Followers

Friday, January 23, 2015

Raja Saudi Meninggal Dunia, Kompom


Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz meninggal dunia awal pagi ini akibat pneumonia, lapor agensi berita rasmi negara itu.

Raja Abdullah, 90 sebelum ini dirawat sejak beberapa minggu lalu.


Raja Abdullah dilapor dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru. Baginda menaiki takhta pada tahun 2005.

Majlis pengebumiannya dijadual akan diadakan hari ini di Masjid Turki Abdullah di Riyadh, dan beberapa pemimpin dunia dijangka hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

TV Arab Saudi juga melaporkan, adindanya, Salman Abdul Aziz, 79, secara rasmi dilantik sebagai raja yang baru manaka Putera Muqrin Abdulaziz menjadi raja muda yang baru.

Media antarabangsa turut melaporkan rakaman ucapan takziah daripada pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Obama menyanjung sumbangan Raja Abdullah dalam membentuk kestabilan dan keselamatan di Timur Tengah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razakturut mengucap takziah kepada kerabat diraja Arab Saudi dan rakyat negara itu atas kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz.

"Menerima berita sedih kemangkatan Raja Abdullah bin Abdulaziz pada pagi ini.

Saya mengucapkan takziah kepada kerabat diraja Saudi & dan rakyat KSA (Kerajaan Arab Saudi)," katanya dalam catatan di twitter @NajibRazak.

Abdullah yang dilaporkan lahir pada 1923, menjadi raja Arab Saudi secara rasmi sejak 2006.


Harga minyak naik, kemangkatan Raja Abdullah cetus ketidaktentuan
 

Harga minyak naik dalam dagangan Asia pagi ini selepas berita mengenai kemangkatan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz menokok ketidaktentuan kepada pasaran tenaga yang kini sedang melalui fasa peralihan.

Raja Abdullah mangkat awal pagi tadi dan adiknya yang juga Putera Mahkota, Salman Abdulaziz Al Saud dilantik sebagai Raja Arab Saudi yang baharu. Arab Saudi menguasai 16 peratus rizab minyak dunia.

Kontrak penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik dua peratus kepada AS$47.76 setong pada pembukaan sesi pagi sebelum susut semula kepada AS$47.09 menjelang 10 pagi. Kontrak Brent pula naik kepada AS$49.80 setong pada pembukaan sebelum susut kepada AS$49.35 sejam kemudian.

"Kebimbangan mengenai ketidaktentuan dalam pasaran akan membantu harga minyak mentah," kata John Kilduff dari Again Capital LLC, New York.

"Raja Abdullah adalah arkitek kepada strategi semasa untuk mengekalkan paras pengeluaran tinggi sekali gus menyebabkan syarikat kecil keluar daripada pasaran," katanya.

Kilduff berkata, raja baharu yang diketahui sangat kuat mempertahankan kepentingan Arab Saudi, justeru pasaran menjangkakan beliau akan terus mengekalkan paras pengeluaran tinggi sekarang.

Raja Abdullah mangkat ketika industri minyak berhadapan dengan fasa perubahan yang tidak berlaku sejak beberapa dekad lalu.

Harga minyak sudah turun lebih separuh daripada kemuncaknya pada Jun tahun lalu berikutan peningkatan bekalan dan penyusutan permintaan berikutan penyederhanaan ekonomi di Eropah dan Asia.

Peningkatan pengeluaran minyak shal di Amerika Syarikat menjadikan negara itu pengeluar terbesar, lebih sembilan juta tong sehari daripada pengimport terbesar sebelum ini.

Bagi mengekang peningkatan mendadak pengeluaran dan penyusutan harga, kalangan negara pengeksport termasuk Venezuela mahu kesatuan 13 negara pengeksport, OPEC mengurangkan pengeluaran bagi menaikkan harga.

Bagaimanapun, dengan diterajui Arab Saudi, OPEC pada November lalu mengumumkan untuk mengekalkan pengeluaran pada paras 30 juta tong sehari.

Brent yang sudah jatuh AS$77 setong ketika mesyuarat OPEC itu, terus turun selepas itu kerana pasaran sedar negara kesatuan pengeksport tidak akan mengurangkan pengeluaran.

Tindakan OPEC dengan diterajui Arab Saudi untuk tidak mengurangkan keluaran adalah bertujuan mempertahankan bahagian pasaran kesatuan itu daripada pengeluar minyak shal di AS serta pengeksport bukan ahli OPEC seperti Brazil dan Rusia.
 

sumber...Reuters