongkan sebagai golongan ulama, golongan profesional, dan selainnya.
Saya kira inilah yang dimaksudkan Muhaimin apabila dia berkata “teguhkan kepimpinan tanpa memilih” – yakni tanpa memilih sama ada individu pemimpin itu berlatar belakang ulama atau profesional ataupun selainnya.
“Mantapkan kaki kalian pada bahtera ini” – yakni tetapkan pendirian sebagai ahli parti PAS, yang faham dan akur dengan dasar-dasarnya terutama dasar keagamaan, dan “tumbangkan tembok keangkuhan diri.” Muhaimin melihat ‘keangkuhan diri’ sebagai faktor penting yang menyumbang kepada krisis. Maka faktor itu perlu dihilangkan.
Dan akhirnya beliau bermadah: “Jangan kalian bilang aku penyair/ hanya sekerat puisi ini/ Tapi biarkanku menjadi penyair/ jika takhta, kuasa, pengaruh akan membunuh/ persaudaraan, cinta dan kasih sayang kita.”
Muhaimin menutup puisinya dengan nada tegas seniman yang menjunjung nilai-nilai kemanusiaan, persaudaraan dan kasih sayang sesama insan. Katanya, lebih relalah dia menjadi penyair daripada menjadi politisyen, sekiranya para peserta muktamar itu masih mahu bertelingkah kerana “takhta, kuasa dan pengaruh”.
Lalu ditutupnya puisi itu dengan seuntai lirik lagu Inggeris: “Kawan/ What ever you are/ I’m still loving you”.
oleh: Dinsman
Label:
muktamar,
Pas,
presiden,
tuan guru haji abdul hadi awang