NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan bencana besar di New York ekoran taufan Sandy yang menyebabkan banyak kemusnahan.
Obama mengisytiharkan bencana besar itu di negeri New York dan New Jersey.
Taufan itu melanda kelmarin sebelum ia meninggalkan New York semalam.
Pengisytiharan itu akan menyebabkan pinjaman dan geran akan dikeluarkan bagi membantu mangsa-mangsa untuk membaiki dan memperoleh rumah buat sementara.
Taufan itu membawa ombak gergasi yang melanda kawasan Pantai Timur AS.
Bursa Saham New York dan Nasdaq turut ditutup semalam.
Sementara itu, sebanyak 50 buah rumah terbakar di kawasan kediaman di bandar raya ini akibat taufan tersebut.
Hanya dua orang dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut.
Angka kematian susulan bencana Taufan Sandy meningkat kepada 43 orang setakat ini, dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat berikutan beberapa individu dilaporkan masih hilang, kata pegawai tempatan semalam.
Pegawai di negeri Connecticut, Maryland, New York, New Jersey, North Carolina, Pennsylvania, Virginia dan Virginia Barat melaporkan mangsa yang terkorban akibat ribut, manakala pihak berkuasa Toronto melaporkan, seorang wanita Kanada maut selepas terkena serpihan objek yang berterbangan.
Sandy sudah membunuh sekurang-kurangnya 67 orang termasuk seorang warganegara AS di Puerto Rico apabila taufan itu membadai Caribbean beberapa hari lalu, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban di AS dan Kanada adalah 110 orang.
sumber... AFP