Followers

Thursday, February 16, 2012

Kisah Artis Ana Rafali Bertudung Dan Bakal Bergelar Isteri


 
Berdebar menunggu saat untuk melangkah ke fasa baru dalam hidupnya, penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali bersyukur persiapan­ perkahwinannya dibantu seisi keluarga, saudara mara, bakal mentua dan rakan-rakan terdekat.

Hanya menunggu 11 hari sahaja lagi sebelum menamatkan zaman bujang, Ana kini sudah sibuk menyediakan persiapan perkahwinan yang bakal dilangsungkan pada 25 Februari ini di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Kuala Lumpur. 
 
Menurut Ana, persiapan untuk majlis tersebut setakat ini sudah siap hampir 75 peratus, malah hantaran turut disediakan sendiri.
 
“Alhamdulillah. Setakat ini semua persiapan­ berjalan lancar. Malah, Ana turut berterima kasih kepada ahli keluarga, saudara mara, bakal suami dan keluarga bakal mentua serta rakan-rakan terdekat yang banyak membantu Ana menyiapkan persediaan perkahwinan.­
 
“Ana sendiri akan menggubah hantaran kerana bagi Ana, adalah lebih manis gubahan itu hasil tangan Ana sendiri dan akan meninggalkan memori buat dia,” katanya yang ditemani bakal suami, Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim semasa mengedarkan kad jemputan kahwin di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
 
Memilih warna tema perak putih untuk sembilan dulang hantaran yang akan diberikan kepada bakal suaminya, Ana bakal tampil dengan dua persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail dan Safura Azali. 
Di samping itu, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini juga bakal menggayakan kasut rekaan Neelofa.
 
Menurut Ana, idea untuk menggunakan khidmat Neelofa sudah lama difikirkan memandangkan mereka sudah lama saling mengenali sebelum ini.
 
“Ana kenal Neelofa sejak zaman persekolahan lagi memandangkan kakak Neelofa merupakan rakan baik Ana. Jadi, bakat Neelofa dalam mereka bentuk kasut sudah lama Ana tahu dan untuk majlis perkahwinan ini, Ana ingin menggunakan khidmat Neelofa kerana Ana percaya bakat yang ada padanya,” katanya yang memilih baju berwarna kelabu pada majlis tersebut.

 
Masjid jadi pilihan
 
Memilih masjid sebagai tempat pernikahan, Ana menginginkan perkahwinannya dibuat sederhana dengan hanya bertujuan memberitahu orang ramai dirinya sudah berumah tangga.
 
“Bagi Ana, masjid merupakan permulaan yang baik untuk Ana memulakan kehidupan rumah tangga selain dapat peluang untuk memakmurkan masjid dengan menjamu orang ramai di situ.
 
“Apa yang penting bagi Ana adalah untuk memberitahu orang ramai Ana sudah berkahwin dan majlis ini pun dibuat secara sederhana,” katanya yang menganggap dirinya sebagai orang biasa.
 
Di samping itu, Ana dan pasangannya turut memilih untuk tidak bersanding bagi memberkati majlis yang diadakan di masjid.
 
Menyentuh mengenai lokasi bulan madu, pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku ini masih belum mempunyai apa-apa perancangan untuk perkara tersebut.
 
“Kami masih belum memikirkan lagi lokasi bulan madu. Tak tahu lagi untuk berbulan madu di dalam ataupun di luar negara,” katanya sambil diakui oleh Naim yang turut berkongsi debaran untuk bergelar suami.
 
Bagaimanapun, Ana memberitahu, bakal suaminya itu tidak akan menghalang niatnya untuk terus menceburi bidang hiburan.
 
“Malah, sejak dahulu lagi Naim menyokong kerjaya saya dan selepas berkahwin, dia juga tiada halangan untuk saya teruskan karier,” katanya.
 
Ana mula berkenalan dengan Naim pada 2005. Mereka asalnya hanya berkawan baik, namun sikap Naim yang penyabar dan kelakar berjaya menambat hati gadis ini.
 
“Naim adalah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu. Secara kebetulan pula, saya memang meminati seni fotografi.
 
“Jadi, disebabkan berkongsi minat yang sama, hubungan kami bertambah rapat. Tambahan pula, sikap Naim yang penyabar membuatkan saya terbuka hati untuk menjalin hubungan serius dengannya,” katanya.

 
Ayu bertudung
 
Umum mengetahui penyanyi ini mula mengenakan hijab sejak Maulidur Rasul yang lalu.
 
Mengakui masih lagi dalam proses belajar, Ana tidak pernah menganggap penghijrahan­nya itu sebagai satu percubaan atau trend.
 
Menurutnya, keinginan untuk bertudung lahir daripada hatinya yang ikhlas dan bukannya dengan niat untuk menunjuk-nunjuk.
 
“Soal bertudung bukan untuk dibuat main dan Ana sendiri tidak pernah menganggap ini sebagai trend atau fesyen. Keputusan ini juga bukan atas desakan keluarga atau sesiapa, tetapi ia disebabkan atas rasa ingin menjadi Muslimah yang lebih baik,” katanya yang menerima sokongan keluarga dan bakal suami terhadap penghijrahannya itu.
 
Penyanyi yang berusia 27 tahun ini juga berhasrat untuk mendalami lebih ilmu agama selepas berumah tangga.
 
“Setiap manusia ada kekurangannya. Bagi Ana sendiri, ilmu yang ada selama ini masih belum cukup untuk Ana melayari kehidupan selepas ini,” katanya.

sumber...Hsinar