Azilah, Sirul bersalah bunuh Altantuya
7.45am: Panel lima hakim
Mahkamah Persekutuan hari ini akan menyampaikan keputusan rayuan
terhadap pembebasan dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) - Cif
inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - daripada tuduhan
membunuh Altantuya Shaariibuu.
Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu, akan
memutuskan sama ada akan membenar rayuan pihak pendakwaan terhadap
keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan mereka berdua pada bulan Ogos
2013.
Anggota
lain panel hakim tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri
Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull
Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Azilah dan Sirul dituduh bersama membunuh penterjemah Mongolia itu
antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di sebuah
kawasan hutan di Puncak Alam berhampiran Shah Alam.
Bahan letupan jenis C4 digunakan untuk membunuh Altantuya, di mana bukti
menunjukkan dia ditembak dahulu dan mayatnya diletupkan.
Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang mengakui mempunyai
hubungan sulit dengan Altantuya, juga didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.
Bagaimanapun, Abdul Razak telah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Hakim Mohd Zaki Yasin mendapati
kedua-dua anggota UTK tersebut bersalah membunuh wanita Mongolia itu dan
menjatuhkan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, selepas membuat rayuan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan
membebaskan mereka berdua selepas mendapati berlaku penyalaharahan oleh
Hakim Mahkamah Tinggi, yang telah disenaraikan oleh Hakim Datuk Tengku
Maimun Tuan Mat dalam satu keputusan sebulat suara.
Menurut mahkamah rayuan, antara saksi penting yang tidak dipanggil untuk
memberi keterangan termasuk adikong timbalan perdana menteri ketika
itu, DSP Musa Safri.
Pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu di
Mahkamah Persekutuan dan keputusannya akan diumumkan hari ini.
Malaysiakini membuat liputan secara langsung keputusan itu, yang dijangka bermula jam 9 pagi.
8.15am: Penghakiman akan
disampaikan di Mahkamah Persekutuan 1. Difahamkan selain keputusan
mengenai kes Altantuya Shaariibuu itu, terdapat satu lagi keputusan yang
akan disampaikan oleh panel mahkamah tertinggi itu berhubung satu kes
perkara sivil.
8.20am: Peguam Hazman Ahmad yang mewakili Azilah memasuki dewan bilik mahkamah. Tertuduh belum lagi kelihatan.
8.38am: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) P Manoj Kurup dan peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah baru sahaja tiba.
Sekumpulan wartawan media asing turut berada di mahkamah untuk membuat liputan keputusan hari ini.
8.45am: Peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua Sirul Azhar Umar, berjalan ke dalam dewan mahkamah.
8.50am: Salah seorang
tertuduh, Azilah Hadri, memasuki dewan mahkamah dengan memakai jaket
hitam, baju putih lengan panjang dan tali leher biru.
8.55am: Kira-kira 20 wartawan
dan jurugambar sedang menunggu di luar mahkamah, dengan harapan untuk
mendapatkan gambar kedua-dua tertuduh, yang wajah mereka ditutup sejak
sejak hari pertama perbicaraan kes pembunuhan itu.
Peguam J Kuldeep Kumar, Hasman Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurop kelihatan berbual di luar dewan mahkamah.
8.58am: Salah satu daripada
tiga peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin,
memasuki dewan mahkamah. Galeri awam sudah penuh sesak.
Tertuduh atau anggota keluarganya belum lagi kelihatan.
9.04am: Ketua pasukan pendakwaan, Timbalan Peguam cara 1, Tun Abdul Majid Tun Hamzah sudah berada di mahkamah.
9.15am: peguam Sirul mencari anak guamnya di sekitar dewan mahkamah. Bagaimanapun, tertuduh kedua itu tidak kelihatan.
9.19am: Panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara masuk.
Ini adalah panel yang mendengar rayuan pihak pendakwaan. Sirul tidak kelihatan.
9.20am: Azilah berjalan di depan kandang tertuduh.
Tun Majid memberitahu mahkamah bahawa notis mahkamah kepada Sirul tidak dapat disampaikan kepada tertuduh kedua itu.
9.22am: Hakim Suriyadi kini membaca penghakiman 48 muka surat. Katanya, beliau akan membaca bahagian-bahagian yang berkaitan
9.25am: Hakim Suriyadi membaca latar belakang kes itu dan berkata Abdul Razak didakwa bersubahat.
Beliau berkata Azilah telah menghantar notis alibi.
Katanya, bukti itu dikemukakan di peringkat pendakwaan dan diari balai
turut dikemukakan dan catatan pada diari itu telah ditanda.
9.30am: Hakim Suriyadi berkata Razak telah dibebaskan tetapi kedua-dua tertuduh telah disabitkan atas kesalahan membunuh.
Bagaimanapun, mereka kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudian menjelaskan kesilapan yang disebutkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.
9.25am: Hakim Suriyadi membaca latar belakang kes itu dan berkata Abdul Razak didakwa bersubahat.
9.33am: Hakim Suriyadi berkata
walaupun notis alibi dibuat, teapi ia tidak mencukupi sehingga pihak
pendakwaan telah berjaya menghasilkan kes prima facie.
"Azilah berkata dia tidak berada di Puncak Alam."
Terdapat satu rekod yang Azilah mendapatkan (retrieved) sepucuk pistol
Glock dari Bukit Aman. Beliau berkata hanya pembuat catatan (dalam
gudang senjata polis) boleh mengesahkan ini.
Sekarang beliau menyentuh tentang data telefon Azilah.
9.35am: Hakim Suriyadi berkata terdapat panggilan-panggilan yang dibuat oleh Azilah dari Kampung Subang dan juga Puncak Alam.
Hakim meneliti lebih lanjut panggilan-panggilan telefon itu. Beliau
berkata panggilan yang dibuat pada jam 11.16 malam 19 Oktober di Puncak
Alam, mengesahkan secara pasti kes pendakwaan.
Katanya, dari analisis maklumat itu, tidak ada panggilan yang dibuat
dari Wangsa Maju atau Bukit Aman pada masa itu (alibi Azilah).
Responden (Azilah) katanya, tidak boleh berada di mana-mana tempat lain daripada Puncak Alam.
9.40am: Hakim Suriyadi memutuskan bahawa panggilan itu boleh diterima dan pembelaan Azilah hanyalah satu penafian semata-mata.
9.43am: Hakim Suriyadi membaca keterangan pegawai polis tentang Azilah membawa mereka ke tempat kejadian jenayah.
"Kami berpuas hati pihak polis tidak tahu tempat kejadian. Mereka pergi secara berasingan.
"Responden kedua (Sirul) telah bersetuju untuk menunjukkan tempat
kejadian dan responden kedua telah membawa polis ke tempat kejadian yang
sama," katanya.
Katanya, tertuduh adalah anggota polis dari unit elit, dan mereka tidak lagi mudah digertak apabila disoal-siasat.
9.45am: Hakim Suriyadi sekarang merujuk kepada barang kemas yang ditemui di rumah Sirul.
Beliau berkata Sirul membawa ASP Zulkarnain ke rumahnya dan menggunakan kunci untuk membuka mangga.
Ketika mengambil jaket tersebut, katanya, tertuduh berkata dia simpan barang kemas itu dalam jaket.
Katanya, sepasang anting-anting (dan) jam tangan telah diambil.
Menurutnya, Apabila pegawai polis itu bertanya sama ada ia adalah barang yang dirampas (daripada si mati), Sirul mengakuinya.
9.48am: Hakim Suriyadi berkata
tidak ada banyak butiran yang DSP Musa Safri - adikong timbalan perdana
menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak - boleh berikan.
Hakim
itu berkata, panel itu mendapati Musa tidak pernah mengarahkan
responden pertama (Azilah) bagaimana untuk membantu Abdul Razak.
Oleh itu, katanya, tindakan tidak memanggil Musa, tidak menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap defendan.
9.52am: Hakim Suriyadi berkata
Azilah tidak menafikan kehadirannya di Hotel Malaya - hotel di mana
mangsa, Altantuya Shaariibuu menginap.
Beliau berkata teman wanita Azilah adalah yang terakhir melihat
Altantuya hidup ketika dia meninggalkan mereka (Azilah, Sirul dan
Altantuya).
Hakim itu berkata, terdapat kesimpulan bahawa Sirul mengambil barang kemas dari Altantuya.
Sama ada dia mengambilnya sebelum pembunuhan itu atau selepasnya, adalah tidak relevan. kata Hakim Suriyadi.
"Responden pertama (Azilah) berada dengan responden kedua (Sirul) di
Puncak Alam. Mereka mesti berada di sana dan juga dapat mengenal pasti
tempat kejadian jenayah," katanya.
"Kami berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan niat bersama," katanya.
Oleh itu, katanya, pembelaan alibi dalam kes ini tidak dapat dipertahankan.
9.56am: Hakim Suriyadi berkata responden gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan
munasabah. Mahkamah memerintahkan supaya keputusan Mahkamah Rayuan
diketepikan dan mengembalikan hukuman mati," katanya.
Tun Majid meminta waran tangkap dikeluarkan terhadap Sirul.
Hakim Arifin bersetuju untuk mengeluarkan waran tangkap.
10.00am: Pendakwa Tun Abdul Majid berkata mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul.
10.02am: Azilah kelihatan berbincang dengan peguamnya, Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar.
Azilah memeluk peguam Kamarul Hisham sebelum dibawa polis ke penjara melalui pintu masuk sisi ruang sidang.
10.15am: Dalam reaksi segera, pendakwa Tun Abdul Majid berkata pihaknya gembira kes itu telah selesai dan kerja keras mereka berbaloi.
10.20am: Peguam kepada Sirul, Kamarul Hisham, mengesahkan bahawa beliau terputus hubungan dengan anak guamnya itu sejak enam bulan lalu.
"Kali terakhir saya dihubungi anak guam saya, mungkin seminggu selepas
pendengara di Mahkamah Persekutuan (dari 23 Jun hingga 25 Jun, 2014),
selepas itu (saya tidak dapat) menghubungi (Sirul),” katanya.
"Saya tidak tahu langsung di mana dia berada.
"Berdasarkan perhubungan terakhir dengannya, saya langsung tiada asas
untuk mengatakan bahawa beliau berkelakuan aneh. Saya ada sebab untuk
percaya bahawa beliau akan hadir untuk (keputusan) hari ini,” katanya.
Katanya, beliau tidak akan menyifatkan Sirul “hilang” dan hanya menyebut
bahawa bekas anggota elit polis berkenaan tidak berada di mahkamah hari
ini kerana gagal menerima notis untuk hadir ke mahkamah.
sumber...mkini