Followers

Sunday, September 18, 2011

Papagomol Niat Jahat, AMK buat laporan Polis

Penulis blog itu mendakwa rakaman CCTV itu berkait dengan rakaman video adegan seks individu yang didakwa sebagai Anwar dengan seorang pelacur China.

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis terhadap penulis blog Papagomo yang menyiarkan klip video dua lelaki yang didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Laporan dibuat Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini petang tadi.

Ini berikutan dua klip video yang didedahkan Papagomo pagi semalam yang menunjukkan rakaman litar tertutup (CCTV) dua lelaki menuju masuk ke dalam dan keluar lif bangunan dipercayai sebuah hotel di Ampang.

Penulis blog itu mendakwa rakaman CCTV itu berkait dengan rakaman video adegan seks individu yang didakwa sebagai Anwar dengan seorang pelacur China yang pernah didedahkan Mac lalu.

Klip rakaman CCTV itu kemudiannya mula tersebar kepada orang awam melalui Youtube dan disiarkan media termasuk Buletin Utama TV3 malam semalam.

Sehubungan itu, Rozan dalam laporannya mahu Papagomo disiasat berikutan penyebaran video tersebut yang dianggapnya berniat jahat sehingga mampu mengelirukan orang awam.

Beliau juga mahu penulis blog itu dikenakan tindakan kerana mengancam untuk mendedahkan lagi klip video yang berkaitan dengan isu ini pada masa akan datang.

“Beliau secara jelas menuduh dan mengaibkan nama baik Anwar.

“Beliau juga harus disiasat dari sumber mana beliau dapat rakaman video berkenaan malah mahu mendedahkan lagi klip video lain pada masa akan datang,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Enggan mengulas teknikal kesahihan klip video itu, Rozan turut mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar membuat kenyataan bagaimana rakaman tersebut boleh berada di tangan Papagomo walaupun kes itu masih dalam siasatan polis.

Konspirasi jahat Umno-BN?

Beliau juga mahu pemimpin Umno membuat kenyataan menafikan mereka ada kaitan dengan penulis blog berkenaan yang didakwanya sebagai konspirasi jahat Umno-BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13).

“Kita juga mahu Eskay buat kenyataan media jelaskan bagaimana video ini boleh sampai ke tangan Papagomo,” katanya.

Rakaman video berwarna yang disiarkan dalam blog Papagomo pagi semalam menunjukkan individu yang didakwa Anwar, memakai baju ungu dan berselipar berjalan bersama ahli perniagaan Eskay dari arah lobi sebuah bangunan yang didakwa penulis blog itu sebagai Ampang Apartment.

Eskay kemudiannya dilihat menekan butang lif untuk menuju ke atas sebelum masuk ke dalam lif bersama Anwar.

Waktu rakaman CCTV itu juga menunjukkan individu yang didakwa sebagai Anwar masuk ke dalam lif bersama Eskay pada pukul 10.09 malam dan kemudiannya berjalan keluar dari lif pukul 10.52 malam.

Manakala waktu rakaman video hitam putih adegan dalam sebuah bilik yang pernah tersebar sebelum ini menunjukkan bermula kira- kira pukul 10.30 malam.

Rakaman CCTV berdurasi 3 minit 48 saat itu menunjukkan tarikh 21 Februari 2011, tarikh rakaman yang sama dengan video adegan seks dalam sebuah bilik sebelum mula didedahkan kepada wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara Mac lalu.

sumber...FMT