Followers

Monday, December 24, 2018

Tsunami Selat Sunda: 222 Korban, 843 Cedera, 28 Masih Hilang



Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang ini, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

"Tidak ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya akibat susulan berlakunya gempa bumi.


“Ini suatu kes yang tidak biasa, bahawa tsunami tanpa gempa. Jadi gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau," katanya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam tadi itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.

Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.

sumber...Bernama