Followers

Friday, February 6, 2015

Anwar Ibrahim 'Terlibat' Pertembungan Dalam UMNO ?



Sejauh manakah kebenaran dakwaan mengenai keterlibatan Anwar dalam Umno

Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pertembungan dalaman Umno ekoran daripada kesediaannya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan salah guna kuasa terhadap Tun Daim Zainuddin.

Menjelaskan situasi itu, Ketua Umum PKR itu berkata, dakwaan salah guna kuasa terhadap bekas menteri kewangan itu sudah lama dibuat iaitu sejak tahun 1999.

"Saya tak terlibat dalam pertembungan dalaman Umno. Saya bukan lagi ahli Umno. Kenyataan saya ketika itu merujuk kepada Daim.

"Ia sudah lama, sejak tahun 1999, saya pernah membuat laporan polis, saya keluar dokumen sebagainya, malah saya pernah serahkan dokumen ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas merasmikan peluncuran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam hari ini.

Bulan lalu, berlakunya serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana Daim terlibat dalam kontroversi apabila dikaitkan dengan tuduhan salah guna kuasa dan berita itu mendapat liputan meluas daripada media arus perdana TV3.

Liputan sebegitu media yang dikawal Umno itu mengejutkan ramai sehingga wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin memberi amaran yang tindakan itu hanya akan menyebabkan pendedahan “menggiurkan” mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

SPRM kemudiannya berkata akan menyiasat Daim dan Anwar pula menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama sekiranya dipanggil badan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar berkata hari ini, beliau kemungkinan akan menangguhkan urusannya dengan SPRM kerana terlalu sibuk dengan halnya sendiri memandangkan kurang lima hari lagi penentuan nasibnya berhubung kes liwat II akan dibuat.

"SPRM turut dimaklumkan mengenai penangguhan ini. Jika saya bebas daripada hukuman mahkamah, saya akan beri ruang kepada SPRM, sebab perjumpaan itu akan mengambil masa yang panjang.

"Jika takdir buruk berlaku kepada saya, saya persilakan SPRM ke penjara Sungai Buloh atau Kajang. Tapi saya rasa mereka tak banyak masalah, SPRM boleh rujuk rekod Perbendaharaan Negara," katanya.

Sebelum ini, Anwar mendakwa mempunyai "bukti" salah guna kuasa Daim selain berharap SPRM tidak hanya menumpukan siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

15 tahun lepas, Anwar penah membuat laporan yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.


sumber...TMI