Patung Kemaluan, Antara Barang Khurafat Didedahkan Dalam Kes Awie, Rozana
Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa diberitahu, isteri kepada penyanyi terkenal Awie iaitu Rozana Misbun mengamalkan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.
Peguam Syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah, anak guamnya mempunyai bukti kukuh bahawa Rozana seorang pengamal perkara syirik, khurafat dan tahyul dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ampang dekat sini.
Jelas Mohd Zaidi dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain, anak guamnya menemui barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.
Selain itu, turut ditemui adalah tangkal yang dibungkus dalam kain hitam dan kuning serta tali pusat bayi dan barang-barang lain dibungkus dalam kain dari warna sama.
"Anak guam saya telah menemui sebahagian barang-barang tersebut sebelum responden meninggalkan kediaman mereka dan sebahagian lagi dijumpai setelah responden meninggalkan rumah.
"Barang-barang tersebut telah disorok di bawah tilam, di dalam almari pakaian, ditanam di dalam pasu bunga dan disembunyikan dalam rak barang perhiasan di ruang tamu," katanya.
Mohd Zaidi berkata demikian pada sesi penghujahan balas dalam perbicaraan tuntutan membatalkan perintah ex-parte terhadap hak penjagaan anak yang dikemukan oleh Rozana pada 8 Ogos tahun lalu.
Rozana Misbun.
Awie pada 21 Julai tahun berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi dalam penghujahannya turut mendedahkan, Rozana selaku responden dalam kes tersebut telah mengaku kepada suaminya telah menggunakan botox untuk mengubah wajahnya selain memasang susuk untuk tujuan sama.
Perkara itu menurut Awie selaku pemohon dilakukan tanpa kerelaan dan pengetahuannya sebagai suami yang sah di sisi syarak.
"Responden juga seorang yang tidak amanah apabila telah menggunakan dan membelanjakan wang simpanan pemohon yang telah diamanahkan untuk disimpan di dalam akaun bank dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi masa depan keluarga.
"Wang berkenaan telah digunakan untuk membeli barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Chanel, Dolce & Gabanna dan lain-lain tanpa keizinan pemohon," jelasnya lagi.
Tambah Mohd Zaidi, Rozana juga seorang yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak dan mereka sendiri mengadu kepada pemohon diabaikan oleh ibu sendiri selain tugas menjaga diserahkan kepada pembantu rumah sekiranya pemohon berada diluar kawasan.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Rozana iaitu Jamal Lokman Mohd Sulaiman terdahulu dalam penghujahannya memberitahu mahkamah alasan dikemukan pihak pemohon terhadap kes terbabit adalah bersifat masalah di antara suami isteri yang tidak melibatkan kebajikan anak-anak mereka.
Jelas Jamal, dakwaan terhadap Rozana berhubung isu khurafat tidak dapat disahihkan kebenarannya selain melihat isu keterdesakan yang dibuat pemohon terhadap kes itu tidak kukuh.
Malah Jamal turut mempertikaikan tentang manipulasi pemohon yang menggunakan sijil nikah palsu dan menyembunyikan fakta sebenar untuk mendapatkan hak penjagaan sementara anak-anak mereka.
Mohd Amran bagaimanapun menangguhkan keputusan kes berkenaan pada Rabu.
Rozana Alami Kecederaan - Saksi Polis
Sementara itu dalam kes berasingan Konstabel Mohd Fauzi Mohd Nor memberitahu Mahkamah Majistret Ampang, Rozana mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan ketika gambarnya diambil di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada 14 Jun tahun lalu.
Mohd Fauzi memberitahu Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman dia telah merakamkan tujuh gambar wanita berkenaan daripada pelbagai sudut seperti gambar keseluruhan, separuh besar, bahagian hidung, tangan kiri dan kanan.
"Gambar berkenaan saya tandakan dengan huruf A hingga G sebelum dimasukkan ke dalam kompak disk untuk dicuci serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disimpan dalam peti berkunci," katanya.
Mohd Fauzi merupakan saksi pertama berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes terhadap tertuduh, penyanyi Awie yang menghadapi tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan.
Sementara itu, saksi kedua, seorang juruanalisa di Seksyen Audio Makmal Forensik, Inspektor Latifah Abdul Aziz dalam keterangan berkata, dia menerima empat bahan kes untuk dianalisa iaitu pemacu simpanan, telefon bimbit jenama Samsung berwarna kelabu dan hitam serta telefon bimbit Blackberry.
“Saya diarahkan menganalisa pemacu simpanan yang terdapat imej suspek dan pengadu yang sedang keluar dan masuk di sebuah bank selain imej di kaunter seorang lelaki berambut panjang dan seorang wanita yang sedang menutup mulut.
“Namun akibat resolusi tempat kejadian yang rendah, imej yang dipaparkan adalah kabur dan imej suspek dan pengadu tidak nampak keseluruhan.
“Analisa ke atas telefon bimbit jenama Samsung berwarna kelabu pula melibatkan imej seorang wanita yang mengalami kecederaan dan lebam di muka dan saya tidak menjumpai imej tersebut.
“Bagaimana pun saya menjumpai gambar seorang wanita yang mengalami kecederaan selepas melakukan analisa ke atas telefon bimbit jenama Samsung berwarna hitam serta telefon bimbit Blackberry,” katanya.
Perbicaraan bersambung pada Rabu dan Rozana akan dipanggil sebagai saksi.
Awie turut hadir pada prosiding berkenaan dan diwakili peguam Hazman Harun dan Aimizaizul Amran.
Rozana bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.
Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.
Awie sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.
sumber...
Oleh: Mohd AL Qayum Azizi Mstar