Followers

Monday, January 5, 2015

Boleh Pakai Kain Pelekat ke Sekolah

 PEKERJA sukarelawan bertungkus-lumus membantu membersihkan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Tiong, Kota Bharu

KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan negeri memberi kelonggaran kepada semua pelajar sekolah yang menjadi mangsa banjir untuk memulakan persekolahan minggu depan tanpa perlu memakai pakaian seragam malah boleh sekadar berkain pelekat.

Pengarahnya, Hussain Awang, berkata, kelonggaran tersebut sebagai memahami situasi mangsa banjir di negeri Kelantan yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda termasuk pakaian serta peralatan sekolah anak-anak.

“Pelajar boleh hadir ke sekolah tanpa memakai baju sekolah.

“Pakailah pakaian apa pun jika itu sahaja yang mereka ada. Silalah datang ke sekolah walaupun hanya dengan berkain pelekat. Jangan tak datang pula,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis pelancaran Sukarelawan 1Mindef di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini semalam.

Hussain menambah, pihaknya juga sedang membuat penilaian terhadap kerosakan yang dialami sekolah-sekolah yang terjejas antaranya buku teks, perabot dan bangunan...kosmo


Satu lagi berita menyedihkan dari Kuala Krai

"Pilu hati saya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak kerana dibawa arus deras banjir," luah seorang suri rumah lima anak.

Berlinangkan air mata, Siti Khadijah Mohd Nor, 48, menceritakan detik kehilangan rumahnya di Kampung Manik Urai Lama.

Dia berkata ketika kejadian hujan lebat pada 23 Dis lalu, paras air hanya setakat di kaki dan selepas itu naik ke paras lutut dan akhirnya menenggelamkan rumahnya, kesemuanya berlaku begitu pantas.

Selang seminggu selepas banjir surut, Siti Khadijah dan suaminya kembali ke rumah untuk mencari harta benda yang boleh diselamatkan.

"Perancangan saya ialah untuk membersihkan tapak rumah kami serta mengumpulkan barangan rumah yang masih boleh diguna pakai, selain membuat persiapan untuk anak-anak bersekolah," kata Siti Khadijah.

Ditanya mengenai kepayahan hidup ketika dilanda banjir, Siti Khadijah berkata bantuan tidak putus-putus datang.

"Dari segi bantuan yang diterima adalah lebih daripada mencukupi, di mana bantuan setiap hari datang. Apa yang penting sekarang ialah menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah, selain daripada bekalan makanan dan air bersih.

"Alhamdulillah semua bantuan itu saya dapat...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Buat masa ini, Siti dan keluarganya mendirikan khemah sementara yang diberi oleh pasukan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sementara menunggu rumah ganti daripada kerajaan disiapkan, saya akan membina penempatan sementara, insya-Allah dengan izin-Nya segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Cuaca mendung di Manik Urai sejak pagi tadi dan hujan gerimis sekejap-sekejap.

Keadaan jalan di sini, berdebu akibat kesan lumpur banjir yang kering.

sumber... Bernama