Followers

Wednesday, February 22, 2012

Jom Tengok "LUBUK" Enjin Curi Se Malaysia



BANYAK...bengkel lerai kenderaan dalam ladang sawit yang menyimpan ribuan enjin lori curi bernilai jutaan ringgit.

TAIPING: Serbuan polis ke sebuah bengkel kenderaan yang tersorok dalam ladang kelapa sawit di Changkat Jering, di sini, membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lebih 1,000 enjin lori yang dicuri bernilai jutaan ringgit berselerakan di bengkel itu.

Bengkel milik sindiket curi kenderaan berat itu sengaja dibina di kawasan sunyi bagi membolehkan kerja melerai dan melapah lori curi dilakukan dalam tempoh hanya beberapa jam sebelum komponennya dijual sebagai alat ganti terpakai.

Serbuan ke atas bengkel yang terletak di atas kawasan seluas dua hektar itu dilakukan polis Kontinjen Perak dengan kerjasama polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sindiket terbabit sengaja memilih kawasan tersorok dalam ladang kelapa sawit untuk menjalankan kegiatan mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berdasarkan maklumat, sindiket itu mendapat bekalan lori curi dari Pulau Pinang, Perak dan Lembah Klang yang dibawa ke bengkel itu sebelum dileraikan enjin serta komponen lain.

“Selain lebih 1,000 enjin lori curi, turut ditemui puluhan kepala lori yang menunggu masa untuk dileraikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.


Sementara itu, di Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, selain lori, ahli anggota sindiket terbabit turut mencuri pelbagai kenderaan lain dan mereka dipercayai aktif dalam jenayah itu sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, tembelang sindiket itu terbongkar sejurus polis menahan tiga lelaki yang cuba mencuri sebuah lori di belakang sebuah pasar raya di Rawang, Khamis lalu.

Katanya, susulan penahan lelaki berusia 22 tahun hingga 33 tahun yang berasal dari Tanjung Karang dan Sungai Besar itu, polis menjumpai pelbagai peralatan curi kenderaan dalam kereta Proton Wira yang dimiliki seorang daripada mereka.

“Penahanan ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di Sabak Bernam kira-kira jam 4 pagi keesokan harinya.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah bengkel di Taiping, Perak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam. Tun Hisan berkata, hasil serbuan ke bengkel itu, polis menahan lapan individu membabitkan seorang kerani wanita, tiga lelaki tempatan dan empat lagi lelaki warga Bangladesh. Semua mereka berusia antara 18 dan 50 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek warga Bangladesh itu mendapati hanya seorang daripada mereka memiliki pasport dan selebihnya masuk ke negara secara haram.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 30 kepala lori, tiga kepala kereta, tiga lori, 128 kereta, 1,040 pintu lori yang sudah dikikis nama syarikat pada badannya serta 13 kunci lori. “Polis mendapati suspek mengikis nombor casis dan enjin kenderaan yang dicuri bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, setakat ini, polis mengesan pemilik dua lori yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri sindiket berkenaan di Hutan Melintang, Perak pada 1999 dan di Desa Jaya, Gombak.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri lori atau kereta yang diletakkan di tempat letak kereta atau dengan cara menyamun kenderaan berkenaan. “Polis akan meminta bantuan pasukan Forensik untuk mengenal pasti nombor casis dan enjin serta pintu yang dikikis bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki yang juga pemilik premis berkenaan RC Muniandi, 48, dan alamat terakhirnya Taman Kota Jaya, Simpang, Taiping, Perak kini diburu polis untuk membantu siasatan.

Semua individu yang berjaya ditahan itu kini ditahan reman sehingga 22 Februari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi kenderaan.

Tun Hisan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 294 kes curi lori dilaporkan di Gombak meningkat berbanding 246 kes dilaporkan sepanjang 2010.

Katanya, Polis Selangor juga menumpaskan empat sindiket curi kenderaan serta menahan 12 individu sepanjang tahun lalu. Beliau berkata, suspek satu daripada empat sindiket sudah didakwa di mahkamah manakala yang selebihnya dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor mengikut Ordinan Darurat berikutan kekurangan bukti.

sumber...Hmetro