Followers

Thursday, October 16, 2014

ISIS Terkini: Pegawai Kanan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Di Cekup Polis



Pegawai Kanan Kementerian Terima Dana Untuk Jalankan Aktiviti IS

Penolong Pengarah Kanan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, ditahan selepas dipercayai merekrut rakyat Malaysia bagi menyertai kumpulan militan negara Islam (IS) dan menerima dana untuk menjalankan aktiviti-aktivitinya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata dana itu juga digunakan untuk lelaki berusia 37 tahun itu pergi ke Syria.

Khalid berkata lebih ramai suspek, yang dipercayai merekrut orang ramai untuk menyertai IS, akan ditangkap tidak lama lagi.

"Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami (polis) sentiasa memberi perhatian dalam kes ini dan akan menghentikan kegiatan mereka," katanya.

Polis menahan 14 suspek militan, termasuk tiga orang yang dipercayai menjadi dalang di sebalik pengambilan rakyat Malaysia untuk menyertai IS pada Isnin.

Paling muda yang ditahan adalah seorang budak lelaki berumur 14 tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan lewat petang Rabu berkata kesemua yang ditahan adalah rakyat negara ini, berumur antara14 dan 48 tahun, terdiri daripada peniaga, petugas majlis, tukang masak, pereka grafik, pelajar, suri rumah dan jurutera. 

"Hasil siasatan, penggerak utama pertama, suspek berusia 37 tahun merupakan pengendali facebook yang mempromosi, merekrut, dan memuat turun propaganda kumpulan IS bagi mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berjihad di Syria," katanya. 

Khalid berkata suspek itu juga aktif merekrut pelajar wanita universiti tempatan untuk dihantar ke Syria. 

 "Penggerak utama kedua berusia 34 tahun, pernah menyertai kumpulan IS di Syria antara Disember 2013 hingga April 2014. 

"Beliau yang kembali ke Malaysia 8 April lalu berperanan dalam memberi panduan, galakan dan berkongsi pengalaman dengan rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS di Syria," katanya. 

Manakala pengerak utama ketiga berusia 37 tahun adalah seorang jurutera yang memegang jawatan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pembentungan, KementerianTenaga, Teknologi Hijau dan Air. 

Katanya, suspek ketiga itu disyaki membiayai perbelanjaan individu-individu yang direkrut tersebut ke Syria.

Khalid berkata suspek ketiga itu juga dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas lain iaitu Dr Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein, dan Mohd Joraimee, yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina.  

Beliau berkata lima daripada yang ditahan terdiri daripada sebuah keluarga yang disyaki merancang untuk berlepas ke Syria menyertai IS. 

Katanya penggeledahan rumah keluarga itu turut menemui buku-buku jihad dan aktiviti militan. 

"Malah seorang daripada keluarga itu merupakan pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Klang, Selangor," katanya. 

Katanya kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

sumber...Mstar OL