Followers

Monday, September 26, 2011

Saksi Kes Sosilawati,Tulang, darah, seluar dalam ditemui di ladang: Saksi


SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa sejumlah barangan termasuk serpihan tulang, kesan darah dan cebisan seluar dalam ditemui di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Supt Soo Me Tong, 55, Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, berkata semua barangan itu dijumpai semasa pasukannya menjalankan siasatan di sebuah bangunan setingkat dan sebuah tapak pembakaran pada 12 dan 14 September 2010.
"Pegawai penyiasat kes (ASP Ishak Yaakob) maklumkan kepada kami bahawa bangunan setingkat yang terletak di sebelah kanan ladang itu adalah tempat mangsa diangkat, diikat, dipukul dan diserang.
"Satu lagi tempat (tapak pembakaran) berhampiran sebuah kolam kira-kira 50 meter dari bangunan setingkat itu ditutupi kayu-kayan dan atap zink dan pegawai penyiasat maklumkan bahawa ia adalah tempat mangsa dibunuh dan dibakar," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Soo, saksi ke-48 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, 42 dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pembunuhan itu didakwa berlaku di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Soo berkata, siasatan pasukannya pada 12 September 2010 di bangunan setingkat yang mempunyai lima bilik itu, menemui kesan darah di dinding bilik pertama, di luar dinding bilik kedua, ketiga dan kelima, pada sarung sofa dan kusyen yang terletak di depan bilik kedua serta pada televisyen di depan bilik ketiga.

Beliau berkata, siasatan di bangunan itu juga menemui dua puntung rokok dan beg kertas di dalam bilik ketiga, sebuah tong plastik berisi dua pertiga penuh cecair dipercayai bahan bakar dan beberapa keratan wayar berwarna hijau di dalam bilik kelima serta enam kesan cap jari di almari, laci almari dan sebuah botol minuman Coca-Cola yang terletak di dalam bilik ketiga.

"Selepas kumpul semua barang kes, pasukan saya beralih pada tapak pembakaran untuk buat proses galian bagi mencari sisa-sisa tulang atau barang kes yang berkaitan dengan kes pembunuhan ini. Tempat ini dilitupi dengan atap zink, kayu-kayan dan atas permukaan tanah juga dilitupi dengan najis kambing.

"Saya buat empat zon pada tapak pembakaran supaya saya boleh berikan tugasan kepada anggota saya untuk mencari dengan lebih rapi. Saya teliti di kawasan sekitar mendapati daun kelapa sawit berhampiran ada kesan layu kena haba kebakaran dari tapak pembakaran itu," katanya.

Soo berkata, pemeriksaan di zon A dan zon B tapak pembakaran itu menemui beberapa serpihan tulang dan dua sampel tanah turut diambil selepas pasukannya terhidu bau bahan bakar pada tanah.

Beliau berkata, pada 14 September 2010, pasukannya sekali lagi menjalankan galian di tapak pembakaran itu dengan bantuan enam patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Melaka bagi mengesahkan sisa tulang yang ditemui.

"Hasil pemeriksaan di zon A menjumpai satu kepingan logam, di zon B menjumpai satu tulang rahang, sebatang kayu bakau dan serpihan kayu terbakar manakala pemeriksaan di zon C menemui satu wayar warna hijau, seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, satu cebisan stoking, satu seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, satu cebisan kain guni, sisa kebakaran warna biru, beberapa cebisan tulang dan wayar hijau.

"Pemeriksaan di zon D menemui berbelas-belas serpihan tulang, sebatang gigi dan kod bar. Kami juga ada ambil lima sampel tanah di zon A, B dan C serta ambil sampel tanah kawalan di kawasan sekeliling luar tapak pembakaran untuk rujukan," katanya.

Soo berkata, semua barang bukti itu dibungkus dengan baik, dilabel, ditandatangani serta dicatatkan tarikh penemuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat dan beliau turut menyediakan laporan berhubung semua penemuan pada dua tarikh berkenaan.

Perbicaraan hari ke-35 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok.

sumber... BERNAMA