Followers

Saturday, December 29, 2018

Muhyiddin: PAS Sanggup 'Cium Mulut' dengan Perompak




Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berpantun untuk menjelaskan fitnah pihak pembangkang terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Racun ikan akar beluru,
ikan dimakan matilah rasa,
fitnah pembangkang bagai peluru,
membunuh umat hingga binasa," kata beliau ketika berucap merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Beliau menyuarakan keyakinan orang Melayu dapat melihat pendekatan berbahaya politik perkauman dan agama.

"Selepas Umno dan PAS kalah dalam Pilihanraya Umum ke-14, kedua-dua parti ini mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

"Melayu sudah kenal siapa Umno, siapa PAS. Kedua-duanya dua kali lima sahaja.

"Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak.

Raih laba

"Orang Melayu akan tetap ingat sewaktu Umno berkuasa dahulu, kedua-dua parti ini sanggup bermain kayu tiga dan berkhalwat semata-mata untuk meraih laba politik.

"Bermacam-macam hujah dan istilah Islamik digunakan untuk mewajarkan perbuatan khalwat mereka," kata beliau ketika berucap merasmikan pembukan Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

Muhyiddin berkata Umno dan PAS telah menjalin hubungan antara satu sama lain selama bertahun-tahun tetapi percantuman dua parti itu masih belum menjadi kenyataan.

"Cerita Umno berpakat dengan PAS ini dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata. Baru beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka," jelasnya.

Beliau memberi contoh jalinan hubungan Umno dan PAS dalam perhimpunan membantah konvensyen PBB mengenai keadilan dan kesaksamaan kaum (Icerd).

"Terujalah ahli-ahli Umno, kononnya inilah masanya kesatuan politik orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina. Ini satu detik yang amat bersejarah bagi mereka.

"Seolah-olahnya, kalau pilihanraya diadakan esok, Umno dan PAS akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baru.

"Tak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli Umno keluar parti.

"Lebih menyedihkan lagi buat Umno, Presiden PAS beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana bahtera Umno sedang bocor katanya. PAS takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno," katanya lagi.

Muhyiddin berkata kedua parti itu tidak akan dapat bekerjasama kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Bersatu tak guna slogan Islam

"Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan PAS, dan PAS bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai. PAS hanya mementingkan partinya sendiri.

Menurut Muhyiddin lagi, Bersatu tidak akan menyalahgunakan nama Islam seperti PAS dan Umno.
"Kepada umat Islam, saya ingin menyebutkan bahawa Bersatu tidak menggunakan slogan Islam, tetapi kita melaksanakan Islam.

"Kita mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam. Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim.

"Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita," jelasnya lagi.

Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri mencadangkan pembentukan Majlis Permuafakatan Ummah yang dianggotai wakil kerajaan dan badan-badan Islam.

"Untuk itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah di Malaysia," katanya.

sumber...mKini