Followers

Thursday, May 5, 2011

Polis akan tahan dalang Video Seks?


Polis sedang mengenal pasti dalang pengedaran salinan rakaman video seks yang didakwa mirip seorang pemimpin pembangkang yang diperoleh beberapa orang kenamaan termasuk ahli politik baru-baru ini.

Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam baru-baru ini menerima sampul surat mengandungi video cakera padat rakaman aksi seks yang dibongkar oleh trio Datuk T pada 21 Mac lalu.

Trio Datuk T ialah ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Peribumi Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis memandang serius perbuatan itu kerana ia boleh mengganggu proses siasatan kes rakaman video itu yang masih berjalan.

"Kami sahkan beberapa kenamaan termasuk ahli politik memperoleh salinan video yang dipercayai diedarkan pihak tertentu dan beberapa laporan polis oleh mereka yang menerima salinan itu telah dibuat.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab iaitu individu dan pihak yang mengedarkan serta motif mereka mengedarkan video itu," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Anti Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia Peringkat ASEAN di Maktab PDRM Cheras di sini semalam.