Followers

Friday, September 16, 2011

‘Mahathir ‘mastermind’ jatuhkan Najib’


Tun Mahathir memberi mesej bahawa Najib Tun Razak juga bukan merupakan 'calon boleh menang' dan secara tidak langsung merupakan liabiliti kepada Umno-BN.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘mastermind’ yang berperanan untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau merujuk kepada kenyataan mantan perdana menteri itu semalam yang menasihati Najib agar pilihan raya umum (PRU) ke-13 dilewatkan bagi meneliti semula senarai ‘calon-calon yang boleh menang’.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata nasihat Mahathir itu memberi mesej bahawa Najib juga bukan merupakan ‘calon boleh menang’ dan secara tidak langsung merupakan liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Umno-BN berhadapan isu calon dan parti…..malah semalam Mahathir bagi mesej jelas bahawa Najib juga bukan calon yang dilihat boleh menang apabila menasihatkan Perdana Menteri itu untuk melewatkan PRU ke-13.

“Najib liabiliti bagi BN. Ini diakui golongan dalaman Umno yang cuba memberi tekanan kepada Najib untuk berundur sebelum PRU.
“Mahathir ‘mastermind’ Umno. Saya bimbang ada kumpulan yang menjadi telunjuk Mahathir ini seperti gerakan yang dilakukan ke atas Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Panel bebas
Dalam perkembangan lain, Mahfuz turut mencadangkan penubuhan sebuah panel bebas untuk mengkaji semula sejarah. Ini berikutan tercetusnya kekeliruan berhubung pandangan mengenai sejarah Malaya baru-baru ini.

Beliau berpendapat mana-mana pihak perlu bersikap terbuka berhubung kenyataan daripada Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Malaya tidak pernah dijajah.
“Saya tidak kata MPN itu benar tapi mungkin mereka ada fakta tertentu untuk menyokong hujah bahawa Malaya tidak pernah dijajah British.
“Mungkin betul, mungkin tidak…..maka kita perlu kembali kepada saranan Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Khaled Nordin) agar melihat kembali sejarah.
“Kita boleh panggil Mat Sabu (Mohamad Sabu) untuk kemukakan fakta sejarah dan bukannya timbulkan perdebatan politik untuk fitnah orang,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas rakyat, Mahfuz mahu dasar percukaian kerajaan perlu diperbetulkan dan menurutnya, cukai dari lima peratus kepada enam peratus itu tidak wajar.
“Kenaikan cukai perkhidmatan itu merupakan isu besar yang menyebabkan pengguna menjadi tunggang langgang dan kerajaan perlu mengkaji semula fakta-fakta percukaian tersebut yang membebankan rakyat,” katanya.

sumber...FMT