Followers

Wednesday, December 18, 2013

Syiah : Dari Kacamata Bekas Menteri Umno

 

Bekas menteri dakwa isu Syiah dikendali cara pandir, politik cetek

 Bekas Menteri Penerangan melahirkan rasa kesal dan tidak puas hati dengan cara isu Syiah dikendalikan di negara ini dan menyifatkan ia hanya permainan politik yang semakin cetek dan pandir sahaja.

Tan Sri Zainuddin Maidin dalam tulisannya di Sinar Harian berkata, setelah gempar seluruh negara bagaikan langit hendak runtuh, maka akhirnya kelak rakyat akan melihat tiada sesiapa pun yang akan bertanggungjawab untuk bertindak dengan berani dan tegas.

"Orang itu serah pada orang ini, orang ini serah pada orang itu," tulis bekas Ketua Pengarang Utusan yang lebih dikenali sebagai Zam itu.

Maka, katanya, kredibiliti kerajaan Barisan Nasional dan Umno semakin terhakis.
"Berapa lamakah kita harus berada dalam permainan politik seumpama ini," katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mempunyai 10 bukti mengaitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) sebagai  Syiah menyerahkannya kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk tindakan selanjutnya.

Jakim pula melepaskan tangan kepada Majlis Majlis Agama Islam Negeri dan mereka  ini pula akan bercanggah antara satu sama lain dalam soal mengambil tindakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar KDN, jika mempunyai bukti yang kukuh, bertindak dan hadapkan Mohamad ke mahkamah supaya dia dapat membela diri.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan orang nombor dua PAS adalah Syiah dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2013.

Semalam, Mohamad mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Zahid.
Zam berkata, tindakan menendang ke sana sini untuk diambil tindakan menyebabkan rakyat akan tinggal dalam keraguan.

"Lebih bahaya lagi, mereka juga akan semakin ragu  sama ada ajaran Syiah bertentangan dengan Islam atau tidak," katanya.

Beliau berkata, di akhirnya rakyat akan melihat dan yakin bahawa ini hanyalah suatu permainan politik agama dan imej Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan lebih hebat walaupun merapu dan akan lebih banyak lahir orang yang mengamalkan ajaran seperti Ajaran Harun.

sumber...TMI